Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Peluru Berpandu Exocet MM40 KD Lekir Tepat Mengenai Sasaran

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun FB milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengatakan bahawa peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 yang dilancarkan oleh KD Lekir itu telah tepat mengenai sasaran.

0 3,130

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal korvet peluru berpandu Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Lekir telah melakukan penembakan peluru berpandu anti-kapal “Exocet MM40” dalam Eksesais Taming Sari Siri 21/2022 yang berlangsung hari ini.

Penembakan peluru berpandu anti-kapal itu telah berlangsung di kawasan utara perairan Selat Melaka.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun FB milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) hari ini mengatakan bahawa peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 yang dilancarkan oleh KD Lekir itu telah tepat mengenai sasaran yang terletak sejauh 20 batu nautika (36 km).

Exocet
Peluru berpandu anti-kapal Exocet MM40 ketika dilancarkan. (gambar fail)

 

Ia bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut sasaran itu diperbuat daripada apa, walaupun kebiasaannya TLDM menggunakan baj (barge) yang membawa beberapa buah kontena bagi menyerupai rekabentuk sebuah kapal.

Kenyataan pihak ATM itu juga tidak menjelaskan varian peluru berpandu Exocet MM40 yang dilancarkan oleh kapal KD Lekir sama ada Block II atau Block 111 yang merupakan varian peluru berpandu Exocet MM40 yang paling terkini.

Exocet MM40 Block II memiliki jarak maksimum sejauh 70km manakala varian Exocet MM40 Block III pula mempunyai jarak maksima sejauh 200km.

Bagaimanapun kenyataan ATM itu,  penembakan peluru berpandu anti-kapal itu membuktikan kemampuan TLDM.

Exocet
(ATM)

 

“Kejayaan penembakan peluru berpandu ini sekaligus membuktikan keupayaan dan kepakaran warga TLDM khususnya dalam mengendalikan aset  pertahanan negara yang berperanan dalam memastikan perairan negara kekal selamat dan berdaulat.”

Penembakan peluru berpandu anti-kapal “Exocet MM40”daripada kapal KD Lekir itu merupakan kemuncak kepada Operational Sea Training Exercise West (OSTEX WEST) 1/22 yang berlangsung daripada 16 hingga 20 Mei 2022 melibatkan aset-aset TLDM. 

Secara keseluruhannya, Eksesais Taming Sari  ini melibatkan 1,250 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Exocet
(ATM)

 

Klik Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

Manakala daripada aset-aset yang terlibat dalam latihan itu, ia melibatkan sebanyak 10 buah kapal, lima buah Fast Combat Boat (FCB), tiga pesawat TLDM, tiga pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan dua buah pesawat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM).

Turut sama menyaksikan penembakan peluru berpandu anti-kapal itu adalah Menteri Pertahanan.

Panglima ATM Tan SrI Affendi Buang TUDM mengiringi Menteri Pertahanan bagi menyaksikan perlaksanaan Eksesais Taming Sari yang juga merupakan eksesais penembakan misil yang dikendalikan oleh TLDM.

Turut sama menyaksikan eksesais ini adalah Timbalan Menteri Pertahanan, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Panglima TLDM dan Panglima TUDM. — DSA

 

Comments
Loading...