Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

KD Kelantan Sertai International Fleet Review 2022 Di Tokyo, Jepun

KD Kelantan merupakan diantara 38 buah kapal daripada 13 buah negara mengambil bahagian dalam International Fleet Review 2022 yang dianjur untuk meraikan ulang tahun ke-70 tahun penubuhan Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF).

0 2,492

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kapal peronda KD KELANTAN telah mewakili Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam International Fleet Review 2022 anjuran Japan Maritime Self Defense Force (JMSDF) yang  berlangsung dari 2 hingga 8 November 2022. 

Menurut TLDM dalam kenyataan menerusi media sosialnya hari ini, penganjuran IFR 2022 adalah bersempena meraikan ulang tahun yang ke-70 tahun penubuhan JMSDF.

Kapal peronda Skuadron PV Ke-17 iaitu KD KELANTAN yang dipimpin Kdr Mohd Azrul Hakimi Azmi TLDM ini merupakan antara 38 buah kapal yang telah mengambil bahagian dalam peragaan kapal angkatan laut di Teluk Sagami, selatan Tokyo.

Selain Malaysia, IFR 2022 ini turut disertai oleh tiga belas buah negara yang lain seperti Brunei, Singapura, Thailand dan Indonesia.

KD KELANTAN bersama 110 orang kru telah memulakan pelayaran meninggalkan Tambatan Pangkalan Kota Kinabalu pada 21 Oktober dan selamat tiba di Yokohama, Jepun pada 30 Oktober bagi menyertai program fasa pelabuhan sebelum IFR 2022 yang dirancang pada 6 November.

IFR2022

Sepanjang fasa pelabuhan, pelbagai program interaksi antara warga #NavyPeople di KD KELANTAN bersama masyarakat di sana telah berlangsung.

Kdr Mohd Azrul Hakimi Azmi TLDM turut melaksanakan beberapa siri kunjungan hormat sepanjang berada di sana, selain turut melaksanakan ‘Open Ship’ serta menyertai perlawanan sukan persahabatan bersama angkatan laut yang lain.

Dalam mempromosikan Malaysia, kapal turut menganjurkan sesi tamu mesra Request Pleasure of Company (RPC) dengan menyediakan makanan yang sinonim dgn kebudayaan masyarakat Malaysia.

IFR2022
KD Kelantan

 

Warga KD KELANTAN turut menyertai perarakan tentera laut di City Parada, Yokosuka. 

Selain itu, Timbalan Panglima Tentera Laut Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob turut hadir ke Jepun dan ikut serta dalam pelayaran pemeriksaan peragaan kapal di atas JS IZUMO.

Lebih menarik, Perdana Menteri Jepun Kishida Fumio telah menjadi tetamu kehormat dan menyaksikan pelayaran formasi aset-aset angkatan laut yang menyertai IFR 2022. 

IFR2022 

Selain peragaan kapal, KD KELANTAN turut berpeluang menyertai siri Latihan Mencari dan Menyelamat (SAREX) bersama angkatan laut Jepun.

Ini telah membuka ruang kepada warga untuk mempertingkat kemahiran serta kecekapan dalam siri interoperabiliti bersama angkatan luar. 

IFR2022

Penyertaan TLDM dalam siri IFR 2022 ini telah membuktikan TLDM sentiasa mendukung kepada program pengukuhan diplomasi pertahanan dua hala antara dua negara, Malaysia dan Jepun.

Selain jaminan terhadap pengukuhan bilateral, manfaatnya turut dirasakan bagi warga The Navy People sendiri dengan memberi peluang interaksi dan komunikasi yang sedikit sebanyak dapat mempertingkat profesionalisma warga. — DSA

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

 

Comments
Loading...