(VIDEO) Kapal TLDM Berusia 45 Tahun, KD Pendekar Alami Kebocoran Selepas Terlanggar Objek Bawah Air
(VIDEO) Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM hari ini, kebocoran tersebut dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal perang milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), KD Pendekar telah mengalami kebocoran dan kebanjiran besar pada jam 12.00 tengah hari ini di posisi dua Batu Nautika Tenggara Tanjung Penyusop, Johor ketika sedang bertugas.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh TLDM hari ini, kebocoran tersebut dipercayai berpunca apabila kapal perang berusia 45 tahun itu terlanggar objek bawah air.
“Kebocoran yang mula dikesan di Bilik Jentera kapal telah merebak dengan cepat dan tidak terkawal.
“Kesemua kru berjaya diselamatkan setelah usaha untuk mengawal kebocoran serta menstabilkan kapal tidak berjaya,” menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Bahagian Komunikasi Strategik Markas Tentera Laut.
Fokus utama TLDM pada ketika ini adalah untuk melaksanakan operasi salvaj bagi menyelamatkan kapal.
(VIDEO DI ATAS ADALAH EHSAN MEDIA SOSIAL)
TLDM menurut kenyataan itu, akan menubuhkan lembaga siasatan khas dengan kadar segera bagi mengenalpasti punca kejadian dan pada masa yang sama merakamkan jutaan terima kasih kepada agensi-agensi yang terlibat atas tindakan pantas memberi bantuan terhadap insiden.
Antara agensi yang bertindak pantas memberikan bantuan adalah Agensi Penguatkuasaaan Maritim Malaysia (APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan komuniti maritim yang berada di persekitaran.
TLDM juga berkata orang ramai dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai insiden dan merujuk kepada sumber rasmi TLDM untuk perkembangan terkini dan maklumat sebenar.
Kapal KD Pendekar dengan nombor penant-nya 3513 telah ditauliahkan ke dalam perkhidmatan TLDM pada 21 Ogos 1979, sekaligus menjadikan kapal serang laju itu berusia 45 tahun pada tahun ini.
Ia memiliki panjang keseluruhan 43 meter dan lebar tujuh meter. Sebelum ini kapal serang laju (Fast Attack Craft) milik TLDM itu dilengkapi dengan peluru berpandu anti-kapal MM38 Exocet.
Bagaimanapun, tidak pasti sama ada ia masih mengekalkan lagi sistem peluru berpandu anti-kapal itu dengan laporan menyatakan sistem peluru berpandu itu telah dilucut-tauliat.
Nama Kapal | : | KD PENDEKAR |
No. Penant | : | 3513 |
Tarikh Tauliah | : | 21 Ogos 1979 |
Panjang | : | 43.62 Meter |
Lebar | : | 7.1 Meter |
Sesaran | : | 2600 Tan |
Kemampuan Operasi Kapal | : | 7 Hari |
Meriam Utama | : | Bofors 57mm dan Bofors 40mm/70 |
Jumlah Krew | : | 40 Orang |
— DSA
Comments are closed.