Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Nuklear Amerika Terlanggar “Objek” Di Laut China Selatan

Kenyataan daripada 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat menyebut bahawa insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober lepas ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi rutin di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan pada ketika itu.

0 2,095

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebelas orang krew kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat, USS Connecticut (SSN-22) mengalami kecederaan selepas kapal selam itu terlanggar suatu “objek” tidak diketahui di dasar Laut China Selatan.

Menurut jurucakap 7th Fleet Tentera Laut Amerika Syarikat, insiden tersebut berlaku pada 2 Oktober lepas ketika kapal selam terbabit sedang menjalankan operasi di kawasan perairan antarabangsa di Laut China Selatan itu.

Sejurus selepas kemalangan itu, USS Connecticut telah belayar balik ke Guam, yang merupakan pangkalan tentera laut utama Amerika Syarikat di Indo-Pasifik.

“Kapal selam terbabit berada di dalam keadaan selamat dan stabil. Janakuasa nuklear milik kapal selam USS Connecticut dan keadaan dalamannya tidak terjejas dan kekal beroperasi. Keadaan kerosakan serta keseluruhan kapal selam itu masih disiasat.”

“Tentera Laut Amerika Syarikat tidak meminta sebarang bantuan. Kemalangan itu akan disiasat.”

— Pegawai Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Setakat ini, tidak diketahui objek apakah kapal selam kelas-Seawolf Tentera Laut Amerika Syarikat itu terlanggar.

Bagaimanapun pegawai-pegawai tentera Amerika Syarikat menafikan bahawa USS Connecticut itu berlanggar dengan sebuah lagi kapal selam atau insiden itu berpunca daripada tindakan China.

Ada spekulasi mengatakan kapal selam itu terlanggar dengan Unmanned Underwater Vehicle (UUV) milik China, tetapi ia tidak dapat disahkan.

Insiden pelanggaran dengan “objek” tidak dikenali itu berlaku ketika kapal selam itu sedang melaksanakan operasi rutin di Laut China Selatan yang berada dalam keadaan tegang akibat tindakan agresif China dalam menuntut sebahagian besar daripada perairan strategik itu.

Kapal-kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat, Britain dan Jepun serta kapal-kapal perang daripada enam negara sekutu turut mengadakan latihan di Indo-Pasifik pada ketika itu.

Insiden menimpa USS Connecticut itu juga berlaku ketika China mengerahkan puluhan pesawat-pesawat tenteranya untuk menceroboh Air Defence Identification Zone (ADIZ) Taiwan.

Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf, USS Connecticut itu berpangkalan di Kitsap-Bremerton, Washington dan mula dikerah untuk menjalankan operasi di perairan Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan pada 27 Mei, sebagaimana diumumkan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat pada ketika itu.

USS Connecticut merupakan satu daripada tiga kapal selam berkuasa nuklear daripada kelas-Seawolf tinggalan era Perang Dingin.

Kapal Selam
Kapal selam berkuasa nuklear kelas-Seawolf “USS Connecticut”

 

Ia direkabentuk untuk memburu kapal-kapal selam Soviet Union di laut-laut dalam.

USS Connecticut bersama-sama kapal-kapal selam kelas Seawolf yang lain, USS Sea Wolf (SSN-21) dan USS Jimmy Carter (SSN-23) ia adalah kapal selam penyerang yang paling berkemampuan di dalam inventori Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kali terakhir di mana kapal selam Amerika Syarikat terlanggar objek bawah permukaan adalah pada 2005 apabila USS San Francisco (SSN-711) terlanggar gunung bawah laut ketika dalam kelajuan maksimum menyebabkan seorang anak kapal maut.

Kapal selam Seawolf ini adalah sepanjang 107 meter dan membawa lebih daripada 100 krew.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...