Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Syarikat Kerah Dua Buah Kapal Selam Rahsia Kelas-“Seawolf” Ke Indo-Pasifik

Kapal selam USS Seawolf adalah kapal selam daripada kelas-Seawolf yang kedua dikerah ke Pasifik selepas kapal selam “USS Connecticut”.

0 1,846

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Laut Amerika Syarikat mengesahkan bahawa ia telah mengerahkan kapal selam penyerang (SSN) berkuasa nuklear “USS Seawolf” (SSN-21) untuk melakukan rondaan di Indo-Pasifik bersama-sama aset Armade Ke-7 (U.S 7th Fleet) yang lain.

Kapal selam USS Seawolf adalah kapal selam daripada kelas-Seawolf yang kedua dikerah ke Pasifik selepas kapal selam “USS Connecticut”.(SSN-22)

Tentera Laut Amerika mengeluarkan gambar-gambar kapal selam USS Seawolf berlepas daripada pangkalannya di Kitsap-Bremerton di Washington menuju ke Pasifik yang terletak di bawah pentadbiran Armada Ke-7  Tentera Laut Amerika Syarikat.

Menurut Tentera Laut Amerika Syarikat, kerahan kapal selam USS Seawolf bertujuan memastikan kawasan perairan di Pasifik terus kekal bebas dan boleh dilayari oleh semua pihak tanpa ada sekatan oleh mana-mana pihak.

Ia jelas merujuk kepada tindakan China yang menyekat pelayaran kapal-kapal terutamanya di Laut China Selatan dengan alasan perairan strategik adalah miliknya di bawah Nine Dash Line.

Beijing mendakwa sebahagian besar Laut China Selatan adalah miliknya.

Berkemungkinan besar, maklumat yang dikeluarkan oleh pejabat perhubungan awam Tentera Laut Amerika Syarikat beserta gambar-gambar USS Seawolf itu bertujuan sebagai “amaran” kepada musuh-musuh negara itu di Pasifik, terutamanya China.

Kapal selam daripada kelas-Seawolf ini amat menarik kerana ia dikatakan aset bawah permukaan Tentera Laut Amerika Syarikat yang amat “secretive” (rahsia) kerana misi-misi yang dilaksanakannya.

Tentera Laut Amerika Syarikat dikatakan mempunyai hanya tiga buah kapal selam kelas- Seawolf iaitu USS Seawolf, USS Connecticut dan USS Jimmy Carter, walaupun pada mulanya bercadang memiliki sehingga 29 buah kapal selam kelas itu.

Dan dua daripada tiga kapal selam itu kini disahkan berada di Pasifik, menunjukkan kapal selam itu mungkin terbabit dalam “misi penting” di rantau Indo-Pasifik.

 

Seawolf
Kapal selam USS Seawolf meninggalkan pangkalannya di Kitsap-Bremerton, Washington menuju ke Indo-Pasifik. (gambar Tentera Laut Amerika Syarikat)

 

Kapal selam kelas-Seawolf yang mempunyai berat kira-kira 9,000 tan dan membawa peluru berpandu seperti Tomahawk, Harpoon dan torpedo ini turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik yang sensitif bagi membolehkan ia menjalankan tugas-tugas mengumpul maklumat perisikan serta misi-misi khas yang lain.

Kapal selam kelas-Seawolf dikatakan telah menjalani pengubahsuaian besar-besaran bagi membolehkan ia membawa pelbagai peralatan sensitif yang digunakan untuk misi-misi khas mengumpul maklumat perisikan berhampiran dengan kawasan pesisiran pantai negara dianggap musuh.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...