Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Kapal Selam Kelas-Seawolf, “USS Connecticut” (SSN 22) Di Yokosuka, Jepun

Ia dikatakan adalah kunjungan USS Connecticut ke pelabuhan Yokosuka sebagaimana yang telah dijadualkan sebelum ini.

0 1,675

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Laman Twitter rasmi bagi Komander Pasukan Kapal Selam, U.S Pacific Fleet di @Pacific Submarines hari ini telah mengeluarkan gambar sebuah kapal selam penyerang, USS Connecticut (SSN 22) berada di Yokosuka, Jepun.

Ia dikatakan adalah kunjungan USS Connecticut ke pelabuhan Yokosuka sebagaimana yang telah dijadualkan sebelum ini.

Bagi pemerhati pula, ia adalah kunjungan untuk ulangbekal (replenishment) selepas menjalankan operasi yang lama di Indo-Pasifik, kemungkinan juga di Laut China Selatan atau di laut-laut berhampiran.

Apa yang pasti adalah, kehadiran kapal selam Amerika Syarikat itu adalah memastikan perairan di Indo-Pasifik itu kekal terbuka dan bebas untuk digunakan oleh sesiapa sahaja tanpa ada halangan daripada mana-mana pihak terutamanya China.

Kapal selam USS Connecticut merupakan kapal selam kelas-Seawolf yang kedua berada di Indo-Pasifik selepas USS Seawolf (SSN 21).  

SEawolf
Gambar kredit Pacific Submarines.

 

Pada Jun lepas, Tentera Laut Amerika telah mengeluarkan gambar-gambar USS Seawolf berlepas daripada pangkalannya di Kitsap-Bremerton di Washington menuju ke Pasifik yang terletak di bawah pentadbiran Armada Ke-7  Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kenyataan oleh Tentera Laut Amerika Syarikat mengatakan bahawa kehadiran USS Seawolf bertujuan memastikan kawasan perairan di Pasifik terus kekal bebas dan boleh dilayari oleh semua pihak tanpa ada sekatan oleh mana-mana pihak.

Kapal selam daripada kelas-Seawolf ini amat menarik kerana ia dikatakan aset bawah permukaan Tentera Laut Amerika Syarikat yang amat “secretive” (rahsia) kerana misi-misi yang dilaksanakannya.

Tentera Laut Amerika Syarikat dikatakan mempunyai hanya tiga buah kapal selam kelas- Seawolf iaitu USS Seawolf, USS Connecticut dan USS Jimmy Carter, walaupun pada mulanya bercadang memiliki sehingga 29 buah kapal selam kelas itu.

Dan dua daripada tiga kapal selam itu kini disahkan berada di Pasifik, menunjukkan kapal selam itu mungkin terbabit dalam “misi penting” di rantau Indo-Pasifik.

Seawolf
Kapal selam USS Seawolf meninggalkan pangkalannya di Kitsap-Bremerton, Washington menuju ke Indo-Pasifik. (gambar Tentera Laut Amerika Syarikat)

 

Kapal selam kelas-Seawolf yang mempunyai berat kira-kira 9,000 tan dan membawa peluru berpandu seperti Tomahawk, Harpoon dan torpedo ini turut dilengkapi dengan pelbagai peralatan elektronik yang sensitif bagi membolehkan ia menjalankan tugas-tugas mengumpul maklumat perisikan serta misi-misi khas yang lain.

Kapal selam kelas-Seawolf dikatakan telah menjalani pengubahsuaian besar-besaran bagi membolehkan ia membawa pelbagai peralatan sensitif yang digunakan untuk misi-misi khas mengumpul maklumat perisikan berhampiran dengan kawasan pesisiran pantai negara dianggap musuh.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...