Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Britain Cadang Beri Greek Dua Kapal Friget Type 23 Secara Percuma

Dalam tindakan yang bakal menyemarakkan lagi konflik antara Greek dan Turki, kerajaan Britain bercadang memberi secara percuma dua buah kapal friget Type 23 berusia 30 tahun milik Tentera Lautnya kepada Athens.

0 2,170

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Dalam tindakan yang bakal menyemarakkan lagi konflik antara Greek dan Turki, kerajaan Britain bercadang memberi secara percuma dua buah kapal friget Type 23 berusia 30 tahun milik Tentera Lautnya kepada Athens.

Kedua-dua kapal perang itu, HMS Monmouth (F235) dan HMS Montrose (F236) dicadang diberikan secara percuma kepada Greek sebagai sebahagian daripada pakej penjualan empat buah kapal friget Arrowhead 140 atau Type 31 yang dibangunkan oleh syarikat Babcock International kepada negara Mediterranean itu.

Maknanya, jika Greek bersetuju untuk membeli empat buah friget Arrowhead 140 daripada Babcock International, maka mereka akan diberikan secara percuma dua buah kapal friget Type 23 yang bakal dibersarakan oleh Tentera Laut British tidak lama lagi.

Beli empat dapat dua percuma.

Ini adalah taktik pemasaran untuk memikat hati pembeli iaitu Greek.

Babcock
Kapal friget Tentera Laut British, HMS Montrose.

 

Walaupun ia hanyalah taktik pemasaran oleh syarikat Babcock International, tetapi sudah pasti musuh Greek iaitu Turki tidak akan bersetuju dengan tindakan Britain kerana ia sudah semestinya akan memberikan kelebihan (walaupun kapal itu sudah berusia hampir 30 tahun) kepada Athens.

Setakat ini Turki belum lagi memberikan reaksi balas terhadap cadangan oleh Britain dan syarikatnya itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Babcock International David Lockwood berkata, mereka telah mengadakan beberapa siri rundingan dengan pegawai-pegawai berkenaan Greek tentang cadangan penjualan kapal friget Arrowhead 140 kepada negara itu.

Perancangannya adalah Greek boleh menggunakan kedua-dua buah kapal friget Type 23 itu sementara menunggu pembinaan empat buah kapal Arrowhead 140 itu siap yang dijangka mengambil masa beberapa tahun.

Tentera Laut British telah memilih Arrowhead 140 General Purpose Frigate yang dibangunkan oleh syarikat Babcock sebagai kapal friget terbarunya, Type 31.

Babcock
Kapal perang Type 31 Tentera Laut British.

 

Cadangan oleh Britain itu sebenarnya bertujuan membantu tentera laut Greek menangani apa yang disifatkannya sebagai tindakan agresif Turki di timur Mediterranean terutamanya membabitkan kawasan perairan yang kaya dengan sumber minyak dan gas.

Kedua-dua negara itu sedang berebut beberapa kawasan perairan di Timur Mediterranean yang kaya dengan sumber asli.

Berhadapan dengan tentera Turki yang lebih berkemampuan, Greek telah bertindak meningkatkan lagi belanjawan pertahananya, sehingga menyaksikan Athens membeli 18 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis dalam penjualan yang dianggarkan bernilai US$3 bilion (RM12 bilion).

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...