Laut China Selatan Semakin “Panas”, Negara Serantau Tambah Kapal Selam
Bagaimana “sibuknya” perairan di Laut China Selatan itu dengan kehadiran kapal-kapal perang permukaan (surface warship) daripada negara-negara serantau serta Amerika Syarikat dan lain-lain negara, keadaan yang sama juga boleh dijangkakan berlaku di bawah permukaan dengan "pertembungan" kapal selam pelbagai negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Keadaan di Laut China Selatan pada ketika ini bukan sahaja “panas” di atas permukaan air tetapi kita semua boleh menjangkakan dengan tahap kebenaran yang amat tinggi bahawa keadaan di bawah permukaan perairan itu juga tidak kurang panasnya.
Bagaimana “sibuknya” perairan di Laut China Selatan itu dengan kehadiran kapal-kapal perang permukaan (surface warship) daripada negara-negara serantau serta Amerika Syarikat dan lain-lain negara, keadaan yang sama juga boleh dijangkakan berlaku di bawah permukaan dengan “pertembungan” kapal selam pelbagai negara.
Tidak dapat dinafikan kemungkinan sedang berlakunya “standoff” di antara kapal-kapal selam berkuasa nuklear China dengan Amerika Syarikat dan sekutunya di Laut China Selatan dan luar daripada perairan strategik itu seperti di Lautan Pasifik.
Oleh kerana itulah, negara-negara di Asia Tenggara telah meningkatkan pegangan aset bawah laut mereka – Thailand telah memesan tiga buah kapal selam S-26T daripada China, Filipina sedang kaji nak beli “Scorpene”, Singapura tambah empat buah lagi kapal selam Jerman dan Vietnam dah ada enam buah kapal selam Kilo Russia manakala Indonesia juga meneruskan program perolehan kapal selamnya.
Selepas menerima kapal selam jenis-Chang Bogo buat syarikat Korea Selatan, Jakarta kini sedang menilai beberapa buah jenis kapal selam lain untuk memperkuatkan pertahanan dasar lautnya, selepas tragedi tenggelamnya KRI Nanggala yang berusia lebih 40 tahun itu baru-baru ini.
Myanmar juga sudah mempunyai dua kapal selam, walaupun keduanya ehsan daripada India dan China tetapi ia sudah pasti akan memahirkan diri dengan operasi kapal selam dan taktik/strategi peperangan bawah permukaan,
Selaras dengan trend terkini, adalah tidak memeranjatkan juga sekiranya negara-negara seperti Kemboja dan Timor Leste juga sedang membuat perancangan untuk memiliki kapal selam bagi tentera laut mereka.
Nasib baik, Laos itu adalah sebuah negara “landlocked”, jikalau tidak ia pun berkemungkinan sedang merancang untuk memiliki kapal selam.
Australia juga kini beralih ke kapal selam nuklear, bagi membolehkan ia menangani ancaman keselamatan daripada kapal selam China di Indo-Pasifik termasuk Laut China Selatan.
Bagi Malaysia, kita terpaksa bergantung kepada dua buah kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri yang kita terima pada 2007-2008.
Kedua-dua kapal selam “Scorpene” kelas-Perdana Menteri yang dimiliki oleh TLDM, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak tidak dapat dinafikan adalah aset-aset yang berkemampuan, dengan kedua-duanya dilengkapi dengan peluru berpandu Exocet SM39 dan torpedo “Black Shark.”
Kita pun meletakkan kedua-dua kapal selam kita di Pangkalan Kota Kinabalu, berhadapan dengan Laut China Selatan, menyedari bahawa lapangan operasi paling penting untuk KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Abdul Razak adalah di perairan itu.
Harapan kita semua adalah, kerajaan berusaha untuk menambah pegangan kapal selam kita, sekurang-kurangnya dua buah lagi bagi menjadikan keseluruhan aset kapal selam kelas-Perdana Menteri TLDM kepada empat buah.
Bergantung kepada hanya dua buah kapal selam untuk satu tempoh yang lama, mengawasi keluasan perairan yang amat luas sememangnya tidak baik atas sebab-sebab yang ramai daripada kita sudah pun ketahui.
Bagaimanapun, kita terpaksa menerima hakikat bahawa buat masa ini kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk menambah pegangan kapal selam, dengan faktor kekurangan dana berkemungkinan besar menjadi puncanya.
Dalam satu temuramah dengan majalah pertahanan berbahasa Inggeris, Asia Defence Journal (ADJ) keluaran Mei-Jun tahun lepas, Panglima TLDM Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, buat masa ini tiada perancangan untuk memperoleh kapal selam baru.
“Buat masa ini, tiada perancangan untuk memperoleh kapal selam baru. Kedua-dua kapal selam Scorpene di dalam inventori kita baru sahaja selesai menjalani program refit selaras dengan usaha penyelenggaran rutinnya.”
“Kemampuan kedua-dua kapal selam itu pada ketika ini masih legi signifikan untuk keperluan operasi.”
“Dimasa depan, TLDM terbuka untuk teknologi-teknologi baru bagi menaiktaraf, peningkatan atau perolehan untuk memenuhi keperluan operasi pada masa depan,” kata Panglima TLDM itu dalam temuramah terbabit.
Daripada apa yang diperkatakan oleh Mohd Reza dalam temuramah itu, nampaknya, TLDM perlu menggunakan kedua-dua kapal selam kelas-Perdana Menteri untuk tempo operasi yang amat tinggi bagi mengawasi sempadan perairan bawah permukaan negara daripada dicabul oleh mana-mana kapal selam asing.
Tidak tahulah apa kesan yang terpaksa ditanggung oleh kapal-kapal selam kita itu hasil daripada tempoh operasi yang amat tinggi itu. — DSA