Kapal Destroyer Kelas-Abukuma Jepun Beri Tentera Laut Filipina “Taring” Baharu di Laut China Selatan

Kapal destroyer kelas-Abukuma Jepun bangkitkan keupayaan tembakan Filipina dalam perairan pertikaian Laut China Selatan.

Dalam langkah bersejarah yang bakal merubah imbangan kuasa maritim di Asia Tenggara, Kerajaan Jepun dilaporkan sedang merancang untuk memindahkan sehingga enam buah kapal destroyer kelas-Abukumakepada Tentera Laut Filipina.
Langkah ini bukan sahaja memperkukuh kerjasama strategik antara Tokyo dan Manila tetapi juga memberikan lonjakan sebenar kepada kemampuan tembakan tentera laut Filipina yang sebelum ini amat terhad.
Walaupun kapal-kapal destroyer (pemusnah) ini dianggap ‘veteran’ mengikut piawaian moden — dengan kebanyakannya dibina antara hujung 1980-an hingga awal 1990-an — ia masih mengekalkan keupayaan tempur anti-kapal selam dan anti-permukaan yang sangat diperlukan oleh Filipina untuk mempertahankan kedudukannya di Laut Filipina Barat.
Armada Tentera Laut Filipina sejak sekian lama berdepan kekangan besar kerana ketiadaan kapal tempur permukaan utama yang dilengkapi peluru berpandu anti-kapal dan torpedo yang berkesan.
Usaha pemodenan yang wajar dipuji — seperti kemasukan dua buah frigat kelas Jose Rizal dari Korea Selatan dan korvet baharu yang sedang dibina oleh Hyundai Heavy Industries — belum cukup untuk menutup jurang kemampuan dengan China yang semakin agresif di Laut China Selatan.
Namun, ketibaan kapal pemusnah Abukuma-class ini memberi isyarat bahawa Filipina kini melangkah ke tahap yang jauh lebih tinggi.
Tidak seperti korvet lama dan kapal era Perang Dunia Kedua yang sudah lama ditamatkan perkhidmatan, kapal desytoyer kelas-Abukuma dibina dengan sensor moden, pelancar peluru berpandu permukaan ke permukaan, meriam laut 76 mm Oto Melara dan pelancar torpedo anti-kapal selam — kesemua ini secara automatik meningkatkan keupayaan Manila untuk mengancam mana-mana kapal dan kapal selam musuh.
Abukuma
Kapal destroyer kelas-Abukuma Jepun
Kapal pemusnah ini pada asalnya ditauliahkan oleh Pasukan Pertahanan Diri Maritim Jepun (JMSDF) sebagai destroyer escort (DE).
Dengan berat sekitar 2,000 tan, reka bentuknya memang dikhususkan untuk misi anti-kapal selam tetapi fleksibel untuk menjalankan operasi tempur permukaan.
Setiap kapal dilengkapi dengan pelbagai sistem utama:
Peluru berpandu anti-kapal RGM-84 Harpoon — memberikan pukulan jarak jauh yang berkesan terhadap kapal permukaan musuh.
Mark 32 triple torpedo tubes untuk torpedo ringan — membuka dimensi baharu peperangan bawah permukaan bagi Tentera Laut Filipina.
Meriam pantas 76 mm Oto Melara — sesuai untuk ancaman udara dan permukaan.
Phalanx CIWS (Close-In Weapon System) untuk varian yang dinaik taraf — menyediakan pertahanan terakhir terhadap peluru berpandu musuh atau pesawat penyerang.
Walaupun kelas ini tidak mempunyai hangar helikopter, ia dilengkapi dek pendaratan yang membolehkan operasi sementara helikopter ASW — satu lagi kuasa berganda jika diintegrasi dengan baik bersama helikopter AW159 Wildcat milik Tentera Laut Filipina atau aset rotary-wing yang bakal diperolehi pada masa depan.
Penyertaan peluru berpandu anti-kapal Harpoon tidak boleh dipandang ringan.
Tidak seperti kapal peronda ringan tanpa senjata berpandu, Harpoon membolehkan Tentera Laut Filipina memanjangkan jarak ancaman mereka ke dalam Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ).
Pada saat China melalui militia maritim, Pengawal Pantai, dan Tentera Laut PLA kerap menguji kedaulatan Filipina di Scarborough Shoal dan Second Thomas Shoal, kehadiran kapal yang beroperasi dengan Harpoon menambah lapisan deterren yang benar-benar kredibel.
Sebagaimana dilaporkan seorang penganalisis keselamatan serantau, “Keupayaan baharu ini bakal meningkatkan keupayaan pengawasan dan tindak balas pantas Filipina di kawasan pertikaian.”
Bukan sekadar peluru berpandu, keupayaan anti-kapal selam (ASW) kapal destroyer kelas-Abukuma juga membantu dalam menampung kelemahan Tentera Laut Filipina.
Laporan mengenai kapal selam kelas Yuan milik China yang beroperasi di sekitar perairan Palawan dan Kepulauan Spratly semakin membimbangkan Manila — lebih-lebih lagi apabila kemampuan Filipina mengesan dan menghapuskan pencerobohan bawah permukaan masih di tahap asas.
Dengan sonar badan kapal dan pelancar torpedo, kapal destroyer kelas-Abukuma memperluaskan jejak operasi ASW Filipina berlipat ganda.
Jika disokong oleh operasi bersama helikopter AW159 Wildcat, keupayaan ini mampu memberi kesan ‘force multiplier’ dalam pertempuran bawah permukaan.
Pemindahan ini juga penting bagi Jepun.
Selama beberapa dekad, perlembagaan Jepun yang berhaluan pasifis sangat mengehadkan eksport senjata.
Namun, di bawah garis panduan keselamatan baharu yang diluluskan pada 2022, Tokyo kini boleh memindahkan peralatan senjata maut kepada negara yang menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau.
Perjanjian pemindahan kapal destroyer kelas-Abukuma boleh dianggap sebagai eksport tentera laut signifikan pertama Jepun, menonjolkan kesediaannya untuk mengekang peluasan pengaruh China bersama rakan ASEAN.
Selain itu, langkah ini turut melengkapi pakatan keselamatan tiga hala yang semakin kukuh antara Manila, Tokyo dan Washington, terutamanya selepas termeterainya Reciprocal Access Agreements (RAA) dan rondaan maritim bersama yang dirancang.
Sudah pasti, kapal-kapal ini mempunyai keterbatasan atau hadnya.
Dengan usia melebihi 30 tahun, meskipun diselenggara dengan rapi oleh JMSDF, Filipina masih akan berdepan cabaran logistik seperti alat ganti, peluru berpandu Harpoon yang perlu dipanjangkan hayatnya, serta keperluan latihan krew yang mahir.
Kos pengubahsuaian, latihan krew dan penyelenggaraan dianggarkan memerlukan puluhan juta Dolar Amerika setiap kapal — sekitar USD 30 juta hingga USD 60 juta (RM140 juta hingga RM280 juta).
Namun jika dibandingkan dengan kos pembinaan korvet baharu yang boleh mencecah USD 250 juta hingga USD 350 juta (RM1.1 bilion hingga RM1.6 bilion), langkah ini jauh lebih berbaloi sebagai penyelesaian jangka sederhana.
Di luar perairan Filipina, pemindahan ini turut mengirim mesej yang jelas ke seluruh rantau.
Ia membuktikan bahawa Jepun kini bukan sekadar pemain ekonomi senyap di ASEAN, tetapi sanggup meningkatkan footprint keselamatan mereka.
Langkah ini juga bakal mendorong negara ASEAN lain seperti Vietnam, Indonesia dan Malaysia untuk menilai pendekatan sama — sama ada melalui pemerolehan platform terpakai, pembangunan bersama atau perjanjian interoperabiliti.
Realitinya, enam buah kapal Abukuma-class tidak akan mampu menandingi armada frigat, korvet dan kapal pemusnah moden milik China yang semakin berkembang.
Namun, itu bukanlah tujuan utamanya.
Sebaliknya, ia berfungsi sebagai kuasa penampan yang membolehkan Tentera Laut Filipina beroperasi secara asimetri: memantau, bertindak balas dan, jika perlu, melancarkan serangan dengan tahap kredibiliti yang mampu mengubah percaturan risiko Beijing.
Pemindahan enam kapal pemusnah Abukuma-class oleh Jepun akan memberikan “taring” baharu kepada armada permukaan Filipina.
Dengan keupayaan peluru berpandu anti-kapal Harpoon dan torpedo, Manila buat pertama kali memiliki kuasa tembakan ‘sea denial’ yang boleh diharapkan.
Di tengah-tengah caturan geopolitik Laut China Selatan yang semakin meruncing — dari Scarborough Shoal hingga Selat Taiwan — langkah ini menjadi simbol nyata bahawa kuasa-kuasa Indo-Pasifik enggan tunduk begitu sahaja di bawah tekanan.

SNIPPET

Walaupun berusia, kapal pemusnah Abukuma-class Jepun memberikan Tentera Laut Filipina kuasa peluru berpandu Harpoon dan torpedo buat pertama kali untuk menyaingi tekanan maritim China.

Leave a Reply