Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kami Tidak Mahu Cari Gaduh Dengan Sesiapa” – Kementerian Pertahanan British

Dalam satu kenyataan kepada stesen televisyen kabel, CNN.com, jurucakap itu berkata, kapal-kapal perang British dan sekutunya yang belayar di perairan strategik dunia itu tidak mahu “mencari gaduh” dengan sesiapa.

0 3,812

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Seorang jurucakap Kementerian Pertahanan British mempertahankan tindakan kapal pengangkut pesawatnya, HMS Queen Elizabeth dan kapal-kapal perang daripada Carrier Strike Group 2021 (CSG21) untuk belayar di Laut China Selatan, yang didakwa oleh Beijing sebagai miliknya.

Dalam satu kenyataan kepada stesen televisyen kabel, CNN.com, jurucakap itu berkata, kapal-kapal perang British dan sekutunya yang belayar di perairan strategik dunia itu tidak mahu “mencari gaduh” dengan sesiapa.

“Sebagaimana yang diperkatakan oleh setiausaha pertahanan British kepada Parlimen negara itu pada April,kita tidak mahu ke dunia sana untuk menjadi provokatif. Kita akan menunjukkan keyakinan kita tetapi tidak berkonfrontasi,” menurut jurucakap itu.

Kenyataan jurucakap Kementerian Pertahanan menyusul beberapa pernyataan marah oleh China yang disiarkan menerusi akhbar miliknya “Global Times”.

Akhbar-akhbar China itu menuduh Britain mahu menimbulkan kekacauan di Laut China Selatan atas suruhan Amerika Syarikat.

Queen Elizabeth
HMS Queen Elizabeth ketika belayar di Terusan Suez.

 

Beijing juga menuduh British cuba mengembalikan kedudukannya sebagai kuasa kolonial seperti dahulu.

“Kami memberi amaran yang keras kepada kumpulan ini (HMS Queen Elizabeth dan CSG21) bahawa mereka perlu mematuhi peraturan dan mengikuti laluan perkapalan antarabangsa sedia ada dan kekal menjauhi jarak 12 batu nautika daripada pulau-pulau dan terumbu karang milik China itu,” menurut kenyataan oleh China itu.

Jurucakap Kementerian Pertahanan British berkata kapal HMS Queen Elizabeth dan kapal perang yang lain belayar di laluan yang sama digunakan oleh satu pertiga industri perkapalan dunia setiap tahun.

Beliau berkata kapal perang British dan sekutunya menggunakan laluan perkapalan di perairan antarabangsa ke Laut Filipina untuk menjalankan latihan tentera bersama-sama sekutu-sekutunya.

TLDM
HMS Queen Elizabeth diiringi kapal TLDM. (Gambar kredit Commodore Steve Moorhouse di @smrmoorhouse)

 

Beberapa hari lepas, imej-imej satelit terkini daripada pemerhati OSINT antarabangsa menunjukkan kapal HMS Queen Elizabeth dan 10 buah kapal pengiringnya berada berhampiran dengan Kepulauan Spratly dan Kepulauan Paracel di Laut China Selatan.

China telah menduduki secara haram beberapa buah terumbu karang di kawasan perairan itu dan bertindak melakukan penambakan besar-besaran sehingga menjadikan ia “pulau-pulau buatan manusia” yang lengkap dengan pelbagai kemudahan awam dan ketenteraan.

Ia kini mengakui bahawa terumbu-terumbu karang itu adalah miliknya dan akan bertindak menghalau mana-mana kapal yang menghampiri 12 batu nautika.

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments
Loading...