Kadar Keberkesanan Sistem Pertahanan Udara Israel Merosot, Hanya 65 Peratus Serangan Iran Dipintas
Seorang pegawai perisikan kanan Israel, yang dipetik oleh media Amerika Syarikat, mengesahkan penurunan drastik itu, sambil menyatakan bahawa Iran kini menggunakan peluru berpandu yang lebih laju, lebih lincah serta mempunyai teknologi terkini sehingga berjaya mengurangkan masa amaran Israel daripada 10 minit kepada hanya enam minit sahaja.
(DEFENCE SECURITY ASIA) —Sistem pertahanan peluru berpandu Israel yang sebelum ini dianggap antara paling canggih di dunia kini berada dalam keadaan genting apabila kadar pemintasannya jatuh kepada hanya 65 peratus dalam tempoh 24 jam lalu—penurunan ketara daripada 90 peratus yang dicapai hanya sehari sebelumnya.
Seorang pegawai perisikan kanan Israel, yang dipetik oleh media Amerika Syarikat, mengesahkan penurunan drastik itu, sambil menyatakan bahawa Iran kini menggunakan peluru berpandu yang lebih laju, lebih lincah serta mempunyai teknologi terkini sehingga berjaya mengurangkan masa amaran Israel daripada 10 minit kepada hanya enam minit sahaja.
Peluru berpandu baharu Iran itu dilengkapi sistem panduan terminal fasa akhir yang membolehkan ia menyerang dengan ketepatan tinggi terhadap sasaran bernilai tinggi, termasuk serangan ke atas sebuah hospital di Beersheba, sekali gus mendedahkan kelemahan ketara dalam sistem pelindung udara Israel.
“Iran memang memiliki sistem navigasi untuk fasa akhir serangan yang membolehkan mereka melancarkan serangan dengan sangat tepat dan mengenai sasaran yang mereka kehendaki, seperti hospital di Beersheba hari ini,” kata pegawai itu.
Dalam situasi yang lebih membimbangkan, tentera Israel mengesahkan bahawa Iran kini telah menggunakan peluru berpandu berpeledak berbilang (cluster munitions), yang mampu melepaskan beberapa hulu ledak semasa dalam penerbangan, menjadikan ia ancaman rumit dan mencabar untuk dipintas secara serentak oleh unit pertahanan udara.
Laporan Army Radio, yang memetik sumber keselamatan Israel, menyatakan bahawa peluru berpandu yang menyerang kawasan Gush Dan baru-baru ini mengandungi beberapa hulu ledak bebas—satu evolusi serangan yang membuktikan adanya kelemahan dalam protokol pertahanan udara sedia ada.
Walaupun beberapa komander kanan Kor Pengawal Revolusi Iran (IRGC) terbunuh dalam serangan Israel sebelum ini, Tehran terus melancarkan serangan balas secara konsisten dengan apa yang disifatkan oleh pegawai perisikan Israel sebagai strategi “kesabaran strategik”, iaitu menggunakan pendekatan jangka panjang dengan teknologi peluru berpandu berketepatan tinggi tanpa mencetuskan perang secara besar-besaran.
“Peluru berpandu Iran yang lebih laju yang dilancarkan dalam tempoh 24 jam lalu turut memberikan Israel kurang masa untuk membuat persiapan sebelum peluru itu menghampiri sasaran yang dituju,” katanya dan tambah pegawai itu, memberi amaran bahawa keupayaan sistem pertahanan Israel kini semakin ketinggalan dari segi kelajuan dan keupayaan teknikal.
Sistem pertahanan berlapis Israel—yang terdiri daripada Iron Dome untuk ancaman jarak dekat, David’s Sling untuk peluru berpandu jarak sederhana, dan Arrow-2 serta Arrow-3 untuk peluru berpandu jarak jauh serta eksosfera, ditambah dengan sistem THAAD milik Amerika Syarikat—telah digunakan sejak 2011 dan dianggap sebagai model sistem pertahanan peluru berpandu moden.
Namun, keupayaan sistem itu kini benar-benar diuji.
Susulan serangan Israel ke atas kemudahan ketenteraan Iran pada 13 Jun 2025, Tehran membalas dengan gelombang serangan peluru berpandu dan dron, dan kini telah menambah senjata hipersonik seperti Fattah-1 dan Sejjil ke dalam senjatanya.
Senjata hipersonik ini mampu melakukan manuver pada kelajuan tinggi dan amat sukar untuk dikesan serta dipintas, menyebabkan sistem radar dan kawalan tembakan Israel menjadi kurang berkesan, dan menolak sistem pertahanan negara itu ke had maksimum.
Walaupun bilangan pelancaran peluru berpandu oleh Iran menurun—daripada sekitar 150 serangan pada hari pertama kepada sekitar tiga dozen sehari—namun tahap bahaya dan kadar penembusan sistem pertahanan Israel telah meningkat secara mendadak.

Sumber ketenteraan Israel menyatakan bahawa daripada hanya 10 peratus peluru berpandu Iran berjaya melepasi pertahanan pada awal konflik, angka itu kini meningkat kepada hampir 35 peratus, menunjukkan bahawa Iran sedang menyesuaikan taktik mereka secara langsung berdasarkan maklum balas medan perang.
Setiap percubaan untuk memintas kini meletakkan beban besar ke atas stok simpanan peluru pemintas Israel, dengan beberapa senario memerlukan penggunaan berbilang peluru pemintas, malah ada yang mencecah lebih 10 peluru untuk memintas satu ancaman, terutamanya terhadap peluru berpandu MIRV atau yang dilengkapi umpan elektronik.
Dari sudut kewangan, kos untuk mempertahankan ruang udara Israel kini semakin membebankan.
Menurut The Marker, Israel kini membelanjakan sekitar $285 juta (RM1.34 bilion) setiap malam untuk mengekalkan pertahanan udara mereka, terutamanya bagi peluru pemintas Arrow yang berharga $3 juta (RM14 juta) sebutir.
Malah, krisis baru sedang melanda—kehabisan peluru pemintas.
Laporan The Wall Street Journal menyatakan bahawa Israel mungkin hanya mempunyai cukup peluru pemintas untuk bertahan 10 hingga 12 hari lagi sekiranya Iran mengekalkan kadar pelancaran semasa.

Situasi ini telah menyebabkan pihak perancang ketenteraan Israel mula mengubah keutamaan pertahanan, dengan hanya memintas peluru berpandu yang benar-benar mengancam lokasi kritikal seperti tapak nuklear, pangkalan tentera, dan kawasan bandar utama, sambil membiarkan peluru berpandu lain jatuh di kawasan terbuka.
“Sistem pertahanan sedia ada kini sudah terlalu terbeban,” kata seorang sumber kanan yang dipetik dalam laporan tersebut.
Meskipun sistem Iron Dome masih boleh mengekang ancaman jarak dekat dan David’s Sling mengurus peluru berpandu jarak sederhana, sistem Arrow—yang menjadi benteng akhir Israel terhadap peluru berpandu jarak jauh—kini semakin hampir ke tahap kehabisan.
Sumber pertahanan Amerika mengesahkan bahawa Washington telah mengetahui lebih awal mengenai kekurangan ini dan sedang mempercepatkan bantuan ketenteraan serta berkongsi inventori peluru berpandu dengan Israel secara senyap.
Namun, Amerika Syarikat turut berdepan tekanan logistik kerana pada masa sama sedang menghantar bantuan ke Ukraine dan Taiwan, yang berkemungkinan menyebabkan rantai bekalan peluru berpandu Barat turut terkesan.
Satu laporan susulan oleh The Washington Post, yang memetik sumber perisikan bersama AS-Israel, turut memberi amaran bahawa Israel hanya mempunyai kira-kira 10 hingga 12 hari stok peluru pemintas, dan menjelang hujung minggu ini, mereka mungkin terpaksa memilih hanya untuk memintas ancaman yang paling merbahaya.
