Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Pejuang Turkiye “KAAN” Lakukan Penerbangan Sulung Sebelum Mac Ini

Menurut Turkish Aerospace Industries (TAI), penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu dijangka akan berlaku sebelum akhir Mac ini memandangkan pesawat itu perlu melakukan lagi “beberapa ujian” penting.

0 2,871

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas tertangguh beberapa bulan, pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, “KAAN” dijangka melakukan penerbangan sulung pada sebelum bulan Mac ini, menurut ketua pegawai eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI).

Perkara itu dinyatakan oleh Temel Kotil dan dipetik oleh media-media tempatan.

Menurut beliau, penerbangan sulung pesawat pejuang “KAAN” itu dijangka akan berlaku sebelum akhir Mac ini memandangkan pesawat itu perlu melakukan lagi “beberapa ujian” penting.

Sebelum ini, pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada akhir Disember tahun lepas, sebelum dibatalkan pada saat-saat akhir selepas dilakukan siri ujian di darat (ground test) dan ujian taxi (taxi test).

Pengenalan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye, “KAAN” itu membuktikan bahawa Turkiye tidak memerlukan pesawat pejuang F-35 di dalam armada tentera udaranya.

Turkiye kini memiliki pesawat pejuang generasi kelima pengganti kepada F-35.

KAAN
“KAAN”

 

Beberapa hari lepas,  Amerika Syarikat menyatakan ia bersedia “menerima kembali” Turkiye ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima, F-35 walaupun kedua-dua negara masih bertelagah tentang pembelian sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia oleh Ankara.

Perkara itu dinyatakan sendiri oleh Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland semasa temuramah dengan CNN Turk di Turkiye.

“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”

Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.

Turkiye sepatutnya memperolehi 100 buah pesawat F-35 buatan syarikat Lockheed Martin itu, tetapi Washington bertindak “mengeluarkan” negara Mediterranean itu daripada program pembangunan pesawat terbabit selepas Ankara bertindak membeli sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia.

KAAN
“KAAN”.

 

Malah Ankara telah membayar “wang pendahuluan” sebanyak US$1.4 bilion (RM5.4 bilion) kepada Amerika Syarikat untuk menyertai program pembangunan pesawat itu.

Ankara mengambil keputusan memperolehi sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia selepas permintaannya untuk memperolehi sistem pertahanan udara “Patriot” buatan Amerika Syarikat ditolak oleh Washington.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2. — DSA

To contact email: lulwabyadah@gmail.com 

Comments
Loading...