“KAAN” Akan Berjalan Seperti Biasa Walau Turkiye Dibenarkan Semula Beli F-35 Oleh Amerika
Pegawai kanan Turkish Aerospace Industries (TAI) yang ditemui ketika pameran pertahanan DSA & NATSEC 2024 baru-baru ini berkata, program pembangunan “KAAN” tidak akan terjejas walaupun sekiranya Turkiye dibenarkan semula untuk membeli pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye “KAAN” akan diteruskan seperti dirancang, walaupun terdapat spekulasi mengatakan bahawa negara Mediterranean itu akan dibenarkan kembali untuk membeli pesawat pejuang F-35.
Pegawai kanan Turkish Aerospace Industries (TAI) yang ditemui ketika pameran pertahanan DSA & NATSEC 2024 baru-baru ini berkata, program pembangunan “KAAN” tidak akan terjejas walaupun sekiranya Turkiye dibenarkan semula untuk membeli pesawat pejuang F-35 buatan Amerika Syarikat itu.
“Pada 2028, TAI akan mula menyerahkan 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye. Walaupun sekiranya Turkiye membeli F-35, Amerika Syarikat tidak akan mampu menyerahkan pesawat (F-35) dibeli Turkiye itu pada tahun 2028.”
“Sekiranya Turkiye dibenarkan untuk memperoleh F-35, mereka tidak akan memperolehinya pada 2028. Tentera Udara Turkiye akan memperolehi pesawat pejuang KAAN pada 2028, iaitu empat tahun daripada sekarang. Mereka akan gunakan pesawat KAAN lebih awal,” katanya.
TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN”.
Turkiye, sebuah negara anggota NATO melancarkan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” pada 2016.
Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.
Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.
Ditanya mengenai enam buah pesawat pejuang F-35 milik Turkiye yang telah siap dan kini berada di Amerika Syarikat, pegawai kanan TAI itu berkata, keenam-enam buah pesawat pejuang generasi kelima itu sebenarnya telah pun dijual kepada negara pengeluarnya.
Turkiye pada awalnya merupakan rakan kerjasama program pesawat F-35 dengan negara itu akan memperolehi 100 buah pesawat itu manakala syarikat-syarikat negara Mediterranean itu menghasilkan kira-kira 900 komponen untuk pesawat itu.
Malah negara Mediterranean itu telah pun membayar “wang pendahuluan” sebanyak US$1.4 bilion (RM6.56 billion) untuk menyertai program F-35 itu.
Bagaimanapun keputusan Turkiye untuk memperolehi sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia telah menyebabkan ia “ditendang keluar” daripada program pembangunan pesawat pejuang F-35 dan dilarang memperolehi pesawat pejuang itu.
Amerika Syarikat bimbang Russia akan menggunakan sistem pertahanan S-400 untuk mengumpul pelbagai maklumat tentang pesawat F-35.
Bukan sahaja Amerika tidak memulangkan kembali wang pendahuluan berjumlah US$1.4 billion itu, malah enam buah pesawat F-35 miliknya yang telah pun disiap dibina masuk “terperuk” di dalam hangar di negara pengeluarnya dan tidak dibenarkan dihantar ke Turkiye.
Awal bulan ini, “KAAN” telah berjaya melakukan penerbangannya yang kedua pada Isnin, beberapa bulan selepas penerbangan sulung bersejarahnya Februari lalu.
Pada penerbangan keduannya, pesawat pejuang generasi kelima “KAAN” berada di udara selama 14 minit, terbang di altitud 10,000 kaki dengan kelajuan 230 knot, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Agensi Industri Pertahanan (SSB) negara itu.
Penerbangan sulung “KAAN” berlaku pada 21 Februari yang lalu, memastikan Turkiye menyertai segelintir negara di dunia ini yang berkemampuan membangunkan pesawat pejuang generasi kelima dengan sendirinya.
Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller).
Sebelum ini , banyak spekulasi berkenaan penyertaan Turkiye dalam program pesawat pejuang F-35 sejak timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Victoria Nuland pada akhir Januari lepas menyatakan bahawa Washington bersedia “menerima kembali” negara Mediterranean itu ke dalam program pesawat pejuang generasi kelima itu.
“Jika kita dapat menyelesaikan isu sistem pertahanan udara S-400 (buatan Russia yang dibeli oleh Turkiye), di mana kita (Amerika Syarikat) mahu menyelesaikannya. Amerika Syarikat amat gembira untuk menerima kembali Turkiye ke dalam keluarga F-35.”
“Jika kita dapat mengatasi isu ini, isu CAATSA itu akan hilang dan kita boleh kembali ke perbincangan mengenai F-35,” kata beliau.
Kenyataan yang dibuat oleh Nuland itu telah menimbulkan pelbagai pertanyaan dan persoalan di Turkiye.
Duta Amerika Syarikat ke Turkiye Jeff Flake baru-baru ini menyatakan bahawa Nuland ketika melawat Turkiye Januari lalu telah “mencadangkan jalan penyelesaian” terhadap isu perolehan F-35 oleh negara Mediterranean itu.
Spekulasi yang sedang bertiup kencang di Turkiye hasil kenyataan Nuland itu menyatakan bahawa sekatan CAATSA yang dikenakan oleh Washington terhadap Turkiye itu berkemungkinan akan ditarik balik dan Ankara bakal dibenar meneruskan kembali pembelian 100 buah pesawat pejuang F-35 itu. — DSA