Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hanya Satu Malam, Israel Belanja US$1.5 billion (RM7.1 Billion) Untuk Tangkis Serangan Iran

Media Israel, Yediot Ahronoth memetik bekas penasihat kewangan kepada ketua staf Angkatan Tentera Israel,  Brig. Gen. Ram Aminach bahawa “usaha mempertahankan Israel semalam menelan belanja di antara 4-5 billion Shekel (US$1.5 billion = RM7.1 billion).”

0 2,039

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Israel dilaporkan terpaksa berbelanja lebih daripada US$1.5 billion (RM7.1 billion) untuk menangkis serangan peluru-peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran terhadap Israel semalam.

Hanya satu malam, Israel terpaksa berbelanja berbilion dollar Amerika Syarikat untuk menangkis serangan Iran itu.

Media Israel, Yediot Ahronoth memetik bekas penasihat kewangan kepada ketua staf Angkatan Tentera Israel,  Brig. Gen. Ram Aminach bahawa “usaha mempertahankan Israel semalam menelan belanja di antara 4-5 billion Shekel (US$1.5 billion = RM7.1 billion).”

“Dan ini hanya melibatkan kos secara langsung terhadap usaha memintas peluru-peluru berpandu dan dron berani mati Iran sahaja,” kata beliau.

Anggaran beliau itu tidak termasuk kos menerbangkan puluhan atau ratusan pesawat pejuang untuk menembak jatuh peluru-peluru berpandu dan dron berani mati yang dilancar oleh Iran itu ketika ia masih berada di ruang udara.

Israel
Sistem pertahanan udara anti-ballistik “Arrow”

 

Beliau menyatakan bahawa satu peluru berpandu sistem pertahanan udara ballistik “Arrow” bernilai US$3.5 juta (RM16.7 juta) manakala kos untuk peluru berpandu sistem pertahanan udara “Iron Dome” pula dianggar US$1 juta (RM4.5 juta). 

Pihak tentera Israel menganggarkan sistem pertahanannya terdiri daripada “Arrow”, “Iron Dome” dan “David Sling” telah berhadapan dengan kira-kira 300 buah peluru berpandu dan dron berani mati yang dilancar oleh Iran terhadapnya.

Lebih daripada 100 buah adalah peluru-peluru berpandu ballistik dan kruis.

Israel mendakwa sistem pertahannya berjaya menembak jatuh kira-kira 99 peratus daripada peluru berpandu dan dron berani mati dilancar oleh Iran itu.

Namun, Iran mendakwa peluru-peluru berpandu ballistiknya telah membedil Pangkalan Tentera Nevatim dan Pangkalan Udara Ramon yang menempatkan pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir serta F-16I Sufa Tentera Udara Israel (IAF)  yang terletak di padang pasir Negev di selatan Israel.

Iron Dome
“Iron Dome”

 

Pangkalan udara terbabit merupakan antara sasaran utama serangan peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran dinamakan “Operation True Promise” semalam.

Kedua-dua pangkalan Tentera Udara Israel itu dilapor memainkan peranan penting dalam misi serangan pesawat-pesawat pejuang Israel  mengebom bangunan kedutaan Iran di Damsyik, Syria pada awal bulan ini yang membunuh tujuh pegawai tentera Iran termasuk tiga yang berpangkat Jeneral.

Sumber-sumber mendakwa kepada media Iran bahawa sekurang-kurangnya 15 peluru berpandu ballistik Iran membedil Pangkalan Udara Nevatim di padang pasir Negev itu yang menempatkan skuadron pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir milik negara itu.

Bedilan peluru-peluru berpandu ballistik Iran itu turut berjaya dirakam oleh penduduk Israel yang tinggal berhampiran dengan pangkalan udara itu.

Pangkalan Udara Nevatim yang menempatkan Skuadron 140 atau juga dipanggil “Golden Eagle Squadron” Tentera Udara Israel mengoperasikan pesawat-pesawat pejuang F-35I Adir itu terletak berhampiran dengan bandar Be’er Sheva di tengah-tengah padang pasir Negev.

Israel
“David Sling”

 

Sementara itu sumber-sumber Iran juga mendakwa sekurang-kurangnya tujuh bedilan peluru berpandu ballistik negara itu telah membedil Pangkalan Udara Udara Ramon yang juga terletak di padang pasir Negev.

Tentera Israel mengakui bahawa Pangkalan Udara Ramon telah dibedil oleh peluru-peluru berpandu Iran tetapi mendakwa ia hanya mengalami kerosakan minimal.

Pangkalan Udara Ramon itu menempatkan pesawat-pesawat F-16I Sufa dan juga helikopter bersenjata AH-64D Apache.

Sementara itu terdapat juga laporan daripada Iran bahawa serangan peluru berpandu dan dron berani mati mensasarkan Pangkalan Tentera Meron  yang terletak di puncak Gunung Jarmak di utara Palestin, yang merupakan antara pangkalan tentera Israel yang paling penting.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel disifatkan oleh pemerhati sebagai salah sebuah pangkalan terpenting tentera Yahudi itu, dengan pemimpin-pemimpin kanan tenteranya diketahui sering berada di pangkalan itu untuk mengendalikan operasi tentera.

Israel
F-35I “Adir” Israel

 

Pangkalan tentera Meron itu dioperasikan oleh Batallion ke-11 506 Tentera Udara Israel.

Pangkalan tentera Meron milik tentera Israel itu adalah satu daripada dua pangkalan tentera yang mengurus, memantau dan mengawal operasi udara di Syria dan Lubnan. — DSA

Comments
Loading...