Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Jom Lihat Pesawat F-15K Slam Eagle Korea Selatan Lancar Peluru Berpandu Kruis “Taurus”

(VIDEO) Pihak Kementerian Pertahanan Korea Selatan telah mengeluarkan rakaman video menunjukkan pesawat pejuang F-15K Slam Eagle milik Tentera Udara Korea Utara melancarkan peluru berpandu kruis “Taurus” itu.

680
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Korea Selatan telah melaksanakan latihan pelancaran peluru berpandu “Taurus”, buat pertama kali sejak tujuh tahun yang lalu ketika ketegangan di Semenanjung Korea terus meningkat akibat kedegilan Korea Utara meneruskan ujian pelancaran peluru-peluru berpandu ballistiknya.
Pihak Kementerian Pertahanan Korea Selatan telah mengeluarkan rakaman video menunjukkan pesawat pejuang F-15K Slam Eagle milik Tentera Udara Korea Utara melancarkan peluru berpandu kruis “Taurus” itu.
Latihan pelancaran peluru berpandu kruis “Taurus” itu dipercayai berlaku pada 8 dan 10 Oktober.
Menurut maklumat daripada agensi berita negara itu, Yonhap yang memetik pegawai-pegawai Tentera Udara Korea Selatan menyatakan bahawa peluru berpandu kruis “Taurus” itu terbang sejauh 400km dan berjaya membedil sasarannya yang terletak di Laut Kuning (Yellow Sea).
Kali terakhir Tentera Udara Korea Selatan melancarkan peluru berpandu kruis “Taurus” dalam latihan adalah pada 2017 sebagai reaksi terhadap tindakan rejim Korea Utara melaksanakan ujian nuklearnya.
Peluru berpandu kruis “Taurus” itu berkemampuan terbang selaju 1,163 km sejam untuk membedil kemudahan-kemudahan tentera utama Korea Utara hanya 15 minit selepas ia dilancarkan daripada ruang udara di Seoul.
Dilengkapi dengan teknologi halimunan, peluru berpandu kruis “Taurus” itu adalah amat tepat dan berkemampuan menembusi dinding konkrit, sekaligus membolehkan ia membedil kubu-kubu bawah tanah milik Korea Utara.
Selain melaksanakan pelancaran peluru berpandu kruis “Taurus”, Tentera Udara Korea Selatan turut mengumumkan bahawa ia telah melaksanakan latihan untuk memintas peluru-peluru berpandu kruis membabitkan pesawat-pesawat pejuang F-35A dan F-16.
Tentera Udara Korea Selatan dipercayai menggunakan varian peluru berpandu kruis “Taurus KEPD 350K” pada pesawat-pesawat pejuang F-15K Slam Eagle, dengan kontrak perolehan awalan ditandatangani pada tahun 2013, dengan penyerahan peluru berpandu dipercayai berlaku pada 2016.
Korea Selatan dipercayai menandatangani perjanjian perolehan tambahan 90 buah peluru berpandu “Taurus” pada 2018.

Taurus

Peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Jerman/Sweden itu mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran sejauh 500km dengan tahap ketepatan yang amat tinggi.
Peluru berpandu kruis itu memiliki berat keseluruhan diantara 1,300kg hingga 1,400kg dan menggunakan fius “Programable Intelligent Multi-Purpose Fuze atau (PIMPF)”.
Menurut penganalisis tentera, penggunaan fius PIMPF  oleh peluru berpandu “Taurus” buatan Jerman/Sweden itu membolehkan peluru berpandu terbabit membedil sasaran-sasaran seperti jambatan lebih tepat dan lebih berkesan.
Peluru berpandu kruis jarak jauh itu juga menggunakan “Terrain Contour Mapping System”.
Sebagaimana diaporkan sebelum ini, Tentera Ukraine mahukan peluru berpandu kruis “Taurus” dibuat oleh Jerman itu untuk mematahkan kemaraan tentera Russia serta “memutuskan” laluan bekalan (supply route) mereka.

Taurus

Taurus
“Taurus”
Bagaimanapun, Berlin bimbang sekiranya kebenaran penghantaran peluru berpandu Taurus ke Ukraine itu diberikan, ia berpotensi  mengheret Jerman dalam konflik bersenjata secara terbuka dengan Russia.
“Ia adalah senjata yang memberi kesan mendalam (dalam konflik), sebagaimana yang dilakukan oleh Britain dan Perancis (menerusi penghantaran peluru berpandu kruis Storm Shadow dan SCALP kepada Ukraine). Ia tidak boleh dilakukan oleh Jerman.”
“Jerman tidak boleh dikaitkan dengan apa yang senjata ini (Taurus) boleh lakukan. Oleh itu penghantaran senjata itu (kepada Ukraine) tidak berada di dalam agenda (kerajaan Jerman),” kata Canselor Jerman Olaf Scholz kepada pemberita di Berlin pada Februari lalu.
Scholz memutuskan untuk tidak tunduk kepada tekanan daripada pelbagai pihak yang mahu Jerman memberi lampu hijau terhadap penghantaran peluru berpandu kruis jarak jauh “Taurus” kepada Ukraine. — DSA

Comments are closed.