Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat JF-17 Myanmar “Habiskan Lebih Banyak Masa Di Hangar Drp Terbang”

Menurut laporan portal bebas Myanmar “The Irrawaddy” yang memetik kenyataan daripada pegawai tentera udara negara itu dan penganalisis pertahananan mengatakan bahawa pesawat-pesawat JF-17 milik Tentera Udara Myanmar berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal yang serius sehingga menyebabkan ia menghabiskan "lebih banyak masa di hangar untuk diselenggara daripada terbang."

0 4,476

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2018, Tentera Udara Myanmar telah bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 yang dibangunkan secara usahasama di antara China dan Pakistan, dengan negara Asia Tenggara dipimpin kerajaan tentera itu dilaporkan mula menerima pesawat-pesawat pejuang itu pada 2018.

Pesawat pejuang yang dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex dan Chengdu Aerospace Corporation daripada China menggunakan enjin buatan Russia serta avionik dan airframe China.

Myanmar menjadi negara pertama di luar Pakistan memperolehi pesawat pejuang JF-17, yang dianggarkan bernilai di antara US$15 juta hingga US$25 juta sebuah (RM60 juta hingga RM100 juta sebuah), harga jauh lebih murah berbanding pesawat pejuang generasi ke-empat yang lain di pasaran.

Bagaimanapun menurut laporan portal bebas Myanmar “The Irrawaddy” yang memetik kenyataan daripada pegawai tentera udara negara itu dan penganalisis pertahananan mengatakan bahawa pesawat-pesawat JF-17 milik Tentera Udara Myanmar berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal yang serius sehingga menyebabkan ia menghabiskan “lebih banyak masa di hangar untuk diselenggara daripada berada di udara.”

Pesawat-pesawat JF-17 Myanmar yang berfungsi untuk melaksanakan misi-misi pemintasan, serangan darat dan pengeboman kini berhadapan dengan masalah teknikal yang amat serius sehingga menyebabkan Tentera Udara Myanmar menghentjkan khidmatnya buat sementara waktu untuk menyelesaikan masalah terbabit.

JF-17
Pesawat JF-17 Tentera Udara Pakistan

 

Bagaimanapun portal berita itu menyatakan bahawa Tentera Udara Myanmar tidak mempunyai kepakaran teknikal untuk menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh pesawat-pesawat J-17 miliknya itu.

Menurut juruterbang Tentera Udara Myanmar yang dipetik oleh portal berita terbabit, pesawat JF-17 miliknya berhadapan dengan masalah terutamanya membabitkan keretakan di beberapa bahagian airframe pesawat itu akibat tekanan graviti yang kuat. ketika melakukan penerbangan pada kelajuan yang tinggi.

Selain itu, radar pesawat JF-17 buatan China KLJ-7 A1 dikatakan mempunyai darjah ketepatan yang amat rendah selain kesukaran oleh pihak tentera Myanmar untuk mendapatkan bekalan alat ganti bagi pesawat-pesawat pejuangnya itu, sekaligus menjejaskan tahap kesiapsiagaannya.

Kesemua masalah-masalah yang dihadapi oleh pesawat JF-17  itu amat “memeningkan” kepada Tentera Udara Myanmar, dikala negara itu sedang bergelut dengan konflik keselamatan dalaman yang mengancam kestabilan negara itu.

LCA
Pesawat JF-17 Tentera Udara Myanmar.

 

Memandangkan pesawat JF-17 itu menggunakan enjin buatan Russia, Klimov RD 93, maka ia juga berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan alat ganti berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Russia kerana menceroboh Ukraine.

Bukan sahaja Myanmar berhadapan dengan masalah itu, tetapi banyak negara-negara lain di seluruh dunia termasuk Malaysia yang menggunakan sistem persenjataan buatan Russia menghadapi masalah yang sama akibat konflik tanpa henti di Ukraine. 

Disebabkan masalah-masalah teknikal yang dihadapinya, Tentera Udara Myanmar dikatakan masih tidak dapat menggunakan pesawat JF-17 yang dibelinya itu secara sepenuhnya walaupun pihak tentera negara itu sudah hampir empat tahun memiliki pesawat pejuang itu.

Pada ketika ini, Tentera Udara Myanmar terpaksa bergantung dengan pesawat-pesawat kombat seperti Yak-130, MiG-29  dan K-8 buatan China untuk menangani masalah konflik dalam negeri yang  dihadapinya pada ketika ini. — DSA

apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Comments
Loading...