Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Syarikat Turki Bangun Komputer Kawalan Penerbangan Untuk “Hurjet” Di Malaysia

Pengurus Besar Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof Temel Kotil mendedahkan kepada media Turki bahawa komputer kawalan penerbangan (flight control computer) digunakan oleh pesawat LCA “Hurjet” telah dibangunkan di Malaysia.

0 4,791

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Walaupun laporan media dalam dan luar negara mendakwa pesawat FA-50 dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI) berkemungkinan besar akan memenangi persaingan di Malaysia, nemun ia tidak mematahkan semangat dan harapan syarikat, Turkish Aeropace Industries (TAI).

Syarikat Turki itu berkata ia masih lagi berentap dengan syarikat-syarikat lain dalam persaingan untuk membekalkan 18 buah pesawat pejuang ringan (LCA) kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Di dalam satu kenyataan kepada stesen televisyen Turki, A Haber, pengurus besar TAI Prof Temel Kotil berkata syarikat itu masih lagi berada dalam persaingan tender kerajaan Malaysia untuk membekalkan 18 buah pesawat LCA kepada TUDM.

Beliau juga mendedahkan kepada A Haber bahawa komputer kawalan penerbangan (flight control computer) digunakan oleh pesawat LCA “Hurjet” telah dibangunkan di Malaysia.

TAI katanya, menggunakan banyak kepakaran kejuruteraan di Malaysia dan Pakistan.

Hurjet

Pendedahan oleh Kotil itu berkemungkinan untuk menunjukkan bahawa TAI komited untuk mendalamkan lagi kerjasama teknikalnya dengan Malaysia di dalam bidang pembuatan pesawat sekiranya “Hurjet” dipilih sebagai pesawat LCA pilihan TUDM.   

Pihak TAI menawarkan “Hurjet” kepada TUDM bagi memenuhi keperluannya untuk mendapatkan 18 hingga 36 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA)  bagi menggantikan pesawat Hawk, MiG-29 dan Aermacchi MB339 miliknya.

Dalam satu temuramah dengan media Malaysia akhir tahun lepas, Temel Kotil berkata bahawa TAI bersedia mengeluarkan pesawat pejuang ringan “Hurjet” itu di Malaysia sekiranya syarikat itu dipilih sebagai pemenang dalam tender Kementerian Pertahanan untuk perolehan 18 buah pesawat FLIT/LCA.

“Kami (TAI) mahu menyumbang kepada pembangunan kapasiti Malaysia untuk menghasilkan pesawat seperti itu (Hurjet) kerana Malaysia dilihat antara negara terbaik untuk bekerjasama secara strategik di Asia Pasifik.” katanya.

Sekiranya bidaan oleh syarikat TAI itu berjaya, beliau berkata, 15 pesawat “Hurjet” itu akan dikeluarkan di Malaysia manakala tiga buah lagi di Turki.

Hurjet

Temel Kotil itu berkata, pengeluaran pesawat “Hurjet” di Malaysia bertujuan mengukuhkan industri penerbangan global di rantau masing-masing.

Pada akhir tahun 2021, pihak TAI juga telah membuka pusat kejuruteraan dan rekabentuk yang pertamanya di Asia Tenggara iaitu di Cyberjaya.

Menurut TAI, ia komited dalam untuk meneruskan pelaburan dan kerjasamanya di Malaysia dalam membangunkan teknologi-teknologi generasi baru terutamanya di dalam industri pertahanan dan penerbangan.

Setakat ini, syarikat Turki itu mempunyai 10 buah pejabat teknologi di seluruh dunia.

Jurutera-jurutera Malaysia dan Turki akan melaksanakan kajian bersama di dalam beberapa bidang seperti pesawat tanpa pemandu, pesawat latihan, projek helikopter dan program permodenan penerbangan antarabangsa.

TAI
Prof Temel Kotil pada pembukaan pejabat kejuruteraan TAI di Cyberjaya akhir 2021.

 

Ketika majlis perasmian pusat kejuruteraan TAI di Cyberjaya itu,Temel Kotil berkata, syarikat akan menganjurkan kajian-kajian penting oleh Malaysia dan Turki di dalam bidang penerbangan, angkasa lepas dan pertahanan.

“Kami berhasrat untuk meluaskan pengalaman kami di dalam bidang-bidang ini menerusi projek-projek kerjasama dengan Malaysia selain memperkukuhkan industri penerbangan antarabangsa terutamanya di rantau ini,” kata beliau.

Pihak Turki dipercayai telah membelanjakan sebanyak US$1 bilion (RM4 bilion) untuk membangunkan pesawat “Hurjet” itu dan setakat ini telah membangunkan empat buah prototaip pesawat Hurjet sebelum ia melakukan penerbangan sulungnya.

TAI dijangka akan mendedahkan buat pertama kali pesawat pejuang ringan “Hurjet” kepada awam pada 18 Mac 2023.

Apps

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE

 

 

Tarikh 18 Mac 2023 adalah satu tarikh yang penting dalam sejarah Turki.

Tarikh 18 Mac 2015 itu adalah amat penting dan bersejarah kepada Turki kerana ia adalah hari kemenangan bagi negara Mediterranean itu dalam Peperangan Gallipoli pada Perang Dunia Pertama dengan menumpaskan tentera Inggeris dan Perancis.

Seramai 250,000 tentera dari kedua-dua pihak maut dalam peperangan itu. — DSA

 

 

Comments
Loading...