Pesawat JF-17 Myanmar Didakwa Hadapi “Masalah Teknikal Yang Serius”
Laporan media tempatan Myanmar yang memetik kenyataan pegawai tentera udara negara itu yang enggan dinamakan serta penganalisis pertahanan itu mendakwa pesawat JF-17 milik Tentera Udara Myanmar itu berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal yang serius sehingga menyebabkan ia lebih banyak menghabiskan masa di hangar daripada beroperasi.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pada 2018, Myanmar bersetuju untuk memperolehi 16 buah pesawat pejuang JF-17 “Thunder buatan China dan Pakistan, menjadikan ia negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki pesawat pejuang terbabit, sekaligus memperkukuhkan lagi hubungan pertahanan di antara Yangon dan Beijing.
Pesawat itu dibangunkan secara bersama oleh Pakistan Aeronautical Complex dan Chengdu Aerospace Corporation daripada China dengan menggunakan enjin buatan Russia serta avionik dan airframe China.
Myanmar juga muncul sebagai negara pertama di luar Pakistan yang memiliki pesawat pejuang JF-17, yang dianggarkan bernilai di antara US$15 juta hingga US$25 juta sebuah (RM60 juta hingga RM100 juta sebuah), jauh lebih murah berbanding pesawat pejuang generasi ke-empat yang lain di pasaran.
Bagaimanapun menurut laporan portal Myanmar “The Irrawaddy” yang memetik kenyataan daripada pegawai tentera udara negara itu yang enggan dinamakan serta penganalisis pertahanan yang mengatakan bahawa pesawat-pesawat JF-17 milik Tentera Udara Myanmar berhadapan dengan pelbagai masalah teknikal yang serius.
Masalah teknikal itu amat serius sehingga menyebabkan pesawat pejuang terbabit lebih banyak menghabiskan masanya dihangar untuk diselenggara berbanding beroperasi.
Selain berhadapan dengan masalah teknikal serius, terdapat juga dakwaan mengatakan juruterbang-juruterbang Myanmar tidak memiliki pengetahuan yang cukup untuk mengendalikan pesawat canggih buatan Pakistan dan China itu.
Sudah lebih daripada empat tahun pesawat itu dibeli,namun sehingga kini Myanmar berhadapan dengan kesukaran untuk mengoperasikannya menentang kumpulan-kumpulan bersenjata di negara yang sedang berhadapan dengan pergolakan politik yang serius itu.
Pesawat-pesawat JF-17 yang berfungsi untuk melaksanakan misi-misi pemintasan, serangan darat dan pengeboman kini berhadapan dengan masalah teknikal yang amat serius sehingga menyebabkan Tentera Udara Myanmar terpaksa menghentikan khidmatnya sementara ia menyelesaikan masalah terbabit.
Bagaimanapun portal itu menyatakan bahawa Tentera Udara Myanmar tidak mempunyai kepakaran teknikal untuk menyelesaikan masalah itu.
Menurut juruterbang Tentera Udara Myanmar yang dipetik oleh portal terbabit, pesawat JF-17 berhadapan dengan masalah beberapa bahagian airframe pesawat itu mengalami keretakan apabila ia berhadapan dengan tekanan graviti yang kuat.
Selain itu, radar pesawat itu buatan China KLJ-7 A1 dikatakan mempunyai darjah ketepatan yang amat rendah selain kesukaran untuk mendapatkan bekalan alat ganti.
Pesawat JF-17 Myanmar itu juga dikatakan tidak mempunyai peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range.
Laporan juga mengatakan bahawa Weapon Mission Management Computer pesawat milik Tentera Udara Myanmar itu gagal berfungsi dengan baik sehingga menyebabkan pesawat gagal memperlihatkan prestasi yang baik di dalam operasi udara-ke-udara.
Memandangkan pesawat JF-17 itu menggunakan enjin buatan Russia, Klimov RD 93, maka ia juga berhadapan dengan masalah mendapatkan bekalan alat ganti berikutan sekatan ekonomi yang dikenakan terhadap Russia kerana menceroboh Ukraine.
Disebabkan masalah-masalah teknikal yang dihadapinya, Tentera Udara Myanmar dikatakan masih tidak dapat menggunakan pesawat JF-17 yang dibelinya itu walaupun sudah hampir empat tahun memilikinya.
Pada ketika ini, Tentera Udara Myanmar terpaksa bergantung dengan pesawat-pesawat kombat seperti Yak-130, MiG-29 dan K-8 buatan China untuk menangani masalah konflik dalam negeri yang sedang dihadapinya pada ketika ini.
Laporan juga mengatakan bahawa Pakistan terpaksa menghantar kakitangan teknikal ke Myanmar untuk membantu Myanmar menyelesaikan masalah-masalah teknikal yang menimpa pesawat pejuang JF-17 miliknya itu.
Namun sehingga kini, ia masih mendiamkan diri tentang status terkini pesawat pejuang JF-17 miliknya itu. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.