Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat J-11 China “Dimalukan” Gripen Thai Dalam Eksesais Falcon Strike

Apa yang mengejutkan adalah bagaimana pesawat Gripen yang telah berusia 25 tahun itu dengan mudah menundukkan pesawat pejuang J-11 China dalam pertembungan udara jarak jauh secara Beyond Visual Range (BVR).

13,645

Jom folo Defence Security Asia di Telegram,Facebook dan Twitter untuk perkembangan terkini dunia pertahanan dan keselamatan.

 

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pada tahun 2015 telah berlangsung Eksesais Falcon Strike di Pangkalan Udara Korat yang terletak di tengah Thailand melibatkan pesawat-pesawat Tentera Udara Thailand dengan Tentera Udara China.

China jarang-jarang sekali menghantar pesawat-pesawatnya untuk mengadakan latihan dengan negara-negara yang menggunakan pesawat pejuang Barat, mungkin kerana ia bimbang rahsia tentang  “kelemahan” pesawat atau taktik udaranya akan terdedah.

Di dalam Ex Falcon Strike itu, Tentera Udara Thailand telah mengetengahkan pesawat pejuang buatan Sweden, Saab JAS-39C/D Gripen manakala China pula membawa pesawat pejuang Shenyang J-11,  pesawat yang asalnya adalah Su-27 Flanker Russia dan dibina dalam negara secara “under license” daripada Russia.

Tentera udara Thailand menggunakan 12 buah pesawat Gripen yang dibelinya daripada syarikat Saab Group pada tahun 2008, dengan kesemua pesawat itu berpengkalan di Pangkalan Udara Surat Thani.

Selama tujuh hari pada penghujung bulan November tahun berkenaan, pesawat-pesawat Gripen Thailand dan J-11 China mengadakan simulasi pertempuran udara, melibatkan pertempuran udara jarak dekat (within visual range – WVR) dan jarak jauh (beyond visual range -BVR)

Gripen
Pesawat-pesawat pejuang “Gripen” Tentera Udara Thailand melakukan Elephant Walk.

 

Sebenarnya, sebagaimana latihan-latihan udara sebelum ini, hasil daripada latihan terbabit tidak didedahkan secara terbuka dan menjadi rahsia kepada tentera udara masing-masing untuk mereka mengadakan analisis secara dalaman.

Bagaimanapun seorang seorang pegawai tentera udara China dikenali dengan nama , “Li Zhonghua” dilaporkan telah mendedahkan hasil Eksesais Falcon Strike dengan Tentera Udara Thailand ketika beliau menyampaikan penerangan di Northwestern Polytechnical Universiti di China empat tahun selepas itu, pada 2019.

Beliau yang mendakwa dirinya seorang juruterbang yang turut terlibat dalam latihan di Korat telah menerangkan lebih lanjut hasil latihan itu dan tidak lama selepas itu,  “keputusan” daripada latihan itu telah dilaporkan oleh media-media pertahanan serata dunia.

Sebagaimana yang dilaporkan oleh beberapa portal pertahanan antarabangsa, apa yang mengejutkan pakar-pakar pertahanan adalah bagaimana pesawat Gripen yang telah berusia 25 tahun itu dengan mudah menundukkan pesawat pejuang J-11 China dalam pertembungan udara jarak jauh secara Beyond Visual Range (BVR).

Menurut pakar-pakar pertahanan itu, kekalahan memalukan pesawat J-11 dalam latihan di Thailand itu sebenarnya mendedahkan kelemahan dalam aspek taktikal pesawat-pesawat pejuang China dan industri pertahanan negara itu secara keseluruhannya.

Jika dengan pesawat Gripen buatan Sweden itu pun pesawat pejuang China mudah ditundukkan, apa lagi sekiranya pesawat miliknya bertembung dengan pesawat Barat yang jauh lebih moden seperti yang berada di dalam kategori Gen 4.5 atau Gen 5.

Sepanjang  Ex Falcon Strike itu berlangsung, penganalisis mengatakan pesawat-pesawat pejuang China telah menunjukkan prestasi yang mengecewakan terutamanya yang melibatkan pertempuran jarak jauh secara Beyond Visual Range.

Bagaimanpun untuk pertempuran udara jarak dekat (Within Visual Range), pesawat-pesawat J-11 China telah menunjukkan prestasi yang amat baik dengan kejayaan menembak jatuh Gripen sebanyak 25 kali dengan hanya satu pesawatnya berjaya ditembak jatuh oleh pesawat pejuang buatan Sweden itu.

Penganalisis mengatakan kejayaan pesawat J-11 China dalam pertempuran udara jarak dekat menentang Gripen adalah disebabkan ia mempunyai enjin yang lebih berkuasa berbanding enjin pesawat pejuang buatan Sweden itu.

J-11
Pesawat Shenyang J-11 China ketika melakukan latihan di Laut China Selatan.

 

Pesawat J-11 dilengkapi dengan dua enjin berbanding satu enjin bagi pesawat Gripen.

Pesawat J-11 China itu memiliki peluru berpandu jarak dekat R-73 yang lebih baik berbanding peluru berpandu AIM-9L yang digunakan oleh pesawat Gripen dalam pertempuran jarak dekat, terutamanya apabila menggunakan Helmet Mounted Sights (HMS).

Terdapat juga laporan mengatakan dalam pesawat-pesawat pejuang J-11 China menggunakan peluru berpandu PL-8 dalam simulasi pertempuran udara secara WVR itu.

PL-8 adalah peluru berpandu udara-ke-udara jarak dekat yang dihasilkan sendiri oleh industri pertahanan tempatan China, hasil kerjasama dengan Israel menerusi peluru berpandu udara-ke-udaranya, Phython AAM-3.

Bagaimanapun pada hari ketiga Eksesais Falcon Strike, latihan telah beralih ke fasa pertempuran udara jarak jauh atau “Beyond Visual Range” dimana pesawat Gripen telah dilengkapkan dengan peluru berpandu AIM-120 AMRAAM manakala J-11 pula menggunakan peluru berpandu PL-12.

Dalam fasa latihan BVR itu, pesawat Gripen Thailand telah berjaya menembak jatuh pesawat J-11 China sebanyak 41 kali berbanding hanya sembilan kali pesawat Gripen  “tumbang” ditangan J-11.

Penganalisis mengatakan 88 peratus daripada kejayaan pesawat Gripen menembak jatuh J-11 itu adalah pada jarak lebih daripada 19 batu.

Pesawat Gripen juga berjaya menembak jatuh J-11 sekurang-kurangnya 11 kali pada jarak melebihi 31 batu.

Gripen
Tiga buah pesawat Gripen Tentera Udara Diraja Thailand.

 

Menurut penganalisis, kejayaan pesawat-pesawat Gripen dalam pertempuran udara jarak jauh berpunca daripada kekuatan radar dimilikinya berbanding radar pesawat J-11.

Radar dimiliki oleh pesawat Gripen berkemampuan mengesan sasaran sehingga 160km berbanding hanya 120km oleh radar pesawat J-11 China, memberikan pesawat buatan Sweden itu kelebihan yang lebih baik berbanding pesawat China,

Selain itu, peluru berpandu udara-ke-udara AMRAAM dibawa oleh Gripen itu boleh membedil sasaran udara lebih jauh iaitu 80km berbanding hanya 50km oleh peluru berpandu udara-ke-udara pesawat pejuang China itu.

 

DEFENCE SECURITY ASIA

Comments are closed.