Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Insiden ‘Pelanggaran” Kapal Selam Russia Dan Kapal Perang British Di Lautan Atlantik

Kementerian Pertahanan British yang mengesahkan insiden itu berkata kejadian pelanggaran itu berlaku pada akhir tahun lepas dan juga merupakan insiden pelanggaran kali pertama antara aset-aset pertahanan kedua-dua negara sejak berakhirnya Perang Dingin.

0 3,482

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah kapal selam Russia telah bertindak melanggar sonar yang sedang ditunda oleh kapal perang British, HMS Northumberland ketika ia sedang melakukan operasi anti-kapal selam di kawasan perairan utara Atlantik (Artic Circle).

Kementerian Pertahanan British yang mengesahkan insiden itu berkata kejadian pelanggaran itu berlaku pada akhir tahun lepas dan juga merupakan insiden pelanggaran kali pertama antara aset-aset pertahanan kedua-dua negara sejak berakhirnya Perang Dingin.

Sumber-sumber memberitahu media-media British bahawa insiden pelanggaran sonar milik kapal friget negara itu oleh kapal selam berkuasa nuklear Russia itu berkemungkinan besar adalah disengajakan.

Kapal friget Type 23 HMS Northumberland merupakan kapal perang yang memiliki panjang 133 meter dan berat 5,000 tan.

Ketika kejadian yang bakal meningkatkan lagi ketegangan di antara Moscow dengan negara-negara Barat di ketuai Amerika Syarikat,kapal perang British itu sedang menjalankan operasi pengesanan kapal-kapal selam asing di utara perairan Lautan Atlantik  

Northumberland
HMS Northumberland “bertentang mata” dengan sebuah kapal perang Russia.

 

HMS Northumberland ketika itu sedang menarik sonar yang berada beberapa ratus meter di belakang kapal perang British itu.

Insiden pelanggaran itu berjaya dirakam oleh krew produksi yang sedang melakukan dokumentari tentang kehidupan anggota tentera laut di laut lepas bertajuk “Warship: Life At Seas.”

Sebelum insiden pelanggaran itu berlaku, krew helikopter Merlin British berjaya mengesan periskop kapal selam Russia sebelum ia menyelam semula dan melanggar sonar milik kapal friget Tentera Laut British itu.

Northumberland
Kapal selam kelas-Yasen terbaru Tentera Laut Russia iaitu “Kazan”

 

Berikutan insiden pelanggaran itu, kapal perang British terpaksa membatalkan operasi 48 jam anti-kapal selam di perairan itu dan belayar ke Scotland untuk memeriksa peralatan sonar yang mengalami kerosakan.

Tidak pasti sama ada kapal selam Russia itu mengalami sebarang kerosakan.

Sejak kebelakangan ini, Tentera Laut British telah mengesan peningkatan aktiviti kapal selam Russia di kawasan perairan Lautan Atlantik memaksa Tentera Laut British dan tentera laut sekutu untuk meningkatkan rondaan dan operasi anti-kapal selam di kawasan perairan itu.

Northumberland

Menurut Kementerian Pertahanan British, ia melakukan pemantauan kapal-kapal permukaan dan kapal selam asing sebagai usaha untuk memastikan keselamatan negara itu.

Pada Disember 4 tahun lepas, Tentera Laut British menyatakan bahawa ia telah mengesan kehadiran sembilan buah kapal perang Russia berhampiran perairan British. — DSA

 

Klik Untuk Download dan Install Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: https://play.google.com/store/apps/details?id=com.defencesecurityasia.dsanews

Google Play

 

Comments
Loading...