Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Kemampuan Peluru Berpandu Iran “Khaybar Shekan” Lakukan Manuver Evasif Tarik Perhatian

(VIDEO) Kemampuan peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” milik Iran itu melakukan manuver evasif pada saat-saat akhir trajektorinya sebelum membedil sasaran itu membuktikan kecanggihan teknologi peluru berpandu Iran terutamanya dalam mengelak daripada dipintas oleh sistem pertahanan Israel.

0 12,952

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Rakaman video oleh orang awam di Israel yang viral di media sosial menunjukkan peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” Iran melakukan manuver evasif  pada saat-saat akhir sebelum membedil sasaran negara Yahudi itu telah menerima perhatian ramai pemerhati.

Rakaman itu sedikit sebanyak mengesahkan kemampuan teknologi peluru berpandu ballistik Iran.

Peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” yang baru diperkenalkan tiga tahun lepas itu dikatakan membuat manuver pada saat-saat akhir sebelum membedil untuk mengelak sistem pertahanan udara Israel.

“Beberapa saat sebelum ia membedil sasarannya, peluru berpandu itu melakukan manuver evasif (mengelak) dengan naik semula ke atas sebelum menurun kembali dalam fasa terakhir sebelum ia membedil sasarannya di Israel itu,” menurut pemerhati.

Kemampuan peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” milik Iran itu melakukan manuver evasif pada saat-saat akhir trajektorinya sebelum membedil sasaran itu membuktikan kecanggihan teknologi peluru berpandu Iran terutamanya dalam mengelak daripada dipintas oleh sistem pertahanan Israel.

Bagaimanapun pemerhati pertahanan serantau menyatakan bahawa dalam serangan semalam Iran tidak banyak menggunakan peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” dalam serangan “terhadnya” terhadap Israel.

Sebaliknya, Iran dipercayai banyak menggunakan peluru berpandu ballistik yang telah berusia dalam serangan terhadap Israel.

Setakat ini, Iran menggunakan empat jenis peluru berpandu ballistik jarak sederhana (Medium Range Ballistic Missile – MRBM) dalam serangannya terhadap Israel semalam, terdiri daripada – “Ghadr” yang berusia 20 tahun, “Emad” (berusia 10 tahun),  “Dezful” (berusia lima tahun) dan “Khaybar Shekan” (berusia tiga tahun).

Walaupun tidak banyak peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” digunakan dalam serangan terhadap Israel semalam, namun ia tetap berjaya mengelak daripada dipintas dan membedil antaranya Pangkalan Udara Nevatim dan Pangkalan Udara Ramon yang terletak d padang pasir Negev, Israel.

Tentera Israel mengesahkan kedua-dua pangkalan udara penting Israel itu itu mengalami kerosakan akibat serangan peluru berpandu Iran itu.

Teheran dipercayai melancarkan kira-kira 100 buah peluru berpandu ballistik bersama-sama lebih 200 buah dron berani mati terhadap Israel semalam.

Iran
“Khaybar Shekan” 

 

Israel mendakwa ia berjaya menembak jatuh 99 peratus daripada peluru berpandu ballistik dan dron berani mati Iran itu.

Peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” merupakan varian peluru berpandu ballistik Fateh-110 yang memiliki jarak bedilan lebih jauh dan menggunakan solid propellant.

Menurut Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, peluru berpandu ballistik itu boleh membedil sasaran sejauh 1,450km berbanding varian sebelumnya, Dezful yang didedahkan kepada awam pada Feb 2019 yang memiliki jarak bedilan sejauh 1,000 km.

Peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” merupakan peluru berpandu yang mempunyai kemampuan untuk membedil sasaran dengan amat tepat dan amat laju, sebagaimana yang ditunjukkan dalam serangan terhadap terhadap utara Iraq dan Syria.

Kepala peledak peluru berpandu “Khaybar Shekan” itu dilaporkan bergerak selaju di antara 7 hingga 9 Mach dalam fasa penerbangan terakhir sebelum ia membedil sasarannya.

Selain memiliki kelajuan yang tinggu, peluru berpandu ballistik itu memiliki tahap kelincahan yang tinggi bagi membolehkan ia mampu mengatasi sistem pertahanan udara pihak musuh.

Kali terakhir Iran menggunakan peluru berpandu ballistik “Khaybar Shekan” terhadap musuhnya adalah pada Januari lalu untuk membedil apa yang dipanggilnya sebagai “pusat perisikan Israel” dan “lokasi-lokasi kumpulan anti-Iran berkumpul” berhampiran bandar Erbil di utara Iraq dan di Syria.

Menurut media-media Iran, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran dilaporkan telah melancarkan sejumlah 24 peluru berpandu ballistik terhadap sasaran-sasaran di utara Iraq itu dan di Syria dalam tindakan “balas dendam” terhadap pembunuhan pegawai kanan tentera Iran dan komander kumpulan bersenjata  pro-Iran.

Serangan peluru berpandu Iran itu juga adalah reaksi balas terhadap serangan berani mati pengganas yang berlaku Kermanshah, Iran yang mengorbankan kira-kira 100 orang awam.

Menurut kenyataan oleh Kor Pengawal Revolusi Islam Iran, serangan peluru berpandu ballistik di Erbil itu telah memusnahkan salah satu daripada pusat perisikan Israel yang paling utama di Erbil yang merupakan ibu negara kepada wilayah separuh otonomi Kurdistan.

Khaybar
Rumah Peshraw Diyazee yang musnah dibedil peluru berpandu Iran.

 

Beberapa lokasi lain di bandar Erbil itu turut menjadi sasaran serangan peluru berpandu ballistik Iran itu.

Salah seorang yang terbunuh dalam serangan peluru berpandu itu adalah ahli perniagaan Kurdish, Peshraw Diyazee yang dilaporkan mempunyai hubungan baik dengan Israel dan banyak menjalankan kegiatan perniagaan dengan syarikat-syarikat negara Yahudi itu. — DSA

Comments
Loading...