Israel Musnahkan Pangkalan Udara Syria Yang Turkiye Cadang Ambilalih Untuk Penempatan Tenteranya
Sejak beberapa minggu lalu, Turkiye dikatakan telah menghantar pegawai-pegawai tenteranya untuk meninjau tiga buah pangkalan udara di Syria di T4 dan Palmyra yang terletak di wilayah Homs serta lapangan terbang di wilayah Hama untuk dijadikan penempatan untuk anggota tenteranya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai Turkiye dilaporkan terpaksa membatalkan lawatan mereka ke pangkalan udara T4 dan Palmyra di Syria, hanya beberapa jam sebelum pesawat-pesawat pejuang Israel mengebom pangkalan-pangkalan udara itu yang Ankara cadang untuk diambilalih dan dijadikan pangkalan untuk anggota tenteranya.
Sejak beberapa minggu lalu, Turkiye dikatakan telah menghantar pegawai-pegawai tenteranya untuk meninjau tiga buah pangkalan udara di Syria di T4 dan Palmyra yang terletak di wilayah Homs serta lapangan terbang di wilayah Hama untuk dijadikan penempatan untuk anggota tenteranya.
Pasukan dari Turkiye telah menilai keadaan landasan, hangar serta infrastruktur lain di pangkalan-pangkalan udara tersebut, menurut seorang pegawai perisikan serantau, sebagaimana dipetik oleh agensi berita antarabangsa Reuters.
Pengambilalihan pangkalan udara di Syria oleh Turkiye untuk dijadikan pangkalan anggota tenteranya merupakan sebahagian daripada perjanjian ketenteraan yang dimeterai oleh kedua-dua negara selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad beberapa bulan lalu.
Namun, belum sempat Turkiye mengambilalih pangkalan udara di Syria itu terutamanya T4 di wilayah Homs itu, pesawat-pesawat pejuang Israel telah mengebomnya bagi menghalang niat Ankara daripada bertapak di negara Arab itu.
Tindakan Israel mengebom pangkalan-pangkalan udara di Syria itu yang Turkiye cadang untuk ambilalih itu telah meningkatkan lagi ketegangan di antara Ankara dan Tel Aviv.
“Dalam beberapa jam yang lalu, tentera Israel telah melancarkan serangan terhadap keupayaan ketenteraan yang masih wujud di pangkalan tentera Syria di Hama dan T4, serta beberapa lokasi infrastruktur ketenteraan lain di kawasan Damsyik.”
“IDF akan terus menjalankan operasi bagi menyingkirkan sebarang ancaman terhadap keselamatan orang awam Israel, ” menurut kenyataan tentera Israel menerusi platform Telegram miliknya.
Serangan oleh pesawat-pesawat pejuang Israel itu telah memusnahkan landasan, menara kawalan, hangar dan pesawat-pesawat pejuang (milik Tentera Udara Syria) di pangkalan-pangkalan udara berkenaan.
“Ia merupakan mesej tegas bahawa Israel tidak akan menerima kehadiran Turkiye yang semakin meluas,” kata pegawai perisikan yang telah meneliti gambar-gambar kerosakan tersebut.
Sumber Syria yang rapat dengan Turkiye memaklumkan kepada Reuters bahawa “(Pangkalan Udara) T4 kini langsung tidak boleh digunakan (akibat daripada serangan udara oleh pesawat-pesawat pejuang Israel).
Kementerian Luar Turkiye menyifatkan Israel sebagai “ancaman terbesar terhadap keselamatan serantau.”
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan, memberitahu Reuters bahawa Ankara tidak mahu sebarang konfrontasi dengan Israel di Syria.

Ankara dilaporkan bercadang menjadikan pangkalan udara T4 itu sebagai kemudahan penempatan untuk unit dron miliknya serta hab hadapan pertahanan udara.
Perjanjian ketenteraan di antara Ankara dan Damsyik bakal menyaksikan Turkiye menyediakan perlindungan udara dan keselamatan ketenteraan kepada kerajaan baru Syria yang tidak memiliki angkatan tentera yang berfungsi sepenuhnya.
Walaupun sebelum ini pegawai Turkiye menafikan kemungkinan penempatan anggota tenteranya di Syria sambil menyifatkannya sebagai suatu langkah yang terlalu awal, namun rundingan berkenaan perkara itu dikatakan terus berjalan secara rahsia antara kedua negara.
Turkiye dilaporkan akan menempatkan sistem pertahanan udara Hisar — berkemungkinan Hisar-O atau Hisar-U yang dibangunkan oleh industri pertahanan tempatannya — bagi melindungi Pangkalan T4 di wilayah Homs itu daripada sebarang ancaman serta menguasai ruang udara di sekitarnya.
Negara Mediterranean itu turut merancang untuk membangunkan rangkaian pertahanan udara berlapis, yang mungkin merangkumi Hisar-O+, Hisar-RF dan sistem jarak jauh Siper, semuanya dibangunkan oleh syarikat pertahanan tempatan, Aselsan dan Roketsan.
Selain itu, Turkiya juga dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menempatkan sistem pertahanan udara jarak jauh buatan Russia, S-400 di Pangkalan Udara T4 di Syria itu, tetapi ia tertakluk kepada kelulusan Russia.

Jika diluluskan oleh Russia, Turkiye bakal mengaktifkan sistem pertahanan udara S-400 buatan Russia miliknya buat pertama sejak ia perolehinya.
Turkiye turut merancang untuk menempatkan dron-dron yang dilengkapi keupayaan risikan, pemantauan dan serangan (ISR) di Pangkalan Udara T4 di Syria itu bagi memperkukuh peranan pengawasan dan pertahanan.
Dari segi strategik, penempatan anggota tentera dan aset-aset tentera Turkiye di pangkalan udara di Syria itu adalah bertujuan untuk:
. Menyekat serangan udara Israel, terutamanya selepas kejatuhan rejim Assad;
-
Membanteras saki-baki kumpulan militan ISIS di rantau tersebut;
-
Mengukuhkan kehadiran ketenteraan serantau berikutan kemerosotan pengaruh Iran dan Russia.
Kehadiran sistem pertahanan udara dan dron milik Turkiye berkemungkinan besar akan menghalang Israel daripada melancarkan serangan udara di kawasan berkenaan.
Israel melihat kehadiran tentera Turkiye di Syria sebagai satu ancaman, namun Ankara berpendirian bahawa langkah itu mampu menstabilkan negara berkenaan dengan menggunakan kekuatan tenteranya bagi mengisi kekosongan kuasa susulan pengunduran Russia dan Iran.
