Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Amerika Larang Juruterbang Pasport Asing Terbangkan F-35I “Adir” Milik Israel

Larangan terhadap mana-mana juruterbang pesawat F-35 Tentera Udara Israel yang bukan warganegara Israel daripada menerbangkan pesawat itu diambil oleh Washington kerana ia bimbang kemungkinan “kebocoran” maklumat keselamatan dan teknologi berkenaan pesawat itu kepada pihak asing.

4,743

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dan agensi perisikannya bertindak melarang mana-mana juruterbang pesawat F-35 Tentera Udara Israel yang memiliki  passport selain daripada Israel daripada menerbangkan pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Amerika Syarikat, Lockheed Martin.

Tindakan itu diambil atas kebimbangan tentang kemungkinan maklumat berkenaan kemampuan dan teknologi pesawat berkenaan dibocorkan itu kepada pihak asing.

Pihak Tentera Udara Israel dikatakan telah menerima syarat-syarat yang dikenakan oleh pihak Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat itu dan tidak lagi membenarkan juruterbang-juruterbangnya yang memiliki passport asing daripada menerbangkan pesawat canggih itu.

Israel merupakan pasaran eksport pertama bagi pesawat pejuang F-35, selepas memilih pesawat itu pada tahun 2010.

Enam tahun selepas itu, pada Jun 2016, Tentera Udara Israel menerima pesawat F-35A “Adir” yang pertama dan mengisytiharkan pesawat-pesawatnya bersedia untuk beroperasi setahun selepas itu.

F-35 Adir

Tentera Udara Israel membeli 50 buah F-35I “Adir” (Mighty) dan telah pun menerima 14 buah pesawat pejuang canggih itu setakat ini.

Sebagaimana yang kita ketahui, Israel dan Amerika Syarikat mempunyai hubungan pertahanan dan keselamatan yang istimewa sejak berdekad lamanya.

Hubungan keselamatan dan pertahanan yang istimewa itu telah dibuktikan apabila Tentera Udara Israel diberikan kebenaran untuk melakukan perubahan yang difikirkannya perlu terhadap pesawat-pesawat buatan Amerika Syarikat termasuk F-35 bagi membolehkan pesawat itu menyesuaikan kemampuannya dengan keadaan tertentu.

Pesawat F-35I “Adir” itu memiliki elemen-elemen hardware dan software yang direkabentuk oleh Israel, di mana mereka dibenarkan mempunyai akses kepada kotak hitam pesawat, sesuatu yang tidak dibenar dilakukan oleh operator F-35 yang lain termasuk negara-negara NATO yang membiayai program pembangunan pesawat pejuang itu.

Pesawat F-35I “Adir” milik Tentera Udara Israel adalah pesawat pejuang satu tempat duduk yang boleh juga digunakan bukan sahaja untuk misi-misi serangan tetapi juga pengumpulan maklumat perisikan.

F-35 Adir

Ia adalah satu-satunya varian pesawat F-35 yang memiliki kompartmen khas untuk menempatkan senjata yang tidak boleh dikesan (untraceable).

Bagaimana pula harganya?

Harga sebuah pesawat F-35I “Adir” dianggarkan diantara US$85 juta hingga US$100 juta.

Pesawat F-35I Israel memiliki kelajuan Mach 1.6 dengan radius operasi 2,200km.

Walaupun telah pun memiliki 50 buah pesawat F-35I, tetapi Israel bercadang menambah pemilikan pesawat itu dengan perolehan 25 lagi buah pesawat pejuang generasi kelima itu pada masa akan datang bagi membolehkannya mempunyai tiga buah skuadron. — DSA

Apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.