Amerika-Korea Selatan “Pulangkan” RM31.5 Bilion Pada Iran, Israel “Berang”
Persetujuan untuk membenarkan Iran mendapatkan semula wang yang dibekukan di bank Korea Selatan itu dicapai selepas Teheran bersetuju untuk membebaskan beberapa individu memiliki dwi-kerakyatan Amerika Syarikat-Iran daripada penjara negara Timur Tengah itu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Di atas persetujuan Amerika Syarikat, Korea Selatan telah bersetuju untuk “memulangkan” kepada Iran wang miliknya bernilai US$7 bilion (RM31.5 bilion) yang dibekukan di dua buah bank di negara Asia Timur itu.
Persetujuan untuk membenarkan Iran memperolehi semula wang yang dibekukan di bank Korea Selatan itu dicapai selepas Teheran bersetuju untuk membebaskan beberapa individu memiliki dwi-kerakyatan Amerika Syarikat-Iran daripada penjara negara Timur Tengah itu.
Wang milik Iran yang dibekukan di bank Korea Selatan itu adalah pembayaran atas pembelian minyak milik negara Timur Tengah itu oleh Seoul ketika pentadbiran Presiden Donald Trump beberapa tahun yang lalu.
Dengan Qatar bertindak sebagai orang tengah, Amerika Syarikat dan Iran dipercayai telah mengadakan rundingan selama berbulan-bulan sebelum mencapai persetujuan itu.
Wang milik Iran itu telah disalurkan kepada beberapa bank di Iran di dalam mata wang Euro untuk digunakan oleh Teheran untuk membeli pelbagai barangan diperlukannya yang tidak tersenarai dalam senarai sekatan ekonomi antarabangsa seperti makanan dan ubat-ubatan.
Seperti biasa, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu mengecam persetujuan yang dicapai di antara Washington dan Teheran itu.
Beliau berkata bahawa wang yang diperolehi oleh Iran itu berkemungkinan akan digunakan untuk tujuan operasi keganasan antarabangsa.
Sementara itu gabenor Bank Negara Iran Mohamad Reza Farzin berkata bahawa Korea Selatan telah “melepaskan” kesemua wang milik Iran yang sebelum ini dibekukannya kepada bebeapa bank milik Iran yang beroperasi di Qatar.
Bagaimanapun wang milik Iran itu berkurangan sebanyak US$1 bilion akibat penyusutan nilai matawang.
Persetujuan yang dicapai di antara Teheran dan Washington berkenaan wang milik Iran di Korea Selatan itu, sekiranya benar, sedikit-sebanyak mampu mengendurkan ketegangan di antara kedua-dua negara yang “bermusuhan” itu.
Baru-baru ini, Amerika Syarikat bertindak menambah kekuatannya di Timur Tengah untuk menangani beberapa insiden keselamatan melibatkan tentera Iran dan Russia yang berpengkalan di Syria.
Kerahan kali ini turut melibatkan hampir sedozen pesawat pejuang generasi kelima F-35 dan pesawat pejuang lain milik Amerika Syarikat serta kapal penyerang amfibia bersama ribuan anggota Marin.
Tentera Laut Amerika Syarikat juga bertindak mengerah sebuah kapal selam berkuasa nuklearnya dilengkapi 154 peluru berpandu kruis “Tomahawk” ke Timur Tengah baru-baru ini.
Ini selepas agensi perisikannya mengeluarkan amaran kepada kapal-kapal komersial yang belayar di perairan di rantau itu berikutan ketegangan di antara Iran dengan Israel.
Agensi-agensi perisikan Amerika dan Israel menyatakan bahawa pasukan Tentera Pengawal Revolusi Iran sedang bersiap-sedia untuk melancarkan serangan dron-dron “berani mati” terhadap kapal-kapal komersial milik syarikat Israel yang belayar di Laut Arab dan Teluk Parsi.
Menurut penganalisis pertahanan di rantau Timur Tengah, tentera Iran merancang untuk melakukan serangan terhadap kapal-kapal komersial milik Israel sebagai “membalas dendam” terhadap serangan udara Amerika dan Israel di Syria yang menyebabkan kematian anggota Tentera Pengawal Revolusi Iran. — DSA
DOWNLOAD APPS DEFENCE SECURITY ASIA
Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]
Comments are closed.