Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(VIDEO) Letupan Roket “Burkan” Ibarat “Bom Nuklear Kecil”

(VIDEO) Daripada rakaman video yang viral di media-media sosial Israel, dapat dilihat letupan kuat daripada roket Burkan yang dilancar oleh Hezbollah itu. Ia seolah-olah seperti letupan bom nuklear yang kecil.

0 1,674

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Penduduk-penduduk Israel yang tinggal di penempatan-penempatan haram Yahudi di sempadan negara itu dengan Lubnan sebelum ini telah pun diberitahu tentang kemampuan roket “Burkan” yang dimiliki oleh Hezbollah.

Dan semalam penduduk Israel yang tinggal di penempatan haram Shlomi, utara negara yang tidak jauh daripada sempadan dengan Lubnan dapat melihat sendiri kekuatan letupan yang dihasilkan oleh roket Burkan dilancar oleh pejuang Hezbollah.

Mereka bernasib baik kerana roket Burkan yang dilancar itu tidak meletup di kawasan penempatan penduduk tetapi di kawasan pergunungan berhampiran yang dipercayai menempatkan kedudukan tentera Israel.

“Ramai di kalangan penduduk Israel (di utara negara itu) telah mendengar tentang roket “Burkan” milik Hezbollah dan hari ini (semalam) mereka dapat melihat sendiri saiz letupan yang dihasilkan oleh roket Burkan itu di kawasan berhampiran Shlomi itu,” menurut media Israel.

Menurut media Israel, sekiranya roket Burkan itu mengenai tepat kawasan penempatan Shlomi, maka sudah pasti ramai akan menjadi korban. 

Rakaman video letupan kuat roket Burkan dilancar Hezbollah berhampiran kawasan penempatan haram Yahudi di Shlomi kini viral di media-media sosial Israel.

Daripada rakaman video yang viral itu, dapat dilihat letupan kuat daripada roket Burkan yang dilancar oleh Hezbollah itu seolah-olah seperti letupan bom nuklear yang kecil.

Bagi penganalisis tentera Israel sebagaimana dipetik oleh media-media negara itu, pelancaran roket-roket Burkan oleh Hezbollah terhadap sasaran tentera negara Yahudi itu akhir-akhir ini adalah “sesuatu yang amat membimbangkan.”

“Terdapat kebimbangan yang mendalam tentang penggunaan roket Burkan terhadap penempatan-penempatan penduduk Israel. Jika roket Burkan ini membedil kawasan penempatan penduduk, ia akan menyebabkan kemusnahan yang amat besar.”

Roket jarak dekat “Burkan” itu amat digeruni kerana ia dilengkapi letupan seberat di antara 400kg hingga 500kg atau lebih  dan boleh menyebabkan kemusnahan besar.

 

Burkan
Pelancaran roket “Burkan”

 

Berkemampuan membedil sasaran sejauh 10km menurut penganalisis, roket “Burkan” telah dibangunkan ketika konflik di Syria.

Penganalisis menyatakan bahawa kemungkinan Hezbollah telah mengubahsuai roket itu untuk membawa lebih banyak bahan letupan dan terbang lebih jauh.

Direka untuk peperangan jarak dekat, roket itu bersesuaian untuk menyerang kawasan berpenduduk ramai dan kedudukan tentera.

Kumpulan Hezbollah dipercayai menggunakan roket “Burkan”  untuk dua tujuan iaitu mengebom kawasan penduduk dan pangkalan tentera Israel yang berada hampir dengan sempadan Israel-Lubnan.

Satu lagi tujuan adalah mengebom kedudukan tentera Israel yang berada di dalam kawasan padat dengan penduduk di sempadan Lubnan. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

Comments
Loading...