Iran Bermain “Api” Dalam Isu Nagorno-Karabakh
(DEFENCE SECURITY ASIA) — Walaupun konflik di Nagorno Karabakh di atas kertas membabitkan Azerbaijan dan Armenia serta Turki dan Russia, tetapi adalah satu lagi “pemain” yang turut memainkan peranannya dibelakang tabir.
“Pemain” atau negara yang dimaksudkan itu adalah Iran, yang memerhati dengan penuh minat terhadap perkembangan yang berlaku di Nagorno Karabakh itu.
Tiga hari pertempuran di wilayah bergolak itu telah mengakibatkan lebih daripada 100 orang di kedua-dua pihak terbunuh, walaupun Kementerian Pertahanan Azerbaijan mendakwa 500 anggota tentera Armenia maut setakat ini.
Kementerian Pertahanan Armenia pula mendakwa kira-kira 200 tentera Azerbaijan terbunuh.
Walaupun penduduk di kedua-dua negara, Iran dan Azerbaijan beragama Islam dan menganuti ajaran Syiah tetapi Teheran sebagaimana di dakwa oleh pemerhati, merupakan di antara penyokong kuat Armenia di dalam isu Nagorno Karabakh.
Mengapa Teheran menyokong Armenia, sebuah negara Kristian Orthodoks di dalam isu Nagorno Karabakh dan membelakangkan Azerbaijan, saudara seagama dan bertunjangkan ajaran Syiah yang sama.
Ia adalah pertimbangan geo-politik.
Jawapannya menurut penganalisis tempatan adalah akibat kebimbangan Teheran terhadap masyarakat Azeri dan semua penduduk Turkic di Iran seperti Qashgai dan Turkmen yang dianggarkan berjumlah 40 peratus daripada keseluruhan populasi negara itu.
Penduduk Azeri di utara Iran yang kerapkali di panggil Azerbaijan Selatan sahaja berjumlah 20 juta orang, mengikut anggaran sesetengah pihak.
Malah sudah ada anggapan di kalangan masyarakat Azeri di Iran bahawa mereka perlu bergabung dengan Azerbaijan untuk membentuk “Greater Azerbaijan”.
Pandangan-pandangan sebeginilah yang membimbangkan pemerintahan Ayotollah di Teheran, sehingga menyebabkan mereka memutuskan untuk menjalin hubungan yang rapat dengan Armenia.
“Greater Azerbaijan itu amat membimbangkan pemerintah di Teheran dan sokongan terhadap Armenia itu digunakan untuk counter-balance aspirasi masyarakat Azeri di Iran untuk bergabung dengan saudara Turkic mereka yang lain,” kata seorang penganalisis.
Selain itu terdapat juga isu-isu lain seperti perkongsian terhadap sumber minyak dan gas serta perikanan di Laut Kaspia, hubungan baik Azerbaijan dengan Israel yang diketahui adalah musuh ketat Teheran telah meningkatkan ketegangan hubungan antara Iran dan Baku.
Kini terdapat pula laporan bahawa Iran telah secara rahsia membuka pintu sempadan serta ruang udaranya untuk menghantar makanan serta bahan api ke wilayah bergolak, Nagorno Karabakh, sebagaimana video yang dipaparkan di bawah.
Ia menunjukkan peralatan itu dibawa daripada Pelabuhan Anzali di Iran di Laut Kaspia untuk digunakan oleh Armenia.
Tindakan itu yang mula dilaporkan oleh media April lepas telah membangkitkan kemarahan Azerbaijan.
Kini tuduhan yang lebih serius melibatkan penggunaan ruang udara Iran dalam misi penghantaran bekalan senjata daripada Russia kepada pejuang-pejuang Armenia di Nagorno Karabakh.
Media Azerbaijan menuduh kapal pengangkut Russia, IL-76 mengangkut 400 tan bekalan senjata di antara Julai hingga Ogos ke wilayah bergolak menggunakan ruang udara Iran.
Langkah-langkah yang diambil oleh Teheran ini bukan sahaja menunjukkan sokongannya terhadap Armenia, tetapi melanggar prinsipnya sendiri yang mengatakan bahawa Nagorno Karabakh itu adalah milik Azerbaijan.
— DEFENCE SECURITY ASIA
Comments are closed.