Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

(Video) Turki Tembak Jatuh Pesawat Armenia?

0 24

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Sebuah jet pejuang SU-25 “Frogfoot” milik Tentera Udara Armenia telah ditembak jatuh oleh jet pejuang F-16C milik Tentera Udara Turki di wilayah bergolak, Nagorno Karabakh.

Insiden penembakan jatuh pesawat pejuang milik Armenia itu berkemungkinan menandakan bermulanya penglibatan negara-negara lain di dalam konflik di Nagorno Karabakh, yang selama ini hanya membabitkan Armenia dan Azerbaijan.

Kini, konflik di wilayah bergolak selatan Kaukasus itu bakal melibatkan Turki yang merupakan pendokong kuat Azerbaijan serta Russia dan Iran, yang menyokong Yerevan.

Russia dan Armenia merupakan anggota treati pertahanan Collective Security Treaty Organisation (CSTO).

Pesawat F-16
Pesawat pejuang F-16C milik Tentera Udara Turki. (gambar Twitter)

Moscow juga mempunyai pengkalan tentera di Armenia dan merupakan pembekal senjata utama kepada Yerevan.

Bimbang terhadap kebangkitan masyarakat Azeri dan Turkic lain di dalam Iran, Teheran menyokong Armenia dengan membuka sempadannya dengan Nagorno Karabakh untuk penghantaran senjata daripada Russia.

Menurut Kementerian Pertahanan Armenia, juruterbang pesawat pejuang SU-25 itu terbunuh sebagai seorang “hero” dalam kejadian itu.

Turki bagaimanapun menafikan kejadian itu.

 

Pesawat F-16
Pesawat pejuang F-16 Turki ketika tiba di pengkalan udara Azerbaijan untuk latihan bersama bulan lepas.

Walaupun begitu, sejak konflik terbaru di antara Baku dan Yerevan meletus tentang isu Nagorno Karabakh, Presiden Recep Tayyep Erdogan telah menyuarakan sokongan Ankara terhadap usaha Azerbaijan untuk “membebaskan” Nagorno Karabakh daripada “pendudukan haram” Armenia.

UAV Bayraktar TB2 buatan Turki yang digunakan oleh Azerbaijan juga telah menunjukkan aksinya di medan peperangan memusnahkan kereta kebal, kereta perisai dan sistem pertahanan udara milik Armenia di wilayah bergolak itu.

Kementerian Pertahanan Armenia berkata, jet pejuang SU-25 Armenia itu ditembak jatuh oleh jet Turki kira-kira 60km di dalam ruang udara Armenia dan di ketinggian lebih 8000 meter.

Dalam usaha mempertahankan dirinya, Azerbaijan mengatakan ia tidak memiliki sebarang pesawat jenis F-16 “Fighting Falcon”, tetapi rakan sekutunya, Turki memiliki lebih daripada 200 buah jet pejuang buatan Amerika itu.

Terdapat dakwaan mengatakan Turki meletakkan sekurang-kurangnya tiga buah F-16C di pengkalan udara di Ganja, Azerbaijan.

Azerbaijan meminta Armenia membuktikan tuduhannya, tetapi Baku sehingga kini gagal menunjukkan sebarang bukti mengenai insiden itu.

— DEFENCE SECURITY ASIA

 

Comments
Loading...