Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Dilapor Peroleh Bayraktar TB2, Anka

Kementerian Kewangan Indonesia telah bersetuju dengan permintaan daripada Kementerian Pertahanan negara itu supaya pembelian Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) buatan Turkiye itu dilaksanakan menggunakan pinjaman daripada luar negeri.

0 2,519

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kementerian Pertahanan Indonesia dikatakan telah membuat keputusan untuk memperolehi dua jenis Unmanned Combat Aerial Vehicle (UCAV) daripada Turkiye iaitu Bayraktar TB2 dan Anka untuk ketiga-tiga cabang Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Bayraktar TB2 dibangunkan oleh syarikat Baykar manakala Anka pula oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Menurut laporan versi online akhbar negara itu, Republika, sumber di Kementerian Pertahanan Indonesia telah mengesahkan pembelian kedua-dua UCAV buah Turkiye itu untuk ketiga-tiga cabang Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Ia berkata bahawa Kementerian Kewangan negara itu telah bersetuju dengan permintaan daripada Kementerian Pertahanan supaya pembelian UCAV buatan Turkiye itu dilaksanakan menggunakan kaedah pinjaman daripada pembiaya luar negeri.

Kementerian Pertahanan menurutnya, sedang mengenalpasti pemberi pinjaman yang bersesuaian untuk membiayai pembelian sistem persenjataan itu.

Bayraktar TB2
Bayraktar TB2

 

Perolehan UCAV itu adalah salah satu daripada 16 program pembelian sistem persenjataan TNI yang dibenar menggunakan pinjaman luar negeri pada tahun ini.

“Kementerian Kewangan bersetuju dengan sistem pembiayaan itu (pinjaman luar negeri), dengan syarat kontrak formal mesti ditandatangani oleh Kementerian Pertahanan sebelum 31 Disember tahun 2023,” menurut akhbar Republika itu.

Sementara itu menurut laporan oleh Janes pula,  kelulusan telah diberikan kepada ketiga-tiga cabang angkatan tentera Indonesia untuk memperolehi UCAV secara berasingan termasuk sistem persenjataan yang akan digunakannya.

Untuk Tentera Udara Indonesia (TNI-AU), Kementerian Pertahanan negara itu telah membenarkan pinjaman sehingga US$200 juta (RM80 juta) untuk memperolehi UCAV dan siling pinjaman sehingga US$38 juta (RM152 juta) bagi perolehan sistem persenjataannya.

TNI-AU dijangka akan memperolehi peluru berpandu MAM-L  yang dibangunkan oleh ROKETSAN bagi digandingkan dengan UCAV yang bakal diperolehinya daripada Turkiye itu.

Bayraktar TB2
UAV Bayraktar TB2 buatan syarikat Baykar Makina daripada Turki telah menunjukkan kemampuannya di Nagorno Karabakh.

 

Bagi Tentera Laut Indonesia (TNI-AL) pula,  mereka dibenarkan membuat pinjaman sehingga US$100 juta (RM400 juta) untuk melakukan perolehan UCAV itu manakala pinjaman bagi perolehan sistem persenjataannya, ia dibenarkan meminjam sehingga US$11 juta (RM44 juta) untuk membeli peluru-peluru berpandu MAM-L.

Tentera Darat Indonesia juga akan menggunakan peluru berpandu MAM-L bagi UCAV Turkiye yang bakal diperolehinya.

Usaha pemindahan teknologi di antara kedua-dua syarikat Turkiye, Baykar dan TAI akan dilaksanakan dengan PT Dirgantara Indonesia (PTDI) sebaik sahaja kontrak perolehan UCAV itu dimeterai. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

 

Comments
Loading...