Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Russia Jangka Kontrak Perolehan 11 Buah Sukhoi Su-35 Oleh Indonesia Tetap Dilaksanakan

“Ia (kontrak) tidak pernah dibatalkan atau ditamatkan tetapi hanya dibekukan. Kami menjangkakan cepat atau lambat ia akan dilaksanakan. Bila atau bagaimana, ia adalah persoalan kepada kerajaan Indonesia, mereka akan membuat keputusan mengenainya.” -- Duta Russia ke Indonesia Sergey Tolchenov

9,289
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Russia menjangkakan kontrak untuk membekalkan pesawat-pesawat pejuang Sukhoi Su-35 kepada Indonesia akan tetap dilaksanakan walaupun ia telah dibekukan oleh Jakarta pada masa ini.
Perkara itu dinyatakan oleh Duta Russia ke Indonesia Sergey Tolchenov dalam temuramah dengan agensi berita negara itu, TASS baru-baru ini.
“Ia (kontrak) tidak pernah dibatalkan atau ditamatkan tetapi hanya dibekukan. Kami menjangkakan cepat atau lambat ia akan dilaksanakan. Bila atau bagaimana, ia adalah persoalan kepada kerajaan Indonesia, mereka akan membuat keputusan mengenainya.”
“Apa yang kami faham, mereka masih berminat dengan peralatan aeroangkasa Russia, “ kata beliau.
Duta Russia ke Indonesia itu berkata tiada “penjelasan yang jelas” diberikan mengapa kontrak perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 “Flanker-E” bernilai US$1.14 billion (RM4.9 billion) itu telah dibekukan, tetapi ia berkemungkinan disebabkan “perkiraan yang sukar.”
Indonesia
Pesawat pejuang Su-30Mk2 milik Indonesia di Pangkalan Udara Hang Nadim di Pulau Batam.
Pada Mac 2020,  media-media antarabangsa menyatakan bahawa pihak berkuasa Indonesia telah memutuskan untuk membatalkan perlaksanaan kontrak bagi perolehan pesawat-pesawat pejuang Su-35 buatan Russia itu disebabkan faktor kewangan ketika negara itu sedang berhadapan dengan masalah berkaitan pandemik Covid-19.
Selain, terdapat juga dakwaan menyatakan bahawa Amerika Syarikat bersedia untuk mengenakan sekatan terhadap Indonesia dibawah CAATSA Countering America’s Adversaries Through Sanctions Act (CAATSA) sekiranya ia meneruskan usahanya untuk memperolehi pesawat pejuang Su-35 itu.
Sejak membekukan perlaksanaan kontrak perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 dariipada Russia itu,  Indonesia telah menandatangani kontrak untuk memperolehi 42 buah pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis pada 2022, manakala pada masa yang sama masih meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat untuk memperolehi sejumlah pesawat pejuang F-15EX.
Perolehan 42 buah pesawat Rafale oleh Jakarta itu dianggarkan menelan belanja RM32 bilion.
Laporan pada Mei lalu yang memetik duta Indonesia ke Russia Jose Tavares mengesahkan bahawa bahawa kontrak perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 oleh negara Asia Tenggara itu masih berkuatkuasa walaupun terdapat spekulasi mendakwa ia telah dibatalkan berikutan kebimbangan mengenai CAATSA.
Rafale
Rafale 
Beliau berkata Jakarta masih menunggu masa yang bersesuaian sebelum kembali kepada perlaksanaan kontrak itu.
Menurutnya, perlaksanaan kontrak mengenai perolehan Su-35 itu ditangguhkan untuk mengelak beberapa potensi “ketidakselesaan”, yang dipercayai merujuk kepada ancaman sekatan dan lain-lain oleh kuasa-kuasa Barat.
Sebagaimana yang diketahui, negara-negara kuasa Barat mahukan Indonesia menggunakan pesawat-pesawat pejuang buatan mereka dan kontrak perolehan Su-35 sekiranya dilaksanakan merupakan “batu penghalang” kepada usaha mereka.
Pada 2003, Indonesia memperolehi 10 buah pesawat pejuang Su-27 dan pada 2013, negara Asia Tenggara itu menambah perolehan enam buah pesawat pejuang Su-30Mk3.
Perolehan 11 buah pesawat pejuang Su-35 itu dilaporkan telah ditandatangani pada awal 2018. — DSA

Comments are closed.