Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Indonesia Buat “Penilaian” Terhadap Keberkesanan Rafale Selepas Apa Yang Berlaku Pada Konflik Pakistan-India

“Perubahan nada” oleh pegawai kanan Indonesia itu berlaku selepas pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan didakwa menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India pada hari-hari pertama konflik di antara Islamabad dan New Delhi.

0 1,751
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai kanan Indonesia menyatakan apa yang berlaku terhadap pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India semasa konflik bersenjata di antara Pakistan dan India baru-baru ini memberikannya asas untuk “melakukan penilaian yang sah dan berasas” terhadap keberkesanan pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu yang ia bakal miliki tahun depan.
“Perubahan nada” oleh pegawai kanan Indonesia itu berlaku selepas pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan didakwa menembak jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India pada hari-hari pertama konflik di antara Islamabad dan New Delhi.
Anggota Komisi 1 Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Dave Laksono yang bertanggungjawab memantau hal-ehwal pertahanan berkata, dakwaan-dakwaan yang tidak dapat disahkan di medan peperangan tidak boleh dijadikan asas utama dalam mengkaji keberkesanan sesuatu sistem persenjataan.
“Dakwaan-dakwaan yang tidak dapat disahkan di kawasan konflik tidak boleh dijadikan satu-satunya asas untuk menilai keberkesanan atau kegagalan sesuatu sistem senjata.”
Laksono berkata, “Malah pesawat pejuang paling canggih seperti F-16, F/A-18 dan F-22 juga pernah ditembak jatuh atau terhempas akibat situasi taktikal tertentu. Justeru, prestasi Rafale tidak boleh dinilai hanya berdasarkan satu insiden yang masih belum disahkan sepenuhnya.”
Walaupun begitu, anggota pembuat dasar di DPR Indonesia tetap mengakui bahawa insiden tersebut yang merujuk kepada dakwaan penembakan jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India oleh pesawat pejuang J-10C Pakistan telah memberikan asas yang “sah dan konstruktif” untuk suatu “penilaian.”
Pada Februari lalu, Ketua Staf TNI-AU Air Chief Marshal Tentera Mohamad Tonny Harjono dilaporkan berkata bahawa Tentera Nasional Indonesia-Angkatan Udara (TNI-AU) akan mula menerima kumpulan pertama enam buah pesawat pejuang Rafale buatan Perancis pada Februari 2026.
Rafale
Majlis menandatangani perjanjian pembelian pesawat pejuang Rafale antara Indonesia dan Perancis beberapa tahun lalu.
Dipetik oleh agensi berita nasional Indonesia ANTARA, beliau berkata, TNI-AU dijangka akan menerima tiga buah pesawat pejuang Rafale pada Februari hingga Mac tahun depan, manakala tiga lagi buah Rafale diterima tiga bulan kemudian.
Enam buah pesawat pejuang Rafale yang bakal diterima oleh Indonesia pada Februari itu adalah sebahagian daripada 42 buah pesawat pejuang buatan Perancis yang dibelinya.
Indonesia akan menempatkan pesawat-pesawat pejuang Rafale yang diperolehinya daripada Perancis di dua Pangkalan Angkatan Udara (LANUD) iaitu di Pekanbaru, Riau dan Pontianak di Kalimantan Barat.
Pada 2022, Indonesia telah menandatangani kontrak pembelian 42 pesawat pejuang Rafale buatan syarikat Dassault Aviation daripada Perancis bernilai US$8.1 billion (RM35.6 billion) sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara Asia Tenggara itu.
Sementara itu seorang pakar, Adhi Priamarizki yang merupakan felo penyelidik di Sekolah Pengajian Antarabangsa S. Rajaratnam, Singapura berkata, “Pesawat pejuang Rafale adalah antara pesawat pejuang terbaik di dunia ketika ini… Ia bukan sekadar soal membeli platform canggih, tetapi turut memerlukan penguasaan dan kepakaran untuk mengoperasikannya.”
Berikutan dakwaan penembakan jatuh tiga buah pesawat pejuang Rafale India oleh Pakistan itu telah menyebabkan saham syarikat Dassault Aviation yang mengeluarkan pesawat pejuang Rafale itu mengalami kejatuhan sebanyak 9.48 peratus sepanjang lima hari lepas sejak berlakunya konflik di antara Pakistan dan India.

Dassault

Ketiga-tiga buah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India itu didakwa ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C buatan China milik Tentera Udara Pakistan, pada awal konflik bersenjata di antara Islamabad dan New Delhi minggu lepas.
Jika dakwaan penembakan jatuh Rafale India itu terbukti benar, ia adalah pesawat pejuang Rafale pertama ditembak jatuh dalam mana-mana konflik sejak pesawat pejuang dibangunkan.
Sehingga kini, India masih enggan mengesahkan kehilangan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu, walaupun pegawai kanan Angkatan Tenteranya Air Marshal A.K Bharti dalam sidang media semalam menyatakan bahawa “Kita berada dalam senario peperangan, kehilangan (pesawat) adalah biasa dalam pertempuran”, apabila ditanya tentang dakwaan tiga buah pesawat pejuang Rafale miliknya itu telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut.
Bagi pemerhati pertahanan, jawapan pegawai kanan Tentera Udara India itu seolah-olah mengesahkan bahawa ia sememangnya telah kehilangan lima buah pesawat pejuang termasuk tiga buah Rafale.
Dua lagi pesawat pejuang India yang didakwa ditembak jatuh oleh Pakistan adalah MiG-29 dan Sukhoi Su-30MKI.
Berlainan dengan India yang menafikan ia kehilangan pesawat pejuang Rafale, Pakistan pula secara terbuka mengatakan pesawat-pesawat pejuang J-10C miliknya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India,
Rafale
Rafale
Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mendakwa bahawa kesemua lima buah pesawat pejuang Tentera Udara India (IAF) termasuk tiga buah Rafale buatan Perancis telah ditembak jatuh oleh pesawat pejuang J-10C Tentera Udara Pakistan (PAF) menggunakan peluru berpandu udara-ke-udara Beyond Visual Range (BVR) PL-15E.
“Pesawat pejuang Rafale yang digembar-gemburkan (tentang kehebatannya) telah gagal dengan amat teruk dan juruterbang Tentera Udara India membuktikan bahawa mereka tidak mahir,” kata beliau.
Penembakan jatuh pesawat pejuang Rafale Tentera Udara India itu juga disokong oleh wartawan kanan CNN, Jim Sciutto menerusi akaun miliknya di platform X yang menyatakan bahawa pegawai tinggi perisikan Perancis mengesahkan sekurang-kurangnya sebuah pesawat pejuang Rafale milik Tentera Udara India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
Pegawai perisikan Perancis itu juga turut memberitahu CNN bahawa pihak berkuasa negara itu sedang melihat dakwaan bahawa lebih daripada sebuah pesawat pejuang Rafale milik India telah ditembak jatuh oleh Pakistan.
CNN dalam laporannya menyatakan bahawa pegawai Amerika Syarikat dalam penilaian mereka mengesahkan bahawa tentera Pakistan telah menembak jatuh sebuah pesawat pejuang milik India semasa serangan udara yang dilancarkan India ke atas wilayah Pakistan.
Stesen televisyen itu menyatakan bahawa pegawai kanan Amerika itu mempunyai akses kepada laporan penilaian terkini.
Damocles
Rafale
Namun begitu, Amerika Syarikat masih belum mengesahkan jenis sistem persenjataan yang digunakan oleh pasukan Pakistan untuk menembak jatuh pesawat tersebut.
Kejayaan Pakistan menembak jatuh pesawat pejuang Rafale India itu juga telah mencalar imej pesawat pejuang generasi 4.5 buatan Perancis itu sejak beberapa tahun kebelakangan ini diibaratkan seperti “goreng pisang panas” dengan negara-negara di Eropah, Asia, Timur Tengah dan Mediterranean berlumba-lumba untuk membelinya.
India menandatangani perjanjian dengan Dassault Aviation pada 2016 untuk memperolehi 36 buah pesawat pejuang Rafale daripada Perancis yang dianggarkan bernilai US$8.8 billion (RM38.7 billion) atau US$91 juta (RM400 juta) sebuah.
Jika termasuk kerja-kerja menaiktaraf pesawat pejuang itu sebagaimana diminta oleh India, sistem persenjataan, alat ganti dan kira-kira lima tahun kerja-kerja sokongan, maka kos keseluruhan pesawat pejuang buatan Perancis yang dibeli oleh India itu dianggarkan bernilai US$218 juta sebuah (RM959 juta).
Jika meliputi kos inflasi pada tahun 2025, maka kos keseluruhan sebuah pesawat pejuang Rafale yang diperolehi oleh India itu mencecah US$289 juta (RM1.27 billion).
Rafale
“Rafale”
Dan pada 28 April tahun ini, India menandatangani perjanjian bernilai US$7.4 bilion dengan Perancis untuk memperoleh 26 pesawat Rafale Marine.
Perolehan ini terdiri daripada 22 pesawat satu tempat duduk dan 4 pesawat dua tempat duduk, yang akan digunakan di atas kapal induk INS Vikrant.
Ini menandakan kali pertama varian Rafale Marine dieksport ke luar Perancis.
Kontrak ini merangkumi latihan, senjata, dan sokongan teknikal, dengan penghantaran dijadualkan selesai menjelang 2030 .
 — DEFENCE SECURITY ASIA

Leave A Reply

Your email address will not be published.