India Kini Miliki Lebih Banyak Senjata Nuklear Berbanding Pakistan, Dedah SIPRI
Menurut laporan itu, setakat Januari 2025, India dianggarkan memiliki kira-kira 180 kepada peledak nuklear, meningkat daripada 172 pada tahun sebelumnya, manakala Pakistan kekal dengan jumlah 170 kepala peledak nuklear yang sama seperti tahun lalu.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – India kini secara rasmi mengatasi Pakistan dalam bilangan senjata nuklear, menurut laporan terbaharu yang dikeluarkan oleh Stockholm International Peace Research Institute (SIPRI), sekaligus mencerminkan perubahan ketara dalam imbangan kuasa strategik di Asia Selatan.
Menurut laporan itu, setakat Januari 2025, India dianggarkan memiliki kira-kira 180 kepada peledak nuklear, meningkat daripada 172 pada tahun sebelumnya, manakala Pakistan kekal dengan jumlah 170 kepala peledak nuklear yang sama seperti tahun lalu.
Peningkatan ini menjadikan India buat pertama kalinya berada di hadapan seteru nuklearnya itu, mencerminkan pelaburan berterusan New Delhi dalam platform pelancaran generasi baharu dan keupayaan pencegahan strategik yang lebih canggih.
Laporan tahunan SIPRI turut mengetengahkan pembangunan sistem peluru berpandu baharu oleh India yang dikenali sebagai sistem “kanister” — membolehkan kepala peledak nuklear dipasang dan disimpan dalam keadaan siap digunakan pada waktu aman, sekali gus mempercepatkan masa pelancaran dan meningkatkan kesiapsiagaan strategik.
Antara sistem yang dimaksudkan ialah Agni Prime (Agni-P) dan Agni-5, yang berkemampuan MIRV (Multiple Independently Targetable Re-entry Vehicle) — teknologi yang membolehkan satu peluru berpandu membawa dan melepaskan beberapa kepala peledak nuklear ke sasaran berbeza secara serentak, sama seperti keupayaan kuasa besar nuklear seperti Amerika Syarikat, Rusia dan China.
“India dipercayai sekali lagi memperluas arsenal nuklearnya secara sederhana pada 2024 dan terus membangunkan jenis sistem penghantaran nuklear yang baharu,” menurut laporan SIPRI.
“Sistem peluru berpandu ‘kanister’ India berkemungkinan mampu membawa kepala peledak nuklear semasa waktu aman, dan mungkin juga membawa pelbagai kepala peledak dalam satu peluru berpandu apabila ia mula beroperasi,” tambah laporan itu.

Agni Prime (Agni-P) merupakan peluru berpandu balistik jarak sederhana (MRBM) generasi baharu yang dibangunkan oleh Organisasi Penyelidikan dan Pembangunan Pertahanan (DRDO) India, bertujuan menggantikan sistem Agni-I dan Agni-II yang lebih lama dengan platform yang lebih mudah alih, tahan lasak dan tepat.
Dengan jarak jangkauan antara 1,000 hingga 2,000 kilometer, Agni-P dilengkapi dengan struktur motor komposit, sistem panduan yang dipertingkatkan dan pendorong canggih, menjadikannya lebih ringan dan lincah berbanding versi terdahulu.
Keupayaan utamanya terletak pada sistem pelancaran “kanisterised”, yang membolehkan peluru berpandu disimpan dalam bekas kedap udara dan siap dilancarkan, mempercepatkan masa reaksi dan meningkatkan kebolehsurvivalan dalam konflik atau serangan mengejut.
Sementara itu, Agni-5 mewakili lonjakan strategik India dalam keupayaan serangan jarak jauh dan keupayaan untuk menembusi sistem pertahanan peluru berpandu moden.
Dengan jangkauan lebih daripada 5,000 kilometer, Agni-5 meletakkan seluruh China, sebahagian Eropah dan mungkin juga Afrika Utara dalam jangkauan strategik India — memperkukuhkan kedudukannya sebagai kuasa nuklear jarak jauh.
Apa yang membezakan Agni-5 ialah potensinya untuk dilengkapi MIRV, menjadikannya jauh lebih sukar untuk dipintas oleh sistem pertahanan musuh kerana satu peluru berpandu boleh membawa beberapa hulu ledak yang menyerang lokasi berbeza secara serentak.

Keupayaan ini bukan sahaja meningkatkan kuasa pemusnah peluru berpandu tersebut, tetapi juga menjadikan penggunaan arsenal nuklear India lebih efisien dalam situasi serangan balas, serta melemahkan keupayaan sistem pertahanan berlapis pihak lawan.
Walaupun pihak DRDO tidak mengesahkan status operasional penuh Agni-5 versi MIRV, ujian-ujian terkini menunjukkan bahawa India kini berada di peringkat lanjutan dalam pembangunan sistem tersebut, berpotensi menjadikan Agni-5 sebagai komponen paling bernilai dalam arsenal strategik India.
Agni-P dan Agni-5 kini menjadi tulang belakang kepada doktrin “Credible Minimum Deterrence” India, yang menekankan keupayaan serangan balas, kebolehsurvivalan sistem, dan autonomi strategik tanpa terlibat dalam perlumbaan senjata secara terbuka.
Di peringkat serantau, peningkatan sistem ini berlaku di tengah-tengah penempatan peluru berpandu China yang semakin meningkat di sepanjang Garis Kawalan Sebenar (LAC) dan pemodenan berterusan sistem peluru berpandu Pakistan, termasuk sistem Ababeel (berkemampuan MIRV) dan Nasr (senjata nuklear taktikal).
Penggunaan sistem peluru berpandu yang berkanister, mudah alih dan berkemampuan MIRV seperti Agni-P dan Agni-5 memberikan fleksibiliti operasi yang ketara kepada Komando Pasukan Strategik India, sekaligus memastikan keupayaan pencegahan terhadap Pakistan dan juga China — dua negara jiran bersenjata nuklear yang mempunyai sengketa wilayah berpanjangan dengan India.
Namun begitu, SIPRI turut memberi perhatian bahawa peningkatan kuasa nuklear China kini jauh lebih pesat berbanding mana-mana negara bersenjata nuklear lain.
Arsenal Beijing meningkat daripada 500 hulu ledak pada 2024 kepada 600 pada Januari 2025, dengan unjuran pertambahan sekitar 100 hulu ledak setiap tahun sejak 2023.
“Menjelang Januari 2025, China telah menyiapkan atau hampir menyiapkan sekitar 350 silo peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) baharu di tiga kawasan padang pasir di utara dan tiga kawasan pergunungan di timur negara itu,” kata laporan SIPRI.
“Bergantung kepada cara China menyusun kekuatan tenteranya, negara itu berpotensi memiliki bilangan ICBM setanding dengan Amerika Syarikat atau Rusia menjelang akhir dekad ini,” jelas laporan tersebut.
Walaupun begitu, jika arsenal nuklear China mencapai maksimum 1,500 hulu ledak menjelang 2035, jumlah itu masih hanya mewakili satu pertiga daripada stok simpanan strategik semasa milik Amerika Syarikat dan Rusia.
Pada masa ini, kedua-dua kuasa besar itu memiliki sekitar 90 peratus daripada keseluruhan senjata nuklear dunia, dan meskipun jumlah tersebut kekal stabil sepanjang tahun 2024, mereka sedang melaksanakan program pemodenan besar-besaran yang berkemungkinan akan meningkatkan saiz dan kepelbagaian arsenal mereka pada masa akan datang.
