Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Qatar dan Kuwait Larang Amerika Guna Pangkalan, Ruang Udaranya Untuk Serang Iran

Amerika Syarikat menempatkan pesawat-pesawat tenteranya di Pangkalan Udara Ali Al Salem dan Pangkalan Udara Ahmed Al Jaber di Kuwait manakala di Qatar pula, Pangkalan Udara Al Udeid merupakan pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.

0 19,225

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Qatar dan Kuwait dilapor telah mengeluarkan arahan kepada Amerika Syarikat bahawa pesawat-pesawat pejuang kuasa besar itu tidak dibenarkan menggunakan pangkalan udara di kedua-dua negara Arab itu untuk melancarkan serangan udara terhadap Iran.

Bukan sahaja mereka tidak membenarkan pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat menggunakan pangkalan tentera, tetapi Qatar dan Kuwait juga melarang penggunaan ruang udaranya untuk sebarang tindakan ketenteraan terhadap Iran.

Tindakan kedua-dua negara Arab yang bersempadan dengan Iran itu sekaligus menghadkan kemampuan Washington untuk melancarkan serangan terhadap Teheran.

Qatar dan Kuwait menekankan bahawa mereka mengambil pendekatan berkecuali dan mahu mengelakkan sebarang konflik di rantau itu.

Amerika Syarikat menempatkan pesawat-pesawat tenteranya di Pangkalan Udara Ali Al Salem dan Pangkalan Udara Ahmed Al Jaber di Kuwait manakala di Qatar pula, Pangkalan Udara Al Udeid merupakan pangkalan udara terbesar Amerika Syarikat di Timur Tengah.

Qatar

Pada Feb lalu, laporan menyatakan beberapa negara Arab memutuskan untuk menghadkan kebenaran diberikan kepada pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat dan sekutunya untuk melakukan serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada pangkalan udara di negara mereka.

Beberapa pangkalan udara negara Arab terutamanya di negara-negara Teluk menempatkan banyak aset-aset tentera Amerika Syarikat dan sekutunya termasuk pesawat-pesawat pejuang, pesawat pengintip, pesawat pengisi minyak dan dron-dron bersenjata.

Laporan media Amerika Syarikat seperti “Politico” menyatakan bahawa negara-negara Arab Teluk  termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) kini menghadkan pesawat-pesawat kombat Amerika Syarikat dan sekutunya daripada berlepas daripada pangkalan udara terbabit untuk melancarkan serangan udara terhadap kumpulan-kumpulan proksi Iran.

Politico menggunakan sumber-sumber pegawai kanan Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat dalam penyediaan laporan mereka yang turut menyatakan bahawa wujudnya “ketegangan” di antara pegawai-pegawai kanan UAE dengan Washington tentang serangan udara terhadap kumpulan proksi Iran daripada wilayahnya.

Amerika Syarikat dijangka akan “melindungi” Israel sekiranya negara Yahudi itu diserang oleh Iran sebagai tindak balas terhadap serangan udara pesawat pejuang Israel terhadap bangunan kedutaan Iran di Damsyik, Syria yang mengorbankan tiga orang pegawai kanan tentera Iran berpangkat Jeneral.

Qatar

Beberapa hari lalu Presiden Amerika Syarikat Jo Biden menyatakan bahawa komitmen Washington terhadap keselamatan Israel adalah utuh dan ia akan mengambil segala tindakan bagi melindungi keselamatan Tel Aviv daripada serangan oleh Iran dan kumpulan-kumpulan proksinya.

Kenyataan oleh Presiden Jo Biden itu menimbulkan kemungkinan bahawa Amerika Syarikat akan turut bersama-sama melakukan serangan terhadap Iran sekiranya Teheran mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tel Aviv.

Sementara itu, laporan media menyatakan bahawa Iran telah memaklumkan beberapa negara Arab supaya menasihatkan Amerika Syarikat agar tidak campur tangan sekiranya negara Yahudi itu diserang oleh Teheran.

Iran memberi amaran bahawa sekiranya Washington campur tangan dengan membantu Israel maka Teheran akan menyerang pangkalan-pangkalan tentera Amerika Syarikat di Timur Tengah. — DSA

 

 

Comments
Loading...