Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Hasrat Thailand Beli F-35 Mungkin Tidak Menjadi Kenyataan. Kenapa?

Walaupun Thailand dan Amerika Syarikat adalah sekutu rapat, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan antara Bangkok dan Beijing semakin erat dengan Angkatan Tentera Thailand menjadi pelanggan utama kepada senjata-senjata buatan China di Asia Tenggara.

0 13,935

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Hasrat Thailand untuk memperolehi pesawat generasi kelima, F-35 Joint Strike Fighter buatan syarikat Lockheed Martin dan menjadi negara kedua di Asia Tenggara untuk menggunakan pesawat itu selepas Singapura,  berkemungkinan tidak akan menjadi kenyataan.

Kemungkinan alasan utama mengapa Washington enggan menjual pesawat paling canggihnya kepada Thailand, adalah disebabkan hubungan yang rapat negara Asia Tenggara itu dengan China.

Walaupun Thailand dan Amerika Syarikat adalah sekutu rapat, tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini hubungan antara Bangkok dan Beijing semakin erat dengan Angkatan Tentera Thailand menjadi pelanggan utama kepada senjata-senjata buatan China di Asia Tenggara.

Cinta Thailand terhadap senjata-senjata buatan China memang mendalam, dengan tentera lautnya menggunakan kapal-kapal perang buatan China manakala tentera daratnya pula telah membeli kereta perisai dan kereta kebal, sistem pertahanan udara buatan China dan lain-lain lagi.

Tentera Laut Thailand juga memesan kapal selam buatan China dan terbaru, Beijing menawar untuk memberikan secara percuma dua buah kapal selam kepada Bangkok.

F-35

Bercakap kepada Radio Free Asia (RFA), Felo Kanan di S. Rajaratnam School of International Studies, Singapura Richard Bitzinger, Amerika mungkin keberatan untuk menjual pesawat F-35 kepada Thailand kerana ia mahu “menjaga” teknologi pesawat daripada jatuh ke tangan China.

Sebagaimana apa yang telah terjadi kepada Turki yang “ditendang keluar” daripada program pembangunan pesawat F-35 dan dilarang membeli pesawat canggih itu kerana hubungan rapatnya dengan Russia, perkara sama juga akan terjadi kepada Thailand kerana keakrabannya dengan China.

Turki dilarang membeli kira-kira 100 buah pesawat F-35A selepas ia meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 daripada Russia.

Amerika Syarikat bimbang Russia akan menggunakan S-400 yang dijualnya kepada Turki itu untuk “mengintip dan mengumpul maklumat” tentang kemampuan F-35.

F-35

Seorang lagi felo kanan di ISEAS-Yusof Ishak Institute juga di Singapore Ian Storey pula berkata, Bangkok mempunyai asas yang kukuh untuk memperolehi pesawat F-35 kerana Bangkok dan Washington merupakan sekutu rapat yang dijalin dengan perjanjian (treaty).

“Bagaimanapun Amerika Syarikat akan tetap bimbang bahawa teknologi-teknologi sensitif pesawat F-35 itu akan dikompromi disebabkan hubungan yang rapat antara tentera Thailand dengan tentera China, “ kata beliau.

Seorang pakar ketenteraan China Andreas Rupprecht pula berkata, adalah amat memeranjatkan bahawa Thailand menunjukkan minat terhadap pesawat F-35 disebabkan hubungannya yang semakin erat dengan Beijing.

Beliau menjangkakan Thailand mungkin lebih berminat kepada pesawat pejuang J-10C buatan China yang pernah terlibat dalam latihan bersama antara kedua negara baru-baru ini.

F-35

Beberapa hari lepas, syarikat Lockheed Martin mengatakan walaupun Thailand benar-benar mahu membeli pesawat itu tetapi keputusan akhir terletak di tangan kerajaan Amerika Syarikat.

Naib presiden kanan perniagaan antarabangsa syarikat itu, Tim Cahill mengesahkan bahawa Thailand sememangnya berminat untuk membeli pesawat pejuang itu.

“Bagaimanapun setakat tidak ada pengesahan yang rasmi berkenaan pernyataan minat oleh Thailand itu,” katanya kepada agensi berita Reuters pada Singapore Air Show 2022 yang sedang berlangsung di republik itu pada ketika ini.

Bulan lepas,  Jemaah menteri Thailand telah meluluskan peruntukan sebanyak US$413.7 juta (RM1.6 bilion) untuk memperolehi empat buah pesawat pejuang baru dipercayai F-35 Joint Strike Fighter.

F-35

Proses pembelian empat pesawat pejuang baru itu akan dilaksanakan pada tahun fiskal akan datang.

Kelulusan peruntukan kewangan pembelian empat buah pesawat pejuang baru itu berlaku selepas Panglima Tentera Udara Thailand Napadej Dhupatemiya menyatakan minat untuk memperolehi lapan buah pesawat generasi kelima F-35 yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin daripada Amerika Syarikat.

Pesawat pejuang F-35 dikatakan adalah pesawat tercanggih dunia dan dikategorikan sebagai aset tentera Amerika Syarikat yang amat sensitif.

Oleh kerana itulah, pesawat pejuang itu hanya dijual kepada sekutu-sekutu Amerika Syarikat yang paling rapat.

F-35

Klik Di Bawah Untuk Muat-Turun Aplikasi Defence Security Asia di Google Play Store: 

Google Play

 

Di kawasan Indo-Pasifik,  hanya Singapura (2026), Australia, Jepun dan Korea Selatan memiliki pesawat pejuang itu.

Pada ketika ini, Tentera Udara Thailand mengoperasikan sebanyak 12 buah pesawat pejuang Gripen C/D yang diperolehinya daripada Sweden serta puluhan pesawat F-16 dan F-5E yang telah dgunakannnya sejak akhir tahun-tahun 1980-an. — DSA

 

Comments
Loading...