Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Filipina “Semakin Hampir” Kepada Perolehan Pesawat JAS-39 Gripen C/D?

Pemangku Setiausaha Pertahanan Filipina Carlito Galvev Jr dan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson menandatangani MoU pertahanan yang akan menyaksikan pembabitan syarikat Sweden dalam usaha-usaha pemodenan Angkatan Tentera Filipina terutamanya melibatkan Tentera Udara Filipina.

1,707

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Baru-baru ini, Filipina dan Sweden telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) yang mendekatkan lagi Manila kepada perolehan pesawat pejuang JAS-39 Gripen oleh tentera udara negara itu.

Pemangku Setiausaha Pertahanan Filipina Carlito Galvev Jr dan Menteri Pertahanan Sweden Pal Jonson menandatangani MoU pertahanan yang akan menyaksikan pembabitan syarikat Sweden dalam usaha-usaha pemodenan Angkatan Tentera Filipina terutamanya melibatkan Tentera Udara Filipina.

MoU antara kedua-dua negara ini berlaku ketika Filipina sedang dalam proses akhir pemilihan pesawat pejuang Multi Role Combat Aircraft (MRCA), dengan dua calon akhir terdiri daripada pesawat JAS-39 Gripen dan F-16 daripada Amerika Syarikat.

Gripen E

Gripen dan F-16 mengenepikan calon-calon lain terdiri daripada Tejas daripada India dan beberapa pesawat pejuang yang lain seperti Rafale, F/A-18E/F Super Hornet, MiG-35, Sukhoi Su-30 Flanker, Tejas dan JF-17 Thunder.

Pada akhir bulan lepas, pegawai-pegawai tertinggi Tentera Udara Filipina juga dilaporkan telah melakukan lawatan ke Sweden dan berkunjung ke kemudahan syarikat Saab Group melihat dengan lebih dekat pesawat Gripen itu serta pesawat AEWC (Early Warning and Control).

Amerika Syarikat telah menawarkan 12 buah varian terkini pesawat pejuang F-16V Block 70/72 Viper yang dibangunkan oleh syarikat Lockheed Martin bernilai US$2.5 bilion (RM10 bilion), tetapi tidak lama selepas pengumuman itu oleh Washington itu, Setiausaha Pertahanan Filipina ketika itu Delfin Lorezana telah menolak tawaran itu dengan alasan ianya adalah “terlalu mahal.”

Tawaran Washington itu melibatkan 10 buah F-16C Block 70/72 dan dua buah F-16D Block 70/72. 

Selain itu, pakej penjualan oleh Amerika Syarikat itu juga meliputi pembelian 12 buah peluru berpandu lancaran udara Harpoon Block II, dua peluru berpandu latihan, alat ganti dan perkakas lain.

Gripen E
Pesawat Gripen Tentera Udara Brazil

 

Pesawat-pesawat F-16 itu juga akan dilengkapi dengan 24 buah peluru berpandu AIM-9X Sidewinder Block II, 24 buah peluru berpandu latihan, alat ganti yang dibangunkan oleh syarikat Raytheon Technologies.

“Penolakan” akibat harga yang terlalu mahal itu telah meletakkan pesawat Gripen sebagai frontrunner untuk memenangi persaingan di Filipina itu.

Bagaimanapun Amerika Syarikat enggan menyerah kalah dan telah menawarkan pula varian F-16 Block 50/52 yang harganya adalah lebih kompetitif berbanding dengan Block 70/72 untuk dipertimbangkan oleh Filipina.

Bagi Sweden pula, tawaran mereka kepada Filipina melibatkan pesawat-pesawat melibatkan 12 buah pesawat JAS-39 Gripen C/D (satu dan dua tempat duduk).

Pesawat pejuang yang dibangunkan oleh Saab Group itu akan dinaiktaraf sistem elektronik generasi kelima, yang menyebabkan variannya dipanggil C+.

Gripen
Sebuah pesawat JAS 39 Gripen C/D Tentera Udara Diraja Thailand dengan pesawat AEW “Erieye.”

 

Menurut laporan media, pesawat-pesawat Gripen yang ditawarkan kepada Filipina berkemungkinan adalah pesawat terpakai, sebagaimana yang telah ditawarkan kepada Croatia untuk program penggantian pesawat MiG-21.

Spekulasi tentang kemungkinan Manila memilih pesawat pejuang Gripen bertambah kuat selepas media Sweden pada Disember tahun lepas melaporkan bahawa agensi kerajaan Sweden yang mengawal-selia eksport senjata negara itu dikenali sebagai Pihak Berkuasa Eksport Senjata Sweden telah memberikan kelulusan penjualan pesawat Gripen kepada Filipina.

Negara Eropah itu enggan menjual pesawat pejuang kepada Filipina sebelum ini itu kerana bimbang dengan rekod hak asasi manusia yang buruk ketika negara Asia Tenggara itu diperintah oleh Presiden Rodrigo Duterte.

Kini setelah Duterte bukan lagi presiden Filipina, agensi kerajaan Sweden yang mengawal-selia eksport senjata itu telah memberikan kelulusan penjualan pesawat Gripen kepada Filipina. — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments
Loading...