Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Helikopter Pelbagai-Misi T625 “Gokbey” Dipasang Di Malaysia?

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Turkish Aerospace Industries (TAI) Prof. Temel Kotil ketika menghadiri DSA 2022 di Kuala Lumpur tahun lepas memberitahu media tempatan bahawa syarikat itu bersedia memasang helikopter T625 "Gokbey" di Malaysia, yang bakal menjadi kemudahan seumpamanya yang pertama di luar Turki.

0 8,586

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kerajaan Negeri Sembilan berharap Memorandum Persefahamanya (MoU) dengan Turkish Aerospace Industries (TAI) yang ditandatanganinya tahun lepas untuk membangunkan Lembah Aeroangkasa Negeri Sembilan (NSAV)di negeri itu akan dapat direalisasikan pada akhir tahun ini.

Selain itu, terdapat juga perancangan oleh TAI untuk memasang helikopter dan pesawat ringan serta pesawat tanpa pemandu oleh syarikat Korea Selatan di NSAV.

“Sebelum ini kita menerima persetujuan daripada Turkish Aerospace Industries (TAI) untuk memasang helikopter dan sekarang ini dalam perbincangan dengan syarikat dari Korea Selatan untuk memasang light aircraft (pesawat ringan) dan dron.

"Gokbey" TAI
“Gokbey”

 

“Kita akan melihat perkembangan tentang hasrat mereka itu untuk melabur di negeri ini dan pembangunan di NSAV berjalan sangat baik,” kata Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek kepada media tempatan baru-baru ini.

Menurutnya, seramai 100 jurutera tempatan sedang menjalani latihan di Ankara, Turkiye (berkemungkinan di kemudahaan TAI) sejak enam bulan lepas sebagai persiapan untuk menyediakan tenaga kerja yang dalam operasi berkaitan aeroangkasa.

Kajian kebolehlaksanaan kata Mohamad Rafie, menunjukkan NSAV akan dapat menarik pelaburan sebanyak RM104 bilion dan mewujudkan 32,000 peluang pekerjaan menjelang tahun 2039.

“Terdapat kawasan tanah luas yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai hab aeroangkasa. Jumlah keluasan tanah adalah lebih kurang 6,474.9 hektar (16,000 ekar) yang 10 kali lebih besar dari Toulouse Aerospace Valley. NSAV juga disambungkan melalui lapangan terbang utama dan pelabuhan utama negara,” katanya.

Jikalau hasrat TAI untuk memasang helikopter di NSAV itu menjadi realiti, helikopter apakah yang dipasang di Malaysia itu?

"Gokbey" TAI

Helikopter yang menjadi pilihan TAI untuk dipasang di Malaysia adalah helikopter pengangkut bersaiz sederhana (medium lift helicopter) pelbagai-misi (multi-mission) untuk operasi awam dan tentera dipanggil T625 “Gokbey”.

Malah Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TAI Profesor Temel Kotil ketika menghadiri DSA 2022 tahun lepas menyatakan bahawa syarikat itu bersedia memasang helikopter T625 “Gokbey” di Malaysia, yang bakal menjadi kemudahan pemasangan seumpana yang pertamanya di luar Turki.

“Kami mahu menjadikan Malaysia sebuah hab… Saya mendapati bahawa Malaysia merupakan lokasi yang amat sesuai untuk mereka bentuk dan membina pesawat. Negara ini mampu,” katanya.

Helikopter bersaiz sederhana keluaran TAI itu akan memasuki pasaran Malaysia yang sudah pun padat dengan pesaing daripada syarikat-syarikat lain seperti Leonardo AW139 yang banyak digunakan di Malaysia serta Sikorsky S-76.

Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) turut menyewa empat buah helikopter AW139 manakala Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pula memperolehi helikopter yang sama untuk Helikopter Operasi Maritim (HOM) miliknya.

Selain itu, Bomba, APMM serta Polis Diraja Malaysia turut menggunakan AW139.

"Gokbey" TAI

Jika TAI mahu menembusi pasaran helikopter pengangkut bersaiz sederhana di Malaysia, nampaknya ia terpaksa bersaing dengan AW139 yang memiliki “pengikut” yang ramai di negara ini, berserta dengan kemudahan sokongan dan penyelenggaran yang lengkap.

Helikopter “Gokbey” pelbagai-misi keluaran TAI itu merupakan model generasi baharu dua enjin seberat enam tan dan enam yang dibangunkan dan dikonfigurasikan untuk memenuhi keperluan operasi pelbagai sasaran seperti kargo, pengangkutan VIP, perkhidmatan perubatan kecemasan, luar pesisir termasuk operasi mencari dan menyelamat kerana memiliki ruang kabin yang luas.

Dengan tangki minyak standard 1,020kg, helikopter “Gokbey” boleh berada di udara selama 3 jam 48 minit dan terbang sejauh 740km, dengan kelajuan 306km sejam.

Helikopter pelbagai misi “Gokbey” boleh terbang dalam keadaan cuaca buruk, altitud tinggi dan suasana kepanasan tinggi, malah ia masih lagi boleh berada di udara sekiranya satu daripada dua enjin mengalami kerosakan dan gagal berfungsi. 

TAI mula membekalkan “Gokbey” kepada pasukan polis Turkiye bermula akhir tahun lepas.

"Gokbey" TAI

Aerodinamik helikopter “Gokbey” direka bagi menyediakan getaran yang agak rendah, kedap bunyi, penggunaan bahan api serta jarak penerbangan yang lebih baik selain fleksibiliti misi yang agak tinggi dalam kelasnya.

Helikopter buatan tempatan Turki ini mula dibangunkan pada 2013 diatas hasrat kerajaan negara itu yang mahukan helikopter pelbagai guna saiz sederhana tempatan.

Walaupun pada ketika ini helikopter Gokbey ini masih menggunakan enjin buatan Roll Royce-Honeywell dengan 1,300 kuasa kuda,  sebagaimana yang digunakan oleh helikopter T129 ATAK, tetapi Turki sedang membangunkan enjin tempatan bagi helikopter dengan kerjasama Ukraine.

Hanya apabila “Gokbey” telah dilengkapkan dengan enjin TEI-TS1400 buatan anak syarikat Turki sendiri iaitu TUSAS Engine Industries (TEI), maka Turkiye akan menjadi hanya negara ke-tujuh di dunia yang mampu membuat helikopter menggunakan komponen tempatan sepenuhnya. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...