Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tentera Israel Dedah 20 Anggota Tenteranya Maut di Gaza Akibat Tembakan Rakan Sendiri

Data yang didedahkan sendiri oleh Tentera Israel kepada media-media negara Yahudi itu  menunjukkan kematian 20 anggota tentera Yahudi itu antara lain berpunca daripada kesilapan tembakan meriam kereta kebal, serangan udara pesawat sendiri dan tembakan senjata api oleh anggota tentera serta aset-aset mereka.

0 1,277

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Israel mendedahkan 20 daripada 105 anggota tenteranya yang terbunuh ketika terlibat dalam operasi darat di Semenanjung Gaza ketika ini adalah disebabkan tembakan daripada rakan-rakan mereka sendiri (friendly fire) dan pelbagai insiden lain.

Data yang didedahkan sendiri oleh Tentera Israel kepada media-media negara Yahudi itu  menunjukkan kematian 20 anggota tentera Yahudi itu antara lain berpunca daripada kesilapan tembakan meriam kereta kebal, serangan udara pesawat sendiri dan tembakan senjata api oleh anggota tentera serta aset-aset mereka.

“13 daripada anggota tentera Israel yang terbunuh akibat tembakan sendiri itu berpunca daripada kesilapan identiti ketika serangan udara, tembakan kereta kebal dan tembakan senjata api. Tiga anggota tentera terbunuh akibat tembakan yang tidak sepatutnya disasarkan pada mereka.”

“Dua anggota tentera lain terbunuh kerana dilanggar oleh kenderaan berperisai mereka sendiri manakala dua anggota terbunuh selepas terkena serpihan bom yang diletupkan oleh rakan-rakan mereka sendiri,” menurut tentera Israel.

Tentera Israel menyatakan beberapa sebab sebagai punca kepada “kemalangan-kemalangan” menimpa tenteranya sehingga menyebabkan mereka terbunuh.

Israel

Antara sebab-sebab dijadikan alasan oleh tentera Israel itu adalah bilangan anggota tentera yang ramai beroperasi di Gaza, isu-isu komunikasi di antara unit-unit tentera yang terlibat di wilayah Palestin itu, keletihan anggota serta ketidakpatuhan terhadap peraturan tentera.

Tentera Israel menyatakan pada ketika ini terdapat ribuan anggota tentera Israel bersama ratusan kereta kebal dan kenderaan perisai serta aset lain sedang beroperasi di dalam operasi darat di Semenanjung Gaza.

Walaupun tentera Israel menyatakan 105 anggota tenteranya terbunuh dalam serangan darat di Gaza setakat ini atau lebih 400 orang anggota tentera negara itu maut keseluruhannya sejak 7 Oktober lalu, ia disangkal oleh pemerhati ketenteraan.

Pemerhati ketenteraan menyatakan bahawa pihak Yahudi itu menyembunyikan bilangan sebenar kematian anggota tentera mereka untuk memelihara moral dikalangan anggota tenteranya serta masyarakat awam negara itu.

Beberapa hari lepas, akhbar berbahasa Hebrew terbesar Israel, “Yediot Ahronoth” mendedahkan bahawa 5,000 anggota tentera Israel disahkan mengalami kecederaan dengan 2,000 daripada mereka diperakui oleh Kementerian Pertahanan negara itu mengalami kecacatan kekal sejak konflik di Semenanjung Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu.

Israel
Tentera Israel

 

Akhbar Israel itu berkata, 58 peratus daripada anggota tentera yang cedera itu mengalami kecederaan parah di bahagian tangan dan kaki sehingga memaksa bahagian-bahagian tubuh mereka dipotong (amputations).

Ia menyatakan bahawa apa yang dialami oleh tentera Israel itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

“Lebih daripada 5,000 anggota tentera yang cedera telah diterima oleh hospital-hospital di Israel. Lebih daripada 2,000 daripada mereka diperakui secara rasmi oleh Kementerian Pertahanan sebagai cacat,” menurut akhbar itu.

Timbalan Ketua Pengarah dan ketua Jabatan Rehabilitasi Kementerian Pertahanan Israel Limor Luria memberitahu akhbar terbabit bahawa mereka tidak pernah berhadapan dengan perkara seperti itu.

“Kita tidak pernah mengalami seperti ini. Lebih daripada 58 peratus daripada yang cedera memiliki kecederaan yang parah di bahagian tangan dan kaki termasuk terpaksa dipotong.”

Tentera

“Lebih daripada 12 peratus daripada kecederaan melibatkan organ dalaman seperti limpa, buah pinggang dan kecederaan di bahagian organ yang lain,” menurut beliau.

Beliau juga berkata bahawa lebih daripada 7 peratus daripada anggota tentera yang cedera juga mengalami masalah psikologi, di mana beliau menjangkakan bilangan itu meningkat dengan mendadak selepas ini.

Sementara itu, dalam satu temuramah bulan lepas, pengarah Tanah Perkuburan Tentera Mount Herzl, David Oren Baruch mendedahkan bahawa seorang anggota tentera Israel dikuburkan di tanah perkuburan itu setiap satu jam dan satu jam setengah.

 Bercakap pada pada temuramah pada 19 November lalu, beliau berkata, “Kita sedang berhadapan dengan fasa dimana pengebumian berlaku setiap jam dan sejam setengah selepas itu (akan ada) satu lagi majlis pengebumian.”

“Di Tanah Perkuburan Tentera Mount Herzl sahaja, kita mengebumikan 50 anggota tentera di dalam tempoh 48 jam,” kata beliau. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: lulwabyadah@gmail.com

 

Comments
Loading...