Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat Gen-5 Turkiye “KAAN” Lakukan Penerbangan Sulung 27 Disember Ini

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya "KAAN", selepas ia dikeluarkan daripada program pembangunan F-35 buatan Amerika Syarikat selepas berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” keluaran Russia.

6,278

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Turkish Aerospace Industries (TAI) telah memulakan aktiviti pemasangan prototaip kedua dan ketiga pesawat generasi kelima Turkiye “KAAN” yang dijangka melakukan penerbangan sulungnya pada 27 Disember ini.

TAI memaklumkan kepada media-media tempatan Turkiye bahawa pemasangan prototaip pesawat KAAN itu dijangka selesai pada separuh pertama tahun depan, menandakan kemajuan projek yang dianggap amat penting kepada  industri aeroangkasa negara Mediterranean itu.

Ia juga berkata bahawa integrasi sistem pendaratan dan komputer kawalan penerbangan pada prototaip pesawat KAAN yang dijangka melakukan penerbangan sulung pada akhir bulan, telah siap dilakukan.

Semua usaha dan ujian sedang dilaksanakan bagi memastikan pesawat pejuang generasi kelima Turkiye yang disifatkan sebagai “aset strategik” negara itu melakukan penerbangan sulungnya pada akhir tahun ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif TAI Prof Temel Kotil kepada media tempatan negara itu pada bulan lepas.

“Kita sedang menuju ke arah itu (penerbangan sulung) dan ia (KAAN) akan melakukan penerbangan (sulung). Ia perlu melakukan penerbangan (sulung) bagi membolehkan seluruh dunia melihatnya.”

KAAN
“KAAN”

 

“Kita semakin hampir, kesemua ujian (terhadap pesawat pejuang KAAN) itu sedang dilakukan,” kata beliau sambil menambah bahawa penerbangan sulung pesawat pejuang KAAN itu akan mengubah kurun kedua bagi Turkiye.

Beliau juga berkata terdapat 1,500 jurutera di TAI terlibat secara langsung dengan projek pembangunan pesawat pejuang generasi kelima, KAAN.

TAI yang merupakan kontraktor utama bagi program pembangunan pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu, dilapor akan menyiapkan sejumlah 20 buah pesawat pejuang KAAN Block 10 kepada Tentera Udara Turkiye pada tahun 2028.

Menjelang tahun 2029, TAI dijangka mengeluarkan dua buah pesawat pejuang KAAN setiap bulan, menjana perolehan kira-kira US$2.4 bilion (RM9.6 bilion) setiap tahun.

Pesawat pejuang generasi kelima KAAN itu bakal menggantikan lebih daripada 200 buah pesawat pejuang F-16 milik Tentera Udara Turkiye.

KAAN

Turkiye mempergiatkan usaha membangunkan pesawat pejuang generasi kelimanya sendiri, selepas ia dikeluarkan daripada program F-35 selepas berkeras meneruskan hasratnya untuk membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” buatan Russia.

Sebagai rakan pembangunan program pesawat pejuang F-35, Turkiye telah bersetuju untuk memperolehi 100 buah pesawat pejuang F-35 itu, tetapi, penyertaan Ankara dalam program pesawat pejuang generasi kelima buatan syarikat Lockheed Martin itu ditamatkan berikutan keputusannya membeli sistem pertahanan udara S-400 “Triumf” daripada Russia.

 KAAN sebelum ini hanya dikenali sebagai TF-X atau Milli Muharip Ucak (National Combat Aircraft -MMU).

Hampir 100 peratus pesawat generasi kelima Turkiye itu dibangunkan oleh industri pertahanan negara itu sendiri, kecuali beberapa bahagian pesawat seperti kerusi injal (ejection seat), enjin dan joystick (controller). 

KAAN

Bagaimanapun ketiga-tiga komponen asing pada pesawat KAAN tu akan digantikan dengan komponen buatan Turkiye apabila pembangunan pesawat itu memasuki fasa lebih maju.

Data-data awal menyatakan bahawa pesawat pejuang “KAAN” itu akan mempunyai Maximum Take-Off Weight (MTOW) 27,200kg  dan mampu mencapai kelajuan maksimum Mach 2. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

To advertise contact: [email protected]

Comments
Loading...