Gara-Gara Pesawat Pejuang Gen-6 China, Saham dan Rating Syarikat Lockheed Martin Turun
Seorang penganalisis daripada bank Deutsche Bank menerangkan bahawa “usaha-usaha pemodenan sektor aeroangkasa kombat oleh China” sebagai punca utama terhadap penurunan rating dan saham Lockhed Martin itu, hanya beberapa hari selepas China mengeluarkan video dan gambar-gambar penerbangan dua buah pesawat pejuang generasi ke-enamnya.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Saham syarikat pertahanan terbesar Amerika Syarikat, Lockheed Martin telah diturunkan daripada “beli” kepada “simpan” oleh bank Deutsche Bank, dengan harganya juga diturunkan daripada US$611 (RM2,740) se-saham kepada US$523 (RM2,353) se-saham.
Kesemua ini adalah gara-gara kemunculan pesawat pejuang generasi ke-enam China beberapa hari lalu.
Seorang penganalisis daripada bank Deutsche Bank menerangkan bahawa “usaha-usaha pemodenan sektor aeroangkasa kombat oleh China” sebagai punca utama terhadap penurunan rating dan saham Lockhed Martin itu, hanya beberapa hari selepas China mengeluarkan video dan gambar-gambar penerbangan dua buah pesawat pejuang generasi ke-enamnya.
“Kami menurunkan rating syarikat Lockheed Martin kepada ‘simpan’ daripada ‘beli’ kerana hipotesis kami sebelum ini tidak lagi menyakinkan dan kami juga telah meningkatkan kebimbangan kami terhadap sokongan jangka panjang terhadap pesawat pejuang F-35 (dibangunkan oleh Lockheed) disebabkan usaha-usaha pembangunan China,” menurut penganalisis daripada bank Deutsche Bank itu.
Beliau menambah bahawa “pendedahan tentang lebih banyak usaha pemodenan kemampuan kombat China sebagai berpotensi permintaan jangka panjang Pentagon terhadap pesawat pejuang F-35.”

China telah mengeluarkan gambar-gambar dan video penerbangan sulung dua buah pesawat pejuang generasi ke-enamnya pada 26 Disember lalu.
Pada ketika ini, China dan Amerika Syarikat mempunyai dua buah pesawat pejuang generasi kelima iaitu J-20 dan J-35 serta F-22 dan F-35.
Dengan jangkaan bahawa China akan mula menghasilkan pesawat-pesawat pejuang generasi keenam secara besar-besaran jauh lebih awal berbanding Amerika Syarikat, berkemungkinan besar sebelum berakhirnya dekad ini, terdapat jangkaan bahawa Washington akan mengurangkan peruntukan bagi pembangunan pesawat F-35 dan menyalurkan peruntukan tersebut bagi meningkatkan pembangunan pesawat pejuang generasi ke-enam pula.
Menurut penganalisis, pesawat pejuang F-35 buatan Lockheed Martin telah berada dalam keadaan “kekurangan” berbanding pesawat pejuang generasi kelima China, J-20 terutamanya daripada segi avionik, bahan-bahan komposit, lapisan halimunan(stealth coatings).
Selain itu pesawat pejuang J-20 “Mighty Dragon” itu mempunyai jarak operasi yang lebih jauh berbanding F-35,ciri-ciri penerbangan yang lebih baik, supersonik kruis, kapasiti membawa bebanan (payload) yang lebih berat dan radar yang lebih berkeupayaan.

Dalam usaha untuk bersaing dengan pesawat pejuang J-20 China itu, pihak Amerika Syarikat dan Lockheed Martin telah bertindak meningkatkan lagi kemampuan pesawat pejuang F-35 itu daripada segi radarnya dengan pengenalan radar AN/APG-85, peluru berpandu udara-ke-udara AIM-260 dan suite peperangan elektronik yang lebih baik.
Baru-baru ini, dua buah pesawat pejuang generasi ke-enam China – J-36 dan juga J-50 – dilaporkan telah melakukan penerbangan sulungnya, sebagaimana dinyatakan oleh pemerhati industri aeroangkasa negara itu menerusi posting akaun media sosial.
Pesawat pejuang generasi ke-enam J-36 itu dilaporkan telah dibangunkan oleh Chengdu Aircraft Corporation (CAC) manakala J-50 pula dilaporkan dibangunkan oleh Shenyang Aircraft Corporation (SAC).
Penerbangan sulung kedua-dua pesawat pejuang generasi ke-enam China itu adalah suatu “kemenangan simbolik” Beijing dalam perlumbaan membangunkan pesawat pejuang generasi ke-enam yang sedang berlangsung dengan sengit di antaranya dengan Washington, Moscow dan Eropah.
Posting media-media sosial yang melaporkan tentang penerbangan sulung itu menyatakan terdapat kemungkinan pesawat pejuang generasi ke-enam China itu dilengkapi dengan tiga buah enjin dan bukan dua buah enjin sebagaimana pesawat-pesawat pejuang generasi keenam sedang dibangunkan oleh beberapa negara lain.

