Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Faktor Enjin Buat Pesawat Tejas, FA-50 Di Hadapan Dalam Saingan FLIT/LCA TUDM?

Faktor-faktor itu melibatkan penggunaan enjin, dimana kedua-dua pesawat FA-50 dan Tejas menggunakan enjin General Electric F404 yang dikeluarkan oleh syarikat GE Aviation, sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet yang digunakan oleh TUDM.

0 15,310

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jen Tan Sri Affendi Buang telah pun mengumumkan baru-baru ini bahawa sebanyak lapan buah syarikat antarabangsa telah menunjukkan minat setakat ini untuk membida tender 18 buah pesawat Fighter Lead-In Trainer/Light Combat Aircraft (FLIT/LCA) Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Antara syarikat-syarikat yang menunjukkan minat terhadap tender bernilai berbilion ringgit itu adalah Pakistan Aeronautical Complex (PAC) dan Chengdu Aircraft Corporation (CAC) daripada untuk pesawat JF-17 “Thunder”, Hongdu Aviation Industry Group (HAIG) untuk pesawat Hongdu L-15B dan Leonardo untuk pesawat Aermacchi M-346.

Syarikat-syarikat lain termasuk Irkut Corporation untuk pesawat Yak-130 dan Boeing untuk pesawat T-7 Red Hawk, Korea Aerospace Industries (KAI) pesawat FA-50 serta Hindustan Aeronautics Limited (HAL) yang menawarkan pesawat Tejas.

Terdapat juga laporan mengatakan syarikat pembuat pesawat daripada Republik Czech iaitu Aero Vodochody Aerospace menawarkan pesawat L-39 Albatros.

Bagaimanapun menurut penganalisis pertahanan, persaingan sebenarnya mungkin diantara pesawat FA-50 daripada KAI dengan pesawat keluaran “Tejas” keluaran HAL disebabkan “beberapa faktor” yang mungkin menyebabkan TUDM cenderung kepada kedua-dua syarikat pembuatan pesawat ini.

Enjin
Enjin jet General Electric F404 yang digunakan oleh pesawat Tejas dan FA-50.

 

Apakah faktor-faktor itu?

Faktor-faktor itu melibatkan penggunaan enjin, dimana kedua-dua pesawat FA-50 dan Tejas menggunakan enjin General Electric F404 yang dikeluarkan oleh syarikat GE Aviation, sebagaimana yang digunakan oleh pesawat-pesawat F/A-18D Hornet yang digunakan oleh TUDM.

Daripada segi itu, faktor commonality daripada segi penyelenggaran dan bekalan alat ganti mungkin memberikan kelebihan kepada kedua-dua pesawat itu dalam persaingan FLIT/LCA TUDM itu.

Ogos lepas, HAL menandatangani perjanjian bernilai US$716 juta dengan GE Aviation untuk bekalan 99 buah enjin General Electric F404 untuk digunakan oleh pesawat-pesawat LCA “Tejas” keluarannya.

Dengan harga Tejas yang berpatutan serta “kemampuan” India dan HAL untuk menerima bayaran pembelian pesawat di dalam bentuk minyak kelapa sawit atau komoditi lain, menjadikan ia “frontrunner” dalam pesaingan FLIT/LCA TUDM itu.

India adalah diantara negara pengimport minyak kelapa sawit terbesar Malaysia.

Tejas
Pesawat Tejas keluaran HAL India.

 

Bagaimanapun, satu faktor yang mungkin merencatkan persaingan pesawat Tejas membabitkan penggunaan alatan keluaran syarikat-syarikat pertahanan Israel di dalam pesawat itu.

Pesawat Tejas menggunakan “ELM-2052” active electronically scanned array (AESA) radar, yang dibangunkan oleh anak syarikat Israel Aerospace Industries (IAI) iaitu, Elta.

Selain itu, pesawat keluaran HAL itu juga menggunakan sistem peperangan elektronik (elektronik warfare) yang dibangunkan oleh Elta.

Malaysia dan TUDM sudah semestinya tidak akan menerima sebarang penggunaan alatan pertahanan syarikat Israel, disebabkan dasar kita yang tidak mengiktiraf kewujudan negara Israel itu.

Bagaimanapun, alatan-alatan syarikat Israel yang melengkapi pesawat Tejas itu boleh digantikan dengan alatan keluaran syarikat lain seperti daripada Eropah dan lain, sebagaimana yang kita lihat dalam pesawat Sukhoi Su-30MKM serta kereta kebal Pendekar.

Faktor penggunaan alatan Israel pada pesawat Tejas keluaran HAL itu mungkin memberikan kelebihan kepada pesawat FA-50, yang bukan sahaja menggunakan enjin General Electric F404 tetapi tidak menggunakan sebarang peralatan keluaran syarikat Israel.

TUDM
Pesawat F/A-18 TUDM turut menggunakan enjin GE F404 sebagaimana pesawat FA-50 dan Tejas.

 

Satu lagi plus factor pesawat FA-50 adalah ia turut digunakan oleh tentera udara Thailand, Filipina dan Indonesia. (tetapi juga boleh menjadi negative factor kerana dikatakan TUDM tidak berminat dengan pesawat-pesawat yang turut digunakan oleh negara jiran)

Apa yang mungkin menjadi penghalang pesawat FA-50 keluaran syarikat KAI dalam persaingan FLIT/LCA adalah harganya yang dikatakan agak mahal serta mungkin keengganan Korea Selatan untuk menerima bayaran bagi pembelian pesawat itu dalam bentuk minyak kelapa sawit atau komoditi lain.

Mengenai satu lagi pesawat yang dikatakan pesaing iaitu JF-17 keluaran PAC/CAC daripada Pakistan dan China, pesawat itu menggunakan enjin keluaran syarikat Klimov yang turut digunakan oleh pesawat MiG-29N TUDM.

Mungkin faktor penyelenggaran enjin bakal merencatkan persaingan pesawat keluaran syarikat China dan Pakistan itu. (tidak mahu pisang berbuah dua kali).

Selain itu, kesan daripada insiden pencerobohan 16 buah pesawat China terhadap Zon Maritim Malaysia (ZMM) pada 31 Mei lepas, Malaysia dan TUDM mungkin “hilang selera” untuk mendapatkan peralatan pertahanan daripada China.

Cukupkan dengan empat buah kapal LMS, yang juga dilaporkan “berhadapan dengan masalah” sebagaimana yang dilaporkan oleh majalah pertahanan antarabangsa,Janes pada 22 Oktober tahun lepas.

DEFENCE SECURITY ASIA

 

 

 

Comments
Loading...