Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Tiada Komitmen Dari Kuwait Berkenaan Penjualan Pesawat F/A-18C/D Miliknya

Bercakap di Parlimen semalam, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementeriannya serta Menteri Pertahanan terdahulu telah menulis surat sebanyak tiga kali kepada kerajaan Kuwait menyatakan hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik negara Arab itu.

0 6,350

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Selepas “senyap” untuk beberapa ketika, Kementerian Pertahanan semalam menyatakan bahawa ia masih menaruh harapan untuk memiliki pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D terpakai milik Kuwait, tetapi hasratnya terbantut akibat ketiadaan komitmen daripada kerajaan negara Timur Tengah itu. 

Bercakap di Parlimen, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, kementeriannya serta Menteri Pertahanan terdahulu telah menulis surat sebanyak tiga kali kepada kerajaan Kuwait menyatakan hasrat negara untuk memperolehi pesawat-pesawat pejuang terpakai F/A-18C/D milik negara Arab itu.

“Ia masih dalam penelitian, kita sudah menulis surat sebanyak tiga kali. Menteri Pertahanan yang terdahulu telah menulis surat kepada Kuwait tetapi disebabkan kerajaan Kuwait telah berubah sebanyak lima kali, maka tiada pihak (di Kuwait) yang benar-benar membuat keputusan sekarang ini.”

“Tiada sebarang bentuk komitmen daripada Kuwait mengatakan bahawa mereka bersetuju atau tidak dengan permohonan kita untuk mendapatkan jet-jet jet pejuang Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) untuk kita peroleh,” kata beliau.

Mohamad Hasan yang lebih dikenali dengan panggilan “Tok Mat” berkata, walaupun pesawat-pesawat F/A-18C/D milik Kuwait itu adalah terpakai tetapi ia masih boleh digunakan kerana “flying hours” (jam penerbangannya) masih rendah dan telah dinaiktaraf.

Kuwait

“Jikalau kita berjaya perolehinya (F/A-18C/D Kuwait),  ia adalah suatu yang amat baik kerana kita dapat dengan harga yang murah,” kata beliau.

Menurut Menteri Pertahanan, ketika berkunjung ke Abu Dhabi baru-baru ini beliau telah memberitahu rakan sejawatan daripada Emiriah Arab Bersatu (UAE) itu supaya “berbisik” dengan Emir Kuwait tentang hasrat Malaysia untuk memiliki pesawat-pesawat F/A-18C/D miliknya itu.

Malaysia merancang untuk membeli pesawat-pesawat F/A-18 C/D Hornet Tentera Udara Kuwait sebagai satu langkah “stop-gap measures” (langkah sementara) sebelum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dilengkapi dengan membeli pesawat (MRCA yang baru.

Tentera Udara Kuwait memutuskan untuk menamatkan perkhidmatan pesawat-pesawat F/A-18 C/D miliknya selepas ia memperolehi pesawat-pesawat F/A-18 E/F Super Hornet serta Eurofighter Typhoon.

Untuk menggantikan pesawat F/A-18C/D miliknya,  Kuwait telah memperolehi sebanyak 28 buah pesawat Super Hornet yang terdiri daripada 22 buah pesawat satu tempat duduk F/A-18E dan enam buah pesawat F/A-18F Super Hornet yang bakal beroperasi daripada Pangkalan Udara Ahmed al-Jaber.

Selain pesawat-pesawat pejuang Super Hornet, Kuwait turut membeli 28 buah  pesawat Eurofighter Typhoon yang dibangunkan oleh BAE Systems yang dianggarkan bernilai US$8.7 bilion.

Pada 2021, Timbalan Menteri Pertahanan pada ketika itu Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz berkata Kementerian Pertahanan merancang mengadakan rundingan dengan Kuwait untuk memperolehi 33 buah pesawat pejuang Hornet milik negara Timur Tengah secara “lock, stock and barrel.”

Kuwait

“Perolehan yang dirancang adalah berbentuk Lock, Stock and Barrel  (lengkap) sebanyak 33 buah Pesawat F/A-18 C/D Tentera Udara Kuwait,

“Kerajaan Kuwait dijangka akan melucut tauliahkan pesawat F/A-18C/D setelah menerima dan mengoperasikan pesawat terbaharu F/A-18E/F (Super Hornet) dari  Amerika Syarikat,” kata Ikmal.

Menurut beliau, pesawat pejuang F/A-18C/D  yang dioperasikan oleh Tentera Udara Kuwait itu masih dalam keadaan baik dan mempunyai waktu jam operasi yang rendah berbanding F/A-18D yang dioperasikan oleh TUDM. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

 

Comments
Loading...