Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat FA-50 Filipina “Tembak Jatuh” F-22 Raptor Amerika Dalam Cope Thunder?

“Fox 2! Killed one Raptor on right turn!” merupakan suara daripada juruterbang pesawat pejuang FA-50 Filipina yang didengar menerusi radio sebaik sahaja beliau berjaya "menembak jatuh" pesawat pejuang F-22 “Raptor” Amerika Syarikat itu.

1,740

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang FA-50PH milik Tentera Udara Filipina didakwa berjaya menumpaskan pesawat pejuang generasi kelima F-22 “Raptor” milik Amerika Syarikat dalam satu latihan udara bersama baru-baru ini.

Pada Julai lalu, pesawat-pesawat FA-50PH Tentera Udara Filipina dan F-22 “Raptor” Amerika Syarikat serta beberapa pesawat lain terbabit dalam latihan udara bersama “Cope Thunder 2023” di ruang udara negara Asia Tenggara itu.

Selain pesawat pejuang Raptor, Amerika Syarikat turut menghantar pesawat lain ke latihan udara bersama itu termasuk A-10 “Warthog” dan C-130 Hercules.

Maklumat berkenaan “kekalahan” pesawat pejuang F-22 itu dilaporkan oleh jurnal rasmi 5th Fighter Wing, Air Defense Command Tentera Udara Filipina (PAF).

“Fox 2! Killed one Raptor on right turn!” merupakan suara daripada juruterbang pesawat pejuang FA-50 Filipina yang didengar menerusi radio sebaik sahaja beliau berjaya “menembak jatuh” pesawat pejuang F-22 “Raptor” Amerika Syarikat itu.

FA-50

Kejayaan menembak jatuh pesawat F-22 “Raptor” Amerika oleh pesawat FA-50PH Filipina itu didakwa berlaku di ruang udara pulau Luzon, Filipina.

“Ini adalah suatu pencapaian yang bersejarah apabila pesawat lead-in Tentera Udara Filipina telah berhadapan dan menewaskan pesawat pejuang generasi kelima dalam satu simulasi peperangan udara di ruang udara Luzon semasa latihan Coper Thunder,” laporan jurnal rasmi pasukan itu.

Pesawat-pesawat FA-50PH telah dibangunkan oleh syarikat Korea Selatan, Korea Aerospace Industries (KAI).

Tentera Udara Filipina memesan 12 buah pesawat pejuang FA-50PH pada 2014.

Walaupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Filipina menggunakan pesawat pejuang FA-50 buatan syarikat KAI itu, namun TUDM memperolehi varian terkini dan paling berkeupayaan pesawat itu, FA-50 Block 20.

Kementerian Pertahanan dan KAI menandatangani kontrak perolehan 18 unit pesawat FA-50 Block 20 bernilai RM4 bilion semasa pameran LIMA 2023 di Langkawi pada Mei lalu.

FA-50
FA-50Ph Filipina semasa latihan Cope Thunder 2023

 

Pesawat pertama FA-50 Block 20 milik TUDM dijangka tiba di Malaysia pada suku keempat tahun 2026.

“Kekalahan” pesawat pejuang Air Dominance F-22 “Raptor” dalam latihan udara bukanlah sesuatu yang pelik kerana sebelum ini,terdapat juga artikel yang melaporkan tentang “kekalahan” pesawat pejuang itu dalam latihan udara.

Dalam artikel majalah Air Combat pada 2012,  imej pesawat air-dominance Amerika Syarikat, F-22 Raptor itu sedikit tercalar apabila ia “ditewaskan” dalam satu latihan udara yang berprestij tinggi dan menarik perhatian ramai dipanggil “Red Flag” yang berlangsung pada tahun itu di Alaska, Amerika Syarikat.

Latihan itu berlangsung selama dua minggu dan ia membabitkan beberapa jenis pesawat pejuang daripada beberapa buah negara.

Pada latihan yang mendapat perhatian ramai itu, Tentera Udara Jerman (Luftwaffe) telah menghantar lapan buah pesawat pejuang Eurofighter Typhoon daripada 74th Tactical Air Force Wing.

F-22 Raptor
Dua buah pesawat F-22 Raptor Tentera Udara Amerika Syarikat dan dua buah pesawat pejuang ringan FA-50PH milik Tentera Udara Filipina dalam latihan bersama baru-baru ini.

 

Kedua-dua pesawat pejuang air-superiority itu mula diperkenalkan dalam tempoh yang hampir sama, dengan penerbangan sulung pesawat Eurofighter Typhoon berlaku pada tahun 1994 manakala F-22 Raptor pada 1997.

Menurut artikel berkenaan, pesawat pejuang Eurofighter Typhoon Tentera Udara Jerman unggul di dalam pertempuran udara “Within Visual Range” (WVR) di mana pesawat-pesawat F-22 Raptor tidak dapat menggunakan kelebihan dimilikinya daripada segi stealth dan radar serta sensornya yang lain.

Dalam pertempuran Beyond Visual Range (BVR) pula, pesawat F-22 Raptor dengan keupayaan sensor-fusion yang berkuasa tinggi sudah pasti dapat mengesan kehadiran Eurofighter Typhoon jauh lebih awal sebelum pesawat Typhoon Tentera Udara Jerman itu mengetahuinya kehadiran musuhnya. — DSA

DEFENCE  SECURITY ASIA APPS

 

To advertise contact admin: [email protected]

 

 

Comments are closed.