Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

[VIDEO] Penilaian MINDEF Dapati FA-50 Block 20 Adalah Terbaik

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata penilaian Kementerian Pertahanan sebelum keputusan pembelian aset itu dibuat menunjukkan pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 keluaran Korea Aerospace Industries Co (KAI) adalah yang terbaik.

2,297

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Pembelian 18 pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 bernilai RM4.08 bilion dari Korea Selatan telah mengambil kira pelbagai faktor termasuk khususnya keperluan negara melibatkan aspek strategi, dasar dan Kertas Putih Pertahanan (KPP) negara.

Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata selain itu, aspek kepakaran dalam mengendalikan pesawat berkenaan dan ekonomi semasa negara turut menjadi pertimbangan supaya pembelian aset itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya bagi industri pertahanan negara.

“Banyak faktor diambil kira sebelum kita buat keputusan pembelian sesuatu aset itu. Jadi, apabila kita telah buat keputusan melalui perolehan yang telus itu, paling utama adalah kita dapat ‘delivered’ kepada pengguna akhir.

“Yang paling penting aspek pertahanan negara dapat dijaga, kedaulatannya boleh dipertahankan dan pada masa sama keyakinan aset-aset ini dapat kita miliki dalam tempoh ditetapkan,” katanya sebagaimana dipetik oleh agensi berita nasional, Bernama selepas melancarkan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Alor Gajah hari ini.

Beliau berkata berdasarkan penilaian Kementerian Pertahanan sebelum keputusan pembelian aset itu dibuat, pesawat tempur ringan FA-50 keluaran Korea Aerospace Industries Co (KAI) berkenaan adalah yang terbaik.

Pada Jumaat lepas,  pesawat pejuang ringan dan latihan lanjutan (Fighter Lead-In Trainer-Light Combat Aircraft) FA-50 Block 20 keluaran Korea Aerospace Industries (KAI) muncul sebagai pemenang dalam tender untuk membekalkan pesawat jenis itu kepada Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Dalam satu majlis menandatangani Surat Setuju Terima di Kementerian Pertahanan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KAI, KANG Goo Young telah menandatangani SST bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Muez Abd Aziz.

Majlis menandatangani SST itu turut dihadiri tetamu tertinggi di antara kedua belah negara termasuk Duta Besar Korea Selatan di Malaysia dan Ketua Staf Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) Jeneral Jung Sanghwa yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke negara ini.

TUDM dijangka menerima kumpulan pertama empat buah pesawat FA-50 Block 20 pada akhir tahun 2026, diikuti oleh pesawat-pesawat seterusnya.

Malaysia adalah merupakan pelanggan FA-50/T-50 selepas Indonesia, Thailand dan Filipina di rantau Asia Tenggara.

FA-50
Pesawat FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).

 

Sebagaimana dilaporkan oleh Defence Security Asia sebelum ini, varian pesawat pejuang ringan FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM antaranya bakal dilengkapkan dengan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) “PhantomStrike” yang dibangunkan oleh syarikat pertahanan Amerika Syarikat, Raytheon Intelligence & Space.

Pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM akan dilengkapi dengan dengan kelengkapan radio U/VHF yang hampir sama digunakan digunakan oleh varian terkini pesawat pejuang F-16 Block 70.

Selain itu, pesawat FA-50 Block 20 yang ditawarkan kepada TUDM itu juga akan dilengkapi dengan “Link 16 Block Upgrade 2”.

Varian pesawat FA-50 Block 20 sebelum ini juga dilaporkan akan dilengkapi dengan kemudahan Air-To-Air Refuelling Probe (AAR Probe) iaitu “ Cobham Mission System” yang dibangunkan oleh syarikat Cobham daripada United Kingdom. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: [email protected]

 

 

Comments are closed.