Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Pesawat F-35B Amerika Hilang, Ini Benar-Benar Pesawat “Halimunan”

Menurut jurucakap Pangkalan Udara Bersama Charleston Jeremy Huggins kepada NBC, sebelum juruterbang pesawat F-35B itu keluar daripada pesawat menggunakan kerusi injalnya, ia telah meletakkan pesawat itu dalam mode “autopilot” yang bermakna terdapat kemungkinan itu masih berada di udara lagi walau juruterbang telah meninggalkan kokpitnya.

0 1,650

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Sebuah pesawat pejuang halimunan F-35B milik Amerika Syarikat benar-benar “halimunan” selepas ia masih gagal ditemui oleh pasukan mencari dan menyelamat walaupun sudah lebih daripada 24 jam ia terlibat dalam satu “kemalangan”.

Insiden “kemalangan” itu berlaku di South Carolina, Amerika Syarikat pada tengahari Ahad (waktu tempatan).

Menurut media tempatan negara itu, juruterbang pesawat canggih dianggar bernilai US$120 juta (RM540 juta sebuah) itu berjaya menyelamatkan diri dengan keluar daripada pesawat menggunakan kerusi injalnya.

Varian pesawat pejuang F-35B itu adalah daripada jenis VSTOL (Vertical Short Take-Off and Landing).

Bagaimanapun, pihak tentera Amerika Syarikat kini berhadapan dengan masalah mencari pesawat halimunan F-35B milik Kor Marin negara itu yang gagal ditemui sehingga kini.

F-35
F-35B VSTOL

 

Kini Pangkalan Udara Bersama Charleston meminta bantuan penduduk sekitar lokasi kemalangan itu untuk sama-sama mencari pesawat pejuang itu yang bukan sahaja halimunan ketika terbang tetapi tetap “halimunan” walau selepas mengalami “kemalangan”

“Jika anda mempunyai sebarang maklumat yang dapat membantu pasukan mencari kami mengesan pesawat pejuang F-35 itu, anda boleh menghubungi Pusat Operasi Pangkala Udara itu,” menurut posting pangkalan itu menerusi X (dahulu dikenali sebagai Twitter).

Menurut jurucakap Pangkalan Udara Bersama Charleston Jeremy Huggins kepada NBC, sebelum juruterbang pesawat F-35B itu keluar daripada pesawat menggunakan kerusi injalnya, ia telah meletakkan pesawat itu dalam mode “autopilot” yang bermakna terdapat kemungkinan itu masih berada di udara lagi walau juruterbang telah meninggalkan kokpitnya.

Namun, kemungkinan besar pesawat F-35B telah terhempas selepas ia kehabisan minyaknya.

Pada ketika ini,pegawai-pegawai meneka bahawa pesawat F-35 itu telah pun terhempas di salah satu daripada dua tasik berhampiran iaitu Lake Moultrie atau Lake Marion di South Carolina.

F-35
F-35B (VSTOL)

 

Namun insiden itu telah menimbulkan kemarahan wakil rakyat, Nancy Mace daripada parti Republikan yang mempersoalkan bagaimana pihak tentera dan kerajaan Amerika Syarikat boleh “kehilangan” pesawat F-35.

“Bagaimanakah pesawat itu tidak mempunyai alat pengesanan dan kini kita terpaksa meminta bantuan orang awam untuk mencari dan memulangkannya semula,” kata beliau.

Huggins berkata, transponder pesawat F-35 yang “hilang atau halimunan” tidak berfungsi disebabkan perkara-perkara yang tidak diketahui sehingga kini.

Di dalam laman webnya, syarikat Lockheed Martin yang membangunkan pesawat F-35 itu menyifatkan pesawat pejuang halimunan itu sebagai pesawat kombat paling canggih di dunia dan juga pesawat “paling berbahaya, halimunan”.

Pesawat pejuang itu mempunyai tiga varian, F-35A (landasan konvensional), F-35B (Kor Marin Amerika Syarikat) dan F-35C (untuk operasi di kapal-kapal pengangkut pesawat). — DSA

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...