Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

“Kegagalan” F-35 Kesan Frekuensi Sistem Pertahanan Udara S-300 Russia Membimbangkan

Walaupun pesawat F-35 itu digembar-gemburkan sebagai berkeupayaan tinggi dalam Peperangan Elektronik (EW)/Electronic Intelligence (ELINT) yang ampuh, tetapi kegagalannya mengesan frekuensi sistem pertahanan udara S-300 (SA-20) milik Russia di Ukraine serta Kaliningrad membimbangkan pegawai-pegawai kanan tenteranya.

0 13,307

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Ketika bermulanya pencerobohan Russia di Ukraine pada Februari tahun lepas,  Amerika Syarikat telah mengerah pesawat-pesawat pejuang generasi kelimanya, F-35 ke negara-negara seperti Estonia, Lithuania dan Romania untuk meronda sempadan Russia dengan negara-negara Baltik.

Terbang di dalam “mod halimunan” (stealth mode), pesawat-pesawat daripada unit Fighter Wings ke-388 dan ke-419 yang berpangkalan di Jerman itu telah ditugaskan dalam misi Electronic Intelligence (ELINT) untuk mengesan frekuensi sistem-sistem pertahanan udara dan pesawat pejuang Russia.

Pesawat-pesawat pejuang itu mencerap pelbagai data daripada sistem milik musuh itu untuk membantu pasukan NATO memahami dengan lebih baik ancaman yang bakal dihadapi oleh mereka berikutan pencerobohan oleh tentera Russia itu.

F-35

Menurut laporan oleh portal Air Force Times, pesawat-pesawat pejuang generasi kelima Tentera Udara Amerika Syarikat itu berjaya menjejaki kebanyakan sistem pertahanan udara Russia di Ukraine dan Kaliningrad, sebuah wilayah (enclave) milik Russia yang bersempadan dengan Poland.  .

Bagaimanapun, walau pesawat F-35 itu dilengkapi dengan sistem peperangan elektronik dan sensor yang canggih, tetapi tidak semua sistem pertahanan udara Russia di Ukraine itu dapat dikesan oleh pesawat kombat yang canggih itu.

“Semasa misi itu, pesawat-pesawat F-35 kadangkala tidak dapat mengenalpasti kelengkapan tentera kerana ada sebahagian daripada peralatan itu,seperti sistem pertahanan udara boleh menyembunyikan kehadiran mereka di lapangan.”

“Salah satu sistem itu (yang menyembunyikan kehadiran mereka) adalah sistem pertahanan udara jarak jauh Russia,  S-300,” menurut Komander Fighter Wings Ke-388 Kolonel Craig Andrle kepada portal terbabit.

Terdapat kemungkinan sistem-sistem pertahanan udara Russia itu beroperasi di dalam mod yang tidak dikenali oleh pesawat F-35 itu, kata beliau dan menambah, pesawat itu telah memaklumkan kepada pihak ibu pejabat tentang kewujudan “objek-objek tidak dikenali itu.”

S-300
Sistem pertahanan udara S-300 buatan Russia

 

Namun, kegagalan pesawat-pesawat canggih F-35 milik Amerika Syarikat mengesan dan mengenalpasti frekuensi-frekuensi sistem pertahanan udara Russia itu dianggap “membimbangkan” kerana boleh membahayakan operasi udara pesawat-pesawat kombat NATO dan juga Ukraine.

Kegagalan itu memeranjatkan juruterbang-juruterbang pesawat F-35 itu sendiri dan ia juga membuktikan bahawa sistem pertahanan udara S-300 itu memberikan cabaran yang besar kepada tentera Amerika Syarikat.

Walaupun pesawat-pesawat F-35 digembar-gemburkan sebagai mempunyai keupayaan Peperangan Elektronik (EW)/ELINT yang ampuh, tetapi kegagalan itu menunjukkan bahawa Russia juga mempunyai muslihatnya tersendiri.

S-300
Sistem Pertahanan Udara S-300

 

“Kita melihat sistem SA-20 (designasi NATO bagi S-300). Saya tahu bahawa ia adalah sistem SA-20 dan pihak perisikan juga mengatakan bahawa terdapat sistem SA-20 beroperasi di kawasan itu tetapi pesawat saya gagal mengenalpastinya kerana kemungkinan sistem pertahanan udara itu beroperasi dalam war reserve mode yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata seorang pegawai tentera udara Amerika Syarikat.

Ia adalah sesuatu yang normal untuk sistem-sistem pertahanan udara tidak menggunakan frekuensi sebenar mereka ketika waktu aman yang dipanggil “war reserve”, untuk mengelak musuh-musuh mereka daripada mengetahui frekuensi sebenar mereka.

Anggota sistem pertahanan udara terbabit beroperasi dalam keadaan “war reserve” untuk mengelak sistem mereka dikesan oleh musuh,  yang akan merangka pelan Electronic Counter Measures (ECM) bagi menanganinya. — DSA

apps

DOWNLOAD APPS DEFENCE  SECURITY ASIA

 

Sebarang pertanyaan tentang pengiklanan, boleh hubungi admin di/To advertise can contact admin at: haikalhamas73@gmail.com

 

Comments
Loading...