Akibat Seekor Burung, Korea Selatan Bersarakan F-35A Bernilai RM382 Juta
Kos pembaikan pesawat pejuang F-35A milik ROKAF itu mencecah 140 Won atau US$107 juta (RM481 juta) dan lebih tinggi daripada kos perolehannya daripada Amerika Syarikat yang berjumlah 110 bilion Won atau US$85 juta (RM382 juta).
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Tentera Udara Korea Selatan (ROKAF) mengumumkan bahawa ia terpaksa menamatkan perkhidmatan sebuah pesawat pejuang F-35A miliknya yang mengalami kerosakan selepas terlanggar seekor burung dalam insiden yang berlaku pada Januari tahun lepas.
Menurut agensi berita Yonhap, ROKAF dalam satu analisis yang dilakukannya bersama syarikat pembuat pesawat pejuang generasi kelima itu, Lockheed Martin mendapati sejumlah 300 komponen pesawat itu mengalami kerosakan akibat insiden pelanggaran dengan burung pada Januari 2022.
Kerosakan-kerosakan itu termasuklah di bahagian airframe, struktur, enjin dan kawalan dan sistem navigasi.
“Memandangkan kosnya yang tinggi dan tempoh yang panjang untuk memperbaikinya serta kebimbangan tentang keselamatan,maka Jawatankuasa Penilaian Tentera Udara Korea Selatan memutuskan adalah lebih baik untuk menamatkan perkhidmatan pesawat itu daripada memperbaikinya.”
“Rancangan itu (menamatkan khidmat F-35A) itu akan dilaksanakan dengan kelulusan daripada Kementerian Pertahanan,” menurut ROKAF dan menambah ia tidak menyangka bahawa kerosakan dialami oleh pesawat itu adalah lebih teruk daripada disangka.
Kos memperbaiki pesawat pejuang itu dianggarkan mencecah 140 bilion Won atau kira-kira US$107.6 juta (RM481 juta).
Kos pembaikan itu adalah jauh lebih tinggi daripada kos perolehan pesawat itu daripada Amerika Syarikat yang berjumlah 110 bilion Won atau US$85 juta (RM382 juta).
“Disebabkan jurang kewangan di antara kos pembaikan dan kos perolehan itu, maka Tentera Udara Korea Selatan berpendapat adalah lebih baik untuk menamatkan/melupuskan perkhidmatan pesawat pejuang generasi kelima itu.”
Pesawat pejuang F-35A yang malang itu adalah salah satu daripada 40 buah pesawat pejuang generasi kelima yang dimiliki oleh ROKAF, yang menggunakan landasan konvensional untuk berlepas dan mendarat.
Berhadapan dengan peningkatan ancaman peluru berpandu balistik nuklear dan provokasi berterusan daripada Pyongyang, kerajaan Korea Selatan mengambil keputusan untuk menambah 20 buah lagi pesawat pejuang generasi kelima, F-35A untuk tentera udaranya, ROKAF.
ROKAF menyatakan ia akan mengkaji bagaimana cara terbaik untuk terus memanafaat pesawat pejuang generasi kelima itu termasuk menjadikan ia bahan pembelajaran untuk juruteknik dan anggota teknikal.
Dalam insiden yang berlaku pada 4 Januari 2022, pesawat pejuang terbabi terlanggar burung helang dianggarkan memiliki berat 10kg ketika ia terbang pada ketinggian 330 meter, tidak lama selepas berlepas daripada Pangkalan Udara Cheongju di utara Chungcheong.
Burung helang itu disedut masuk ke dalam intake udara kiri enjin pesawat itu dan menyebabkan kerosakan terhadap sistem hidrolik serta sistem pendawaian kepada janakuasa pesawat itu yang amat penting kepada sistem janakuasa serta pendaratannya.
PesawatF-35A milik ROKAF itu terpaksa melakukan pendaratan cemas tanpa menggunakan sistem pendaratannya (belly landing) pangkalan udara Seosan di utara Chungcheong. — DSA
DEFENCE SECURITY ASIA APPS
To advertise contact: [email protected]
Comments are closed.