(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon pertama yang dilengkapi dengan European Common Radar System (ECRS) Mk2 kini sudah bersedia untuk melakukan ujian penerbangannya.
Menurut kenyataan daripada kerajaan British baru-baru ini, radar serba canggih yang dibangunkan secara bersama oleh BAE Systems dan Leonardo adalah komponen utama dalam program pembangunan untuk Royal Air Force (RAF).
Penerbangan ujian pesawat pejuang pertama Eurofighter Typhoon yang dilengkapi dengan radar serba canggih itu akan dilaksanakan tidak lama lagi.
Menteri Perolehan Pertahanan British Maria Eagle berkata bahawa ujian darat terhadap pesawat protoaip Eurofighter Typhoon yang dilengkapi dengan radar canggih telah dilaksanakan dengan berjaya, sehingga membolehkan mereka merancang untuk melaksanakan pula ujian penerbangan.
Radar serba canggih ECRS Mk2 merupakan evolusi kepada radar Captor-E dan naik taraf ECRS Mk1 daripada segi peningkatan keupayaan pengawasan, penjejakan sasaran udara dan kemampuan peperangan elektronik.
Ia sekaligus meningkatkan juga usaha menjaga kedaulatan ruang udara British.
Radar generasi terkini, ECRS Mk2 itu telah melalui Critical Design Review pada Jun 2024 dan telah diuji untuk memastikan ia bersesuaian dengan sistem-sistem pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu.
Dengan radar baru itu, pesawat pejuang Eirofighter Typhoon akan menerima faedah kemampuan yang unik untuk menangani sistem pertahanan udara pihak musuh dan membenarkan ia beroperasi dalam ruang udara dipenuhi dengan ancaman musuh serta tepu dengan elemen electromagnetic.
Selain itu, radar baru serba canggih ECRS Mk2 yang bakal dioperasi pesawat pejuang Eurofighter Typhoon itu juga akan meningkatkan kemampuan udara-ke-udaranya dan juga udara-ke-darat, sekaligus meluaskan spectrum operasinya.
ECRS Mk2 yang merupakan radar Active Electronically Scanned Array (AESA) didakwa pemerhati tentera British adalah radar paling berkuasa di dunia.
Pemasangan sistem radar ECRS Mk2 itu adalah sebahagian daripada usaha peningkatan keupayaan pesawat-pesawat Eurofighter Typhoon milik RAF dianggar bernilai 2.35 billion Pound (RM12.3 bilion).
Radar ECRS Mk2 itu dibangunkan oleh Leonardo UK di Edinburgh dan Luton serta diintergrasikan kepada pesawat Typhoon oleh syarikat BAE Systems di Warton.
RAF bercadang untuk melengkapkan kesemua 40 buah pesawat Typhoon Tranche 3 dengan radar ECRS Mk2 serta kemungkinan pesawat Typhoon Tranche 2 juga akan dilengkapi dengan sistem radar AESA yang berkemampuan tinggi itu.
Usaha-usaha peningkatan keupayaan terhadap pesawat-pesawat Typhoon milik RAF akan mewujudkan kira-kira 1,300 pekerja di Britain.
Pesawat pejuang Eurofighter Typhoon dibangunkan oleh konsortium empat negara Eropah, terdiri daripada United Kingdom, Jerman, Sepanyol dan Itali. — DSA
Comments are closed.