Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Dalam Tempoh 10 Tahun, Pesawat Pejuang KF-21 “Boramae” Guna Enjin Buatan Sendiri

Syarikat Hanwha Aerospace daripada Korea Selatan telah menunjukkan prototaip enjin pesawat dibangunkannya sendiri yang bakal digunakan oleh pesawat pejuang generasi 4.5 sedang dibangunkan oleh Korea Selatan, KF-21 “Boramae”.

0 5,438
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Syarikat Hanwha Aerospace daripada Korea Selatan telah menunjukkan prototaip enjin pesawat dibangunkannya sendiri yang bakal digunakan oleh pesawat pejuang generasi 4.5 sedang dibangunkan oleh Korea Selatan, KF-21 “Boramae”.
Selain pesawat pejuang KF-21 itu, enjin dibangunkan sendiri oleh Hanwha Aerospace itu juga dirancang untuk digunakan oleh pesawat-pesawat tanpa pemandu yang bakal dibangunkan oleh syarikat-syarikat pertahanan Korea Selatan.
Kemunculan prototaip enjin pesawat pejuang yang dibangunkan sendiri oleh syarikat Hanwha Aerospace pada pameran Farnborough baru-baru ini membuktikan kemajuan industri pertahanan negara Asia Timur itu, sehingga membolehkannya muncul sebagai negara pengeksport senjata keempat terbesar di dunia.
“Enjin pesawat pejuang yang dibangunkan oleh kami akan memiliki dimensi yang sama seperti enjin pesawat  F414-GE-400 yang dibangunkan oleh syarikat General Electric, tetapi ia akan mempunyai prestasi yang lebih baik.”
“Hanwha merancang untuk menggantikan enjin F414-GE-400 yang digunakan oleh pesawat pejuang KF-21 pada masa ini dengan enjin yang dibangunkan oleh kami sendiri,” menurut seorang pegawai kanan syarikat Korea Selatan itu.
KF-21
“KF-21”

 

Bagaimanapun, pesawat-pesawat pejuang KF-21 yang berada diperingkat akhir pembangunan itu akan terus menggunakan enjin F414-GE-400 keluaran GE itu untuk 10 tahun akan datang, sehinggalah enjin keluaran Hanwha Aerospace itu berkemampuan untuk menggantikan tempatnya pada pesawat pejuang keluaran Korea Selatan itu.
Enjin F414-GE-400 oleh syarikat General Electric itu digunakan oleh pesawat-pesawat pejuang seperti F-18 Hornet dan beberapa pesawat pejuang lain termasuk FA-50 yang dibangunkan oleh Korea Aerospace Industries (KAI).
Pada masa yang sama, Hanwha Aerospace turut membina enjin F414-GE-400 keluaran GE itu secara berlesen di Korea Selatan.
Baru-baru ini, Hanwha Aerospace telah menandatangani kontrak untuk membekalkan  40 unit enjin General Electric F414-GE-400 bagi digunakan oleh kumpulan pertama 20 buah pesawat pejuang KF-21 itu.
Enjin pertama akan dihasilkan menjelang 2025 daripada kilang syarikat terbabit di Changwon.
Enjin pesawat buatan tempatan yang sedang dibangunkan oleh Hanwha Aerospace itu dilaporkan akan mempunyai enam peringkat kompresor (six stage compressor) dan berada di dalam lingkungan 15,000 hingga 18,000 kuasa tujahan (thrust), dengan kuasa tujahan itu dipertingkatkan sehingga ke 24,000 pound sekiranya afterburner digunakan.
KF-21
Enjin dibangunkan oleh Hanwha Aerospace

 

Pegawai syarikat Korea Selatan itu juga menyatakan bahawa teknologi asas untuk enjin itu juga boleh digunakan untuk pembangunan enjin untuk digunakan pada kapal-kapal perang.
Pesawat prototaip KF-21 pertama berjaya melakukan penerbangan sulungnya pada 2022 dan selepas itu ia telah memulakan kira-kira 2,000 penerbangan ujian yang perlu dilakukannya untuk menguji pelbagai sistem dan komponen.
KAI akan membina kumpulan pertama 20  buah pesawat pejuang generasi 4.5 KF-21 “Boramae”, bagi membolehkan pesawat pejuang itu beroperasi untuk Tentera Udara Republik Korea (ROKAF) pada 2026.
Kontrak pembinaan 20 buah pesawat pejuang KF-21 Block 10 bernilai USD$1.41 bilion (RM6.65 billion) itu telah ditandatangani di antara KAI dengan agensi kerajaan Korea Selatan, Defense Acquisition Program Administration (DAPA) baru-baru ini.
“Dibawah perjanjian itu, KAI akan menghasilkan 20 unit pesawat pejuang itu dan menyediakan bantuan lojistik, manual teknikal dan latihan. Pesawat-pesawat pejuang itu akan berkhidmat untuk ROKAF pada akhir tahun 2026,” menurut laporan media Korea Selatan.
Program pembangunan pesawat pejuang KF-21 itu dilaporkan telah mencapai 80 peratus siap pada ketika ini.
KF-21
KF-21 “Boramae”

 

Dilancarkan pada 2015, program pembangunan pesawat KF-21 itu dianggar menelan belanja US$6.59 bilion (RM26.36 bilion).
KAI merancang untuk membekalkan 20 buah pesawat KF-21 Block 1 yang direkabentuk untuk misi udara-ke-udara pada tahun 2026, diikuti oleh 80 buah pesawat Block 2 itu untuk misi udara-ke-darat pada fasa seterusnya.
Gergasi aeroangkasa Korea Selatan itu juga dilaporkan berhasrat untuk mula mengeksport pesawat pejuang KF-21 “Boramae” kepada pelanggan-pelanggan yang berminat.
KAI telah pun mensasarkan beberapa buah negara sebagai pelanggan berpotensi bagi pesawat pejuang KF-21 terutamanya negara-negara yang telah pun menggunakan pesawat pejuang ringan FA-50/T-50 seperti Thailand, Filipina, Iraq dan Poland serta Malaysia.
Dengan anggaran harga per-unit pada US$65 juta (RM306 juta) sebagaimana yang dilaporkan oleh media-media pertahanan antarabangsa, harga KF-21 (mungkin Block 10) adalah lebih rendah berbanding pesawat-pesawat generasi 4.5 yang lain seperti Rafale dan Eurofighter Typhoon. — DSA

Comments
Loading...