Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Eks Elangaroo, Eks Paradise 2022 Antara TUDM-RAAF Selesai

Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE 9/22 bertujuan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan di peringkat serantau serta meningkatkan kebolehoperasian (interoperability) keupayaan udara di antara TUDM dan Royal Australian Air Force (RAAF), memaksimumkan keupayaan pertempuran bersama dan melaksanakan misi bersama terutamanya dalam latihan pertempuran udara.

0 2,650

(DEFENCE SECURITY ASIA) — Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentera Udara Diraja Australia (Royal Australian Air Force (RAAF)) secara rasmi telah menutup Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE (Paradrop, Air Defence, Insertion, Strike, Search and Rescue and Extraction) Siri 9/22 semalam.

Majlis penutup itu telah dilakukan Panglima Operasi Udara, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Shahada Ismail TUDM dan Air Commander Royal Australian Air Force, Air Vice Marshall Darren Goldie di Pangkalan Udara Butterworth.

Dalam satu kenyataan menerusi media sosial TUDM,  Mohd Shahada menzahirkan rasa syukur dan bangga kerana TUDM menjadi tuan rumah bagi eksesais bilateral pada tahun ini.

TUDM juga amat menghargai dan berbesar hati apabila Malaysia menjadi negara pertama di rantau ini serta mengalu-alukan kehadiran pesawat F-35A Tentera Udara Diraja Australia dari No 75 Skuadron.

Buat pertama kalinya juga TUDM telah menjayakan latihan utamanya iaitu FTX PARADISE bersama ELANGAROO yang mana eksesais ini merupakan pencapaian besar yang signifikan bagi TUDM pada tahun ini. 

F-35
(TUDM)

 

Tambah beliau, TUDM telah menjalin dan mengekalkan hubungan kukuh dengan RAAF sejak beberapa dekad lalu melalui kerjasama pertahanan yang komprehensif dan kekerapan pelaksanaan latihan termasuk eksesais bilateral.

Menurutnya, komitmen dan dedikasi bersama yang dipamerkan oleh semua peserta dari kedua-dua tentera udara sepanjang eksesais ini telah mengukuhkan perkongsian berwibawa yang telah dibina.

Justeru, selagi itulah TUDM akan terus memastikan persahabatan yang sekian lama terjalin akan kekal untuk generasi akan datang.

Sementara itu, Air Vice Marshall Darren Goldie di dalam ucapannya menzahirkan rasa bangga dengan peranan RAAF di dalam keselamatan Malaysia dan rantau ini berdasarkan rekod sejarah penglibatan RAAF sejak Perang Dunia Kedua dan hubungan kerjasama bilateral yang terjalin sekian lama khususnya di Pangkalan Udara Butteworth.

Menurut beliau, eksesais kali ini merupakan peluang yang sangat baik untuk berlatih bersama dan mempelajari kemahiran baharu dengan suasana persekitaran yang sangat berbeza dengan Australia. 

F-35
(TUDM)

 

TUDM telah melaksanakan Eksesais ELANGAROO 22 dan Eksesais PARADISE 9/22 bermula 7 sehingga 18 Nov 22 yang julung kalinya disertai oleh Royal Australian Air Force (RAAF).

Ia bagi meningkatkan aspek pengukuhan kerjasama pertahanan di peringkat serantau serta meningkatkan kebolehoperasian (interoperability) keupayaan udara di antara TUDM dan RAAF, memaksimumkan keupayaan pertempuran bersama dan melaksanakan misi bersama secara berkesan terutamanya dalam latihan pertempuran udara.

Eksesais PARADISE 9/22 dan ELANGAROO 22 yang berlangsung selama 12 hari menyaksikan penglibatan pegawai dan anggota Lain-Lain Pangkat TUDM, TDM, TLDM dan RAAF seramai 1,150 anggota.

Eksesais ini telah melibatkan 30 buah pesawat dan elemen sokongan yang telah digerakkan bagi mencapai objektif utama eksesais ini.  Aset-aset TUDM yang terlibat merangkumi aset udara ialah Su-30MKM, F/A-18D, Hawk, A400M, C-130H, CN-235, EC-725 AP dan AW-139 serta Pasukan Khas TUDM (PASKAU) dan Pasukan Pertahanan Darat TUDM (HANDAU).

JOM!!!!! TEKAN DI SINI UNTUK MUAT-TURUN APPS DEFENCE  SECURITY ASIA DI GOOGLE PLAY STORE  

 

Manakala aset elemen sokongan TUDM yang terlibat adalah radar pertahanan udara dan sistem Ground-Based Air Defence System (GBAD) serta Seksyen Hantaran Udara (SHU). Eksesais gabungan ini juga turut dibantu oleh aset-aset TDM dan TLDM .

Manakala RAAF yang buat julung kali telah membawa enam buah pesawat pejuang tercanggih di dunia iaitu pesawat F-35A ke Pangkalan Udara Butterworth. 

Latihan utama TUDM iaitu FTX PARADISE 9/22 adalah untuk memastikan keupayaan dan kesiagaan TUDM sentiasa berada di tahap yang terbaik khususnya bagi melindungi kedaulatan ruang udara negara.

 Dengan aktiviti eksesais yang telah dirancang digabungkan dengan eksesasi bilateral ELANGAROO 22, secara tidak langsung akan meningkatkan kredibiliti dan keyakinan rakyat dan negara kepada TUDM dalam menangani isu-isu keselamatan negara. — DSA

Jom!!!! follow TwitterTelegramFacebook dan download Apps Defence Security Asia di Google Playstore
Comments
Loading...