Defence Security Asia
Informasi Pertahanan Anda

Ditolak Oleh Thailand, China Kini Cuba Jual Kapal Selam S26T Kelas-Yuan Pada Indonesia Pula

Portal pertahanan antarabangsa, Janes melaporkan bahawa pegawai-pegawai syarikat perkapalan China telah berada di Kementerian Pertahanan Indonesia beberapa hari lalu untuk mengadakan sesi pembentangan tentang kapal selam S26T kelas-Yuan keluaran mereka itu kepada negara Asia Tenggara tersebut.

0 9,032

(DEFENCE SECURITY ASIA) – Pegawai-pegawai kanan daripada syarikat China State Shipbuilding Corporation (CSSC) dilaporkan telah berkunjung ke Jakarta sekali lagi dalam usaha mereka untuk menjual kapal selam diesel-elektrik S26T yang pada mulanya dipesan oleh Thailand kepada Indonesia.

Portal pertahanan antarabangsa, Janes melaporkan bahawa pegawai-pegawai syarikat perkapalan China telah berada di Kementerian Pertahanan Indonesia beberapa hari lalu untuk mengadakan sesi pembentangan tentang kapal selam S26T kelas-Yuan keluaran mereka itu kepada negara Asia Tenggara tersebut.

Pegawai-pegawai syarikat CSSC itu mahu menerangkan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa kapal selam S26T itu masih boleh diubahsuai untuk memenuhi keperluan Tentera Laut Indonesia.

Pembentangan oleh syarikat CSSC itu telah dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan Kementerian Pertahanan Indonesia serta pegawai pusat pemerintahan operasi kapal selam Tentera Laut Indonesia yang menghadiri pertemuan itu secara online.

Syarikat CSSC itu sepatutnya menjual kapal selam S26T kelas-Yuan itu kepada Thailand tetapi penjualan itu dibatalkan selepas rundingan sekian lama antara kedua-dua negara akibat masalah enjin.

Thailand

Menurut Janes, pegawai-pegawai syarikat pembuat kapal China memberikan jaminan kepada Kementerian Pertahanan Indonesia bahawa mereka tidak akan berhadapan dengan sekatan ekport sebagaimana dihadapi oleh pelanggan mereka sebelum ini, Tentera Laut Diraja Thailand.

Pegawai-pegawai syarikat China itu menyatakan bahawa mereka mampu melengkapkan kapal selam S26T itu dengan enjin daripada vendor-vendor pilihan pelanggan mereka termasuk daripada syarikat pembuat enjjin Jerman, MTU.

Selain itu, dalam usahanya untuk menjadikan tawaran mereka kepada Indonesia itu menjadi lebih menarik, CSSC juga bersedia untuk melengkapkan kapal selam yang ditawarkannya itu dengan peluru berpandu kruis anti-kapal YJ-18.

Selain itu, kapal selam S26T yang ditawarkan kepada Indonesia itu juga akan dilengkapkan dengan sistem Air Independent Propulsion (AIP).

Thailand sepatutnya menerima sebuah kapal selam yang dibuat oleh China pada tahun ini, tetapi bertindak membatalkan pesanan itu selepas Beijing gagal memenuhi permintaan Bangkok supaya kapal selam negara Gajah Putih buatan China itu dilengkapkan dengan enjin buatan syarikat Jerman.

 Thailand menandatangani kontrak dengan China pada 2017 untuk memperolehi sebuah kapal selam S-26T kelas Yuan bernilai US$350 juta (RM1.5 bilion) dan dijangka menerima sama ada tahun ini atau tahun depan.

Thailand

Kapal selam buatan China yang sepatutnya diterima oleh Thailand itu dikatakan telah 50 peratus siap.

Kontrak perolehan kapal selam Thailand daripada China berdepan ketidaktentuan kerana Bangkok berkeras mahukan kapal selam pertama miliknya itu dilengkapi dengan enjin MTU396 buatan Jerman, sebagaimana dipersetujui dalam kontrak.

Beijing tidak boleh melengkapkan kapal selam Thailand itu dengan enjin MTU396 buatan Jerman kerana China telah dikenakan sekatan ketenteraan oleh Kesatuan Eropah yang melarang sebarang eksport alatan atau komponen tentera kepada China.

Sebagai jalan penyelesaian,  Beijing telah mencadangkan penggunaan enjin kapal selam buatannya sendiri, CHD 620 yang dibangunkan oleh syarikat Henan Diesel Engine.

China dilaporkan bersetuju untuk menggantikan kapal selam yang sepatutnya dibekalkan kepada negara Asia Tenggara itu dengan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda.

Menurut sumber Tentera Laut Thailand kepada Bangkok Post sebelum ini, China telah pun bersetuju untuk membekalkan sebuah kapal friget atau dua buah kapal peronda sebagai ganti kepada kapal selam yang sepatutnya ia bekalkan kepada Thailand.

 

Laporan media Thailand menyatakan bahawa kedua-dua negara dilaporkan telah mencapai persetujuan pada Jun tahun lepas, yang akan menyaksikan kapal selam pertama Thailand itu dilengkapi dengan enjin diesel-elektrik CHD 620 buatan China.

Namun, kejatuhan kerajaan Thailand dipimpin jeneral tentera Prayut Chan-o-cha nampaknya telah mengubah keputusan kerajaan mengenai kapal selam.

Kerajaan negara Asia Tenggara yang kini dipimpin oleh Perdana Menteri awam Srettha Thaivisin nampaknya telah mengubah keputusan pucuk pimpinan terdahulu yang bersetuju menggunakan enjin buatan China pada kapal selamnya itu.

Thailand kini bertegas dan tidak mahu menerima kapal selam yang dilengkapi dengan enjin buatan China. — DSA

 

Comments
Loading...