Dalam Tempoh Sebulan, Malaysia Terima Kunjungan Dua Kapal Pengangkut Pesawat Amerika
Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D.Kagan berkata kunjungan dua buah kapal pengangkut pesawat negara itu, USS Abraham Lincoln (CVN 72) dan USS Carl Vinson (CVN 70) ke Malaysia di dalam tempoh sebulan membuktikan kekuatan hubungan keselamatan di antara kedua-dua negara.
(DEFENCE SECURITY ASIA) – Kira-kira sebulan selepas kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat USS Abraham Lincoln (CVN 72) singgah di Malaysia, sebuah lagi kapal pengangkut pesawat negara kuasa besar dunia itu melakukan persinggahan sama ke negara ini pada hari ini.
Kali ini, kapal pengangkut pesawat USS Carl Vinson (CVN 70) bersama-sama kapal-kapal perang lain dibawah Carl Vinson Carrier Strike Group dan 7,500 anggota tentera negara itu telah singgah di Pelabuhan Klang.
“Malaysia adalah rakan utama untuk kami (Amerika Syarikat) di Indo-Pasifik. Lawatan kami mengukuhkan kepentingan kerjasama ini kepada Amerika Syarikat,” menurut Komander Carrier Strike Group One (CSG-1) Rear Admiral Michael Wosje sebagaimana dipetik oleh perkhidmatan DVIDS hari ini.
“Melawat Pelabuhan Klang memberikan kami peluang penting dan unik untuk bekerjasama dengan Tentera Laut Diraja Malaysia, meneruskan usaha untuk mengukuhkan lagi kerjasama strategik yang menguntungkan kedua-dua pihak,” kata beliau.
Malaysia dan Amerika Syarikat bekerjasama rapat di dalam hal ehwal keselamatan termasuk counter-terrorisme, maritime domain awareness dan kestabilan serantau dan terlibat dalam latihan-latihan bilateral dan multilateral.
Sementara itu, Duta Amerika Syarikat ke Malaysia Edgard D.Kagan berkata kunjungan dua buah kapal pengangkut pesawat negara itu, USS Abraham Lincoln (CVN 72) dan USS Carl Vinson (CVN 70) ke Malaysia di dalam tempoh sebulan membuktikan kekuatan hubungan keselamatan di antara kedua-dua negara.
“Kunjungan berturut-turut Carl Vinson Carrier Strike Group dan USS Abraham Lincoln ke Malaysia menonjolkan kekuatan hubungan keselamatan kita—satu asas kukuh dalam Perkongsian Komprehensif Malaysia-Amerika Syarikat,” kata Kagan.
“Berdasarkan kerjasama erat selama beberapa dekad, kami terus memperkukuh perkongsian keselamatan ini dan komited untuk bekerjasama dengan Malaysia dalam memajukan visi bersama bagi memastikan rantau Indo-Pasifik yang bebas, selamat dan makmur.”
Sepanjang berada di Malaysia, hampir 7,500 anggota tentera laut dari Carrier Strike Group-One akan menyertai program-program pertukaran budaya, khidmat masyarakat dan lawatan anjuran Morale, Welfare and Recreation (MWR) bagi meningkatkan pemahaman dan kerjasama budaya antara kedua-dua negara.
“Bagi pihak Kapal Pengangkut Kesayangan Amerika Syarikat, saya ingin menyampaikan setinggi-tinggi penghargaan kepada penduduk Port Klang dan Kuala Lumpur kerana menyambut kehadiran anggota USS Carl Vinson dengan penuh semangat dan layanan mesra,” kata Pegawai Memerintah USS Carl Vinson Kapten Matthew Thomas.
“Kami berbesar hati menerima kehadiran pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia dan pegawai kerajaan di atas kapal Vinson, dan kami amat menghargai peluang untuk menyelami sejarah serta budaya Malaysia yang kaya.”
Carl Vinson Carrier Strike Group terdiri daripada kapal pengangkut pesawat — USS Carl Vinson (CVN 70), staff Carrier Strike Group (CSG) ONE dan Destroyer Squadron (DESRON) one, Carrier Air Wing (CVW) Two, kapal kruiser kelas-Ticonderoga USS Princeton (CG 59) dan kapal destroyer kelas-Arleigh Burke USS Sterett (DDG 104) dan USS William P. Lawrence (DDG 110).
Carrier Air Wing pula terdiri daripada sembilan squadrons terdiri daripada pesawat-pesawat F-35C Lightning II, F/A-18E/F Super Hornets, EA-18G Growler, E-2D Advanced Hawkeye, CMV-22 Osprey dan MH-60R/S Seahawks.